Strok haba atau heat stroke adalah keadaan perubatan yang serius dan memerlukan perhatian segera. Ia berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak tersumbat, menyebabkan kerosakan pada sel otak akibat kekurangan oksigen dan nutrien penting.
Dalam artikek ini kami kongsikan apa itu strok haba, punca strok haba, tanda strok haba dan cara mencegah strok haba mengikut saranan KKM.
Apa Itu Strok Haba
Strok haba atau heat stroke berlaku apabila sistem tubuh badan tidak dapat mengawal secara normal. Kesannya, badan akan mengalami kenaikan suhu mendadak selain turut mengalami kegagalan berpeluh.
Suhu badan individu yang mengalami stroke haba selalunya akan naik sehingga 41 darjah celsius atau lebih kurang 10 hingga 15 minit.
Malah strok haba yang tidak dikawal boleh menyebabkan kematian atau hilang keupayaan kekal.
Apabila terdedah kepada cuaca panas yang melampau, anda mungkin mengalami ‘kelesuan haba’ (heat exhaustion) atau lebih teruk lagi, ‘strok haba’ (heat stroke).
Kejadian strok haba berbeza-beza berdasarkan faktor geografi, cuaca dan aktiviti seharian. Risiko strok haba meningkat dengan ketara apabila suhu ambien melebihi ambang tertentu. Secara amnya, risiko strok haba dianggarkan tinggi jika suhu persekitaran mencapai atau melebihi 39.2°C.
Kes Strok Haba Di Malaysia
Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda tahun 2024 dijangka berlanjutan sehingga bulan Ramadhan ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, walaupun ada setengah kawasan mengalami hujan baru-baru ini, beliau meramalkan cuaca kering dan panas berterusan sehingga awal April, dengan suhu tertinggi harian mencecah 37 darjah Celsius.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Sinar Harian merekodkan 13 kes berkaitan cuaca panas sejak minggu pertama hingga kesembilan tahun 2024.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak empat kes membabitkan strok haba dan sembilan kerana kelesuan haba.
“Kesemua kes disebabkan oleh aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik. Terdapat satu kes strok haba dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa, Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.
“Manakala 11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya.
Punca Strok Haba
-
Pendedahan Suhu Tinggi: Pendedahan berlebihan kepada suhu persekitaran yang tinggi, terutamanya dalam cuaca panas dan lembap, boleh mencetuskan strok haba. Ini boleh berlaku apabila berada anda berada di bawah sinar matahari langsung untuk masa yang lama tanpa mendapat cecair atau rehat yang cukup.
- Aktiviti Fizikal Berlebihan: Aktiviti fizikal dalam cuaca panas boleh meningkatkan risiko strok haba. Ini amat berisiko bagi golongan yang bekerja di bawah sinar matahari, seperti pekerja pembinaan, petani, atau atlet.
- Kurang Minum Air Dan Dehidrasi: Kehilangan cecair melalui peluh tanpa penggantian yang mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi. Kekurangan cecair dalam badan mengganggu keupayaan badan mengawal suhu, meningkatkan risiko stroke haba.
- Masalah Penyakit Dan Ubat-Ubatan: Keadaan perubatan tertentu, seperti penyakit jantung, hipertensi, obesiti atau gangguan psikiatri, boleh meningkatkan risiko stroke haba seseorang. Pengambilan ubat-ubatan tertentu, seperti diuretik atau antihistamin, juga boleh menjejaskan keupayaan badan mengawal suhu.
- Umur Dan Faktor Lain: Orang tua, kanak-kanak dan individu yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu, seperti diabetes atau penyakit tiroid, mempunyai risiko stroke haba lebih tinggi. Faktor seperti pakaian tidak sesuai untuk cuaca panas, tinggal dalam persekitaran panas atau sejarah strok haba sebelum ini juga boleh meningkatkan risiko mengalami keadaan ini.
Golongan Berisiko Stroke Haba
Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:
- Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
- Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
- Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
- Penghidap penyakit sistem pernafasan.
- Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.
Tanda Strok Haba
- Kerap Sakit Kepala
- Mudah Hilang Fokus
- Lidah Menjadi Bengkak
- Suhu Badan Melebihi 39 darjah celsius
- Kulit Kering Dan Kemerah-Merahan
- Badan Tidak Berpeluh
- Badan Lesu Dan Kerap Pengsan
- Tekanan Darah Rendah
- Nadi Berdenyut Laju
Cara Merawat Strok Haba
Rawatan Di Tempat Kejadian
- Alihkan mangsa dari sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai hawa dingin.
- Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.
- Berikan udara segar, halakan kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.
- Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar.
- Dapatkan bantuan perubatan melalui talian 999.
Rawatan Di Hospital
- Mangsa akan diperiksa kadar denyutan nadi, tekanan darah, kadar pernafasan dan tahap kesedaran.
- Sekiranya mangsa mengalami renjatan, rawatan khusus akan diberikan.
- Penyiasatan darah dan lain-lain penyiasatan berkaitan akan dilakukan jika ada keperluan.
Langkah Pencegahan
Sebaik menyedari perubahan ketara suhu persekitaran tinggi, ambil langkah pencegahan bagi mengelak serangan strok haba
- Elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas terutama di waktu puncak jam 11 pagi hingga 3 petang. Banyakkan minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam walaupun anda tidak berasa dahaga.
- Minum air dalam kuantiti banyak atau minimum 2.5 liter sehari. Banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi air seperti sup dan buah-buahan.
- Pakai pakaian yang diperbuat daripada kapas kerana material itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum.
- Pakai topi daripada bahan kapas kerana lebih 40 peratus kehilangan haba berlaku di bahagian kepala.
- Elakkan berjalan atau melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti simen atau bitumen.
- Jangan berada di kawasan atau ruang tertutup mempunyai pengudaraan kurang baik dan bersuhu tinggi.
- Anda juga dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi. Minuman mengandungi kafein bersifat diuretik, yang akan membuatkan anda lebih banyak buang air kecil.
- Pantau warna urin atau air kencing anda. Jika warnanya gelap dan jumlahnya sedikit, ia menandakan badan anda kekurangan air. Jadi anda perlu minum sehingga air kencing bertukar menjadi kuning cair.
- Satu perkara penting, dalam cuaca panas begini, jangan sekali-kali meninggalkan seseorang di dalam kereta terutama yang diletakkan di kawasan parkir terbuka.
Bahaya/Komplikasi Strok Haba
Strok haba boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius, termasuk:
- Kerosakan Otak Kekal: Jika tidak dirawat dengan cepat, strok haba boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak dan pelbagai fungsi badan.
- Gangguan Fungsi Badan: Seperti lumpuh, gangguan pertuturan, dan masalah kognitif boleh menjejaskan kualiti hidup penghidap.
- Kematian: Stroke haba yang teruk boleh mengakibatkan kematian, terutamanya jika rawatan perubatan yang sewajarnya tidak diterima.
- Komplikasi Jangka Panjang: Penghidap stroke haba mungkin mengalami komplikasi jangka panjang seperti kemurungan, sawan atau masalah kardiovaskular yang lain.
Tips Ketika Cuaca Panas
Ketika cuaca panas, adalah penting untuk mengambil langkah untuk memastikan diri anda sejuk dan terhidrat. Berikut adalah beberapa petua yang boleh membantu:
- Minum Air Dengan Banyak: Pastikan badan anda terhidrat dengan minum banyak air. Dalam cuaca panas, badan anda boleh kehilangan banyak cecair melalui peluh, jadi pastikan anda minum lebih banyak daripada biasa.
- Pakai Pakaian Yang Sesuai: Pakai pakaian yang longgar dan ringan, seperti kapas, untuk membantu peredaran udara dan mengelakkan terlalu panas. Elakkan pakaian yang diperbuat daripada bahan sintetik atau warna gelap yang boleh menyerap haba.
- Gunakan Pelindung Matahari: Jika anda perlu berada di luar rumah, jangan lupa gunakan krim pelindung matahari untuk melindungi kulit daripada terdedah kepada sinaran UV berbahaya.
- Gunakan Kipas Atau Aircond: Jika anda berada di dalam rumah, pastikan anda menggunakan kipas atau penghawa dingin untuk memastikan udara sejuk. Jika anda tidak mempunyai penyaman udara, pertimbangkan untuk melawat tempat awam yang mempunyai penyaman udara, seperti pusat membeli-belah atau perpustakaan.
- Elakkan Alkohol Dan Kafein: Minuman seperti kopi, teh dan alkohol boleh menyebabkan dehidrasi. Sebaiknya elakkan minuman ini atau ambil dengan bijak semasa cuaca panas.
- Perhatikan Simptom Terlalu Panas: Kenal pasti simptom terlalu panas, seperti pening, keletihan, loya atau pengsan. Jika anda atau seseorang di sekeliling anda mengalami simptom ini, segera cari tempat yang lebih sejuk dan minum air dengan kerap.
Kesimpulannya, strok haba adalah masalah yang memerlukan rawatan segera. Menyedari simptom dan faktor risiko, dan mengambil langkah pencegahan yang sesuai, boleh membantu mengurangkan risiko masalah ini dan meningkatkan kualiti hidup.
Jika anda atau seseorang yang dikenali mengalami gejala stroke haba, segera dapatkan bantuan perubatan kecemasan untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cuaca Panas Melampau Punca Strok Haba, Bukan Sebab Dehidrasi
Baca juga: Terlupa Anak Dalam Kereta Selama 3 Jam, Kanak-Kanak 2 Tahun Maut Akibat Strok Haba
Baca juga: Tanda Bayi & Kanak-Kanak Dehidrasi (Dehydration): Apa Itu Dehidrasi, Punca Dehidrasi Bayi & Risiko