Kebiasaannya pada waktu malam sebelum tidur, apakah perkara yang anda selalu buat? Adakah anda seorang yang suka ‘main terjun’ atas tilam dan terus terlelap mata? Sebenarnya tahukah anda, terdapat amalan yang baik untuk dilakukan iaitu sunnah nabi sebelum tidur dengan mengibas tilam terlebih dahulu.
Menerusi artikel pada laman Sinar Islam Plus yang memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Irsyad Al-Fatwa Siri ke-429: Mengibas Tilam Sebelum Berbaring Di Atasnya, terdapat penjelasan lanjut terhadap adab dan sunnah nabi ini yang baik untuk diamalkan.
Apakah yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Hikmah kibas tilam, sunnah nabi sebelum tidur
- Bacaan ketika mula mengibas
Hikmah kibas tilam, sunnah nabi sebelum tidur
Berdasarkan penerangan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mengibas tempat tidur atau tilam dengan menggunakan kain atau apa sahaja yang sesuai adalah antara sunnah dan adab sebelum tidur diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.
Justeru terdapat hikmah daripada amalan mengibas tilam ini.
1- Membersihkan tempat tidur daripada kotoran atau tanah dan habuk yang berkemungkinan berada di atasnya.
2- Menghalau haiwan dan serangga berbisa seperti kala jengking, labah-labah, hama dan seumpamanya, yang mungkin bersembunyi di atas tilam serta membahayakan orang yang akan tidur di atasnya.
3- Ketika mengibas bacalah ‘bismillah’ dan mohonlah kepada Allah SWT agar menjaga diri kita daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
Bacaan ketika mula mengibas
Seperti yang diajarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bacaan yang perlu dibaca saat mula hendak mengibas ialah dengan menyebut nama Allah iaitu Bismillah.
“Al-Mubarakfuri telah menukilkan pendapat Al-Munawi yang menyatakan sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184).
“Selain itu, membaca basmalah juga bererti kita mengharapkan perlindungan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam apa jua perkara yang kita lakukan,” demikian penerangan tersebut.
Selepas mengibas sebanyak tiga kali atau sehingga diyakini sudah tiada apa-apa kotoran atau serangga yang memudaratkan, barulah boleh berbaring. Kemudian, membaca doa sebelum tidur.
Kata Ibn Battal ketika mengulas bacaan doa sebelum tidur bahawa pada doa ini terdapat penyerahan dan pengakuannya kepada Allah SWT bahawa Dia jualah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 10/88)
Jadi marilah kita bersama-sama mengerjakan amalan sunnah Nabi Muhammad SWT ini sekali gus dimanfaatkan bersama keluarga.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 6 Makanan Sunnah Ini Baik Untuk Ibu Hamil & Kandungan, No #4 Paling Sedap!
Baca juga: Senarai Amalan Ibu Mengandung Agar Janin Membesar Dengan Baik & Mudah Bersalin
Baca juga: Amalan Hamil Rasulullah, Ibu Lakukan Ini Jika Mahu Anak Berbudi Pekerti & Cerdik