Apabila mengandung, sering kali disarankan oleh orang sekeliling supaya mengamalkan beberapa doa mahupun bacaan surah daripada al-Quran. Antara surah yang digalakkan ialah surah Maryam untuk ibu hamil amalkan sepanjang tempoh 9 bulan kehamilan.
Surah tersebut mengandungi 98 ayat serta mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Apa yang penting ialah amalan membaca al-Quran sebenarnya seharusnya diamalkan setiap hari kerana ia bukan sahaja memberi ketenangan bahkan, mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Isi Kandungan
Surah Maryam Untuk Ibu Hamil
Terdapat banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh ibu mengandung menerusi amalan membaca surah Maryam. Kami senaraikan beberapa kebaikan tersebut, selamat beramal.
1. Menguatkan Keimanan Kepada Allah SWT
Surah ini menceritakan tentang Allah SWT berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya. Penceritaan kisah Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut memohon dikurniakan zuriat. Baginda dikurniakan anak lelaki diberi nama Nabi Yahya.
Ketika dikurniakan zuriat, Nabi Zakaria berada di usia tua. Hal ini menjadi sebuah teladan keimanan sekali gus agar ibu dan bayi yang dikandung memiliki rasa keimanan dan meneladani kisah tersebut.
2. Doa Dikurniakan Zuriat Soleh Dan Solehah
Terdapat salah satu doa di dalam surah tersebut iaitu mendoakan anak yang dikandung menjadi seorang soleh dan solehah. Sudah tentu semua ibu-ibu mahukan anak yang dikandung membesar menjadi insan yang berguna, taat kepada ibu dan ayah bahkan, mencintai dan mengamalkan suruhan Allah SWT.
3. Menggalakkan Prasangka Baik
Ibu mengandung terutama yang pertama kali hamil, kadangkala merasa takut dengan proses bersalin. Justeru, surah Maryam untuk ibu hamil ini membantu supaya kita sentiasa berprasangka baik dan yakin selalu bahawa Allah SWT selalu memberi pertolongan.
4. Teladan Wanita Solehah
Surah ini juga sering dianjurkan untuk ibu hamil berikhtiar agar memiliki anak perempuan yang soleh. Dengan membaca surah Maryam, merupakan salah satu wujud doa untuk ikhtiar tersebut.
5. Bukti Allah Maha Mendengar
Kisah Nabi Zakaria yang dianugerahkan anak sedangkan isterinya mandul selain usia baginda sudah tua. Ia merupakan bukti Allah SWT sentiasa mendengar doa hamba-Nya. Sebagai ibu mengandung juga, sentiasalah memohon kebaikan untuk kehamilan dan anak yang dikandung.
6. Ciri Wanita Penyabar
Dikisahkan Maryam harus mengasingkan diri agar terhindar daripada fitnah kerana mengandung dalam masa sama, tidak pernah disentuh oleh lelaki. Maryam dengan kesabarannya tetap menerima takdir Allah dan menjaga dengan kasih sayang bayi yang dikandungnya.
Begitu juga sebagai ibu mengandung, harus sentiasa bersabar ketika menghadapi ujian atau beban selama masa kehamilan.
7. Bukti Kebesaran Allah
Surah ini turut berkisahkan kebesaran Allah di mana sesuatu yang tidak mungkin terjadi seperti isteri Nabi Zakaria yang mandul, Maryam yang tidak pernah disentuh lelaki diberi anugerah seorang anak oleh Allah. Ia menunjukkan betapa kebesaran Allah itu adalah nyata.
Termasuk ibu hamil yang mendapat kepercayaan untuk memiliki seorang anak merupakan wujud kebesaran Allah dan rezeki besar untuknya. Wajib mensyukuri dan mengakui kebesaran-Nya.
Surah & Doa Yang Boleh Diamalkan Ibu Hamil
Selain surah Maryam, terdapat beberapa surah dan doa lain yang boleh diamalkan oleh ibu mengandung sepanjang tempoh kehamilan sehingga tempoh melahirkan anak agar dipermudahkan dan kedua-dua ibu dan bayi selamat.
1. Surah Al-Fatihah
Ia merupakan surah pembuka Al-Quran dan wajib dihafal oleh semua umat Islam yang berakal dan baligh. Surah ini sangat mudah diamalkan oleh ibu mengandung.
Antara kelebihannya adalah ia dapat menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.
2. Ayatul Kursi
Ibu mengandung sangat digalakkan untuk mengamalkan Ayatul Kursi. Ayat ini membantu melindungi ibu hamil daripada segala kecelakaan dan keburukan.
3. Surah Yasin
Surah ini boleh dibaca oleh bakal ibu dan ayah untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Dengan harapan agar anak yang bakal dilahirkan tidak mudah terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
4. Surah At-Taubah
Sama seperti Surah Yasin, surah ini boleh diamalkan oleh suami isteri untuk membersihkan jiwa dan memelihara anak daripada maksiat.
5. Surah Yusuf
Surah Yusuf sering dikaitkan dengan paras rupa yang cantik dan segak. Selain itu, dengan mengamalkan surah ini, kita juga berdoa agar anak yang dilahirkan nanti menjadi seorang Muslim yang sentiasa menjauhi zina dan cantik akhlaknya seperti Nabi Yusuf.
6. Surah Luqman
Sebaiknya diamalkan bersama agar dikurniakan anak yang cerdik akal dan terang hati.
7. Surah An-Nahl
Ayat 78 dalam Surah An-Nahl boleh diamalkan oleh ibu dan bapa untuk memperoleh anak yang rajin dan berdisiplin.
8. Surah Al-A’raf
Ayat 54 dari Surah Al-A’raf ini juga boleh diamalkan oleh ibu bapa sepanjang tempoh kehamilan agar proses bersalin nanti menjadi lebih mudah.
Doa Mudah Bersalin
Jika sudah hampir dengan proses bersalin, basahkan lidah dengan membaca doa mudah bersalin ini.
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin
Maksudnya: Tidak ada Tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah!) Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
Doa Selepas Bersalin
Selepas melaungkan azan atau iqamat di telinga bayi anda, ibu atau ayah boleh ikuti dengan doa selepas bersalin di bawah ini sebagai penutup.
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ
A’uuzu bikalimatillaahi at-taammati min kulli syaithaanin wa haammatin wamin kulli ‘ainin lammatin
Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah dari segala syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.
Tips Mudah Bersalin
Walaupun sedang berada dalam kesakitan menghadapi kontraksi sebelum proses bersalin, kita juga dinasihatkan untuk tidak hanya berdoa malah berusaha mempercepatkan proses pembukaan dengan cara berikut:
1. Banyakkan Berjalan dan Bergerak
Berjalan dan bergerak aktif semasa mengandung dapat membantu bayi turun ke posisi yang betul untuk kelahiran. Pergerakan ini juga dapat meningkatkan aliran darah dan membantu meredakan kesakitan kontraksi. Ia juga boleh mempercepatkan proses pembukaan serviks.
2. Berlatih Kawal Pernafasan
Latihan pernafasan yang betul dapat membantu ibu mengandung mengawal kesakitan semasa kontraksi. Pernafasan yang dalam dan teratur dapat memberikan oksigen yang mencukupi kepada ibu dan bayi, serta membantu menenangkan fikiran.
Ini dapat mengurangkan tekanan dan ketegangan semasa bersalin.
3. Dapatkan Cukup Tidur dan Rehat
Tidur dan rehat yang mencukupi sangat penting untuk ibu mengandung. Ia membantu tubuh ibu untuk pulih dan menyediakan tenaga yang mencukupi untuk proses bersalin. Kurang tidur boleh menyebabkan keletihan dan membuatkan proses bersalin menjadi lebih sukar.
4. Lakukan Senaman Ringkas
Senaman ringan seperti yoga pranatal, senaman kupu-kupu dan latih tubi dapat membantu menjaga kekuatan dan fleksibiliti otot.
Ia juga dapat mengurangkan tekanan pada tulang belakang dan sendi, serta meningkatkan mood dan kesihatan mental. Senaman ini juga dapat membantu mempersiapkan tubuh untuk proses bersalin.
5. Menjaga Emosi Dan Mengawal Stres
Menjaga emosi dan mengawal stres adalah penting semasa mengandung. Stres yang berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan ibu dan bayi. Amalkan teknik relaksasi seperti meditasi, mendengar muzik yang menenangkan, atau berbual dengan orang yang dipercayai untuk menjaga kesejahteraan emosi.
6. Jaga Pemakanan
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat sangat penting untuk kesihatan ibu dan bayi. Pastikan pengambilan makanan yang kaya dengan protein, vitamin, dan mineral.
Elakkan makanan yang tidak sihat seperti makanan berlemak tinggi, manis, atau bergaram. Minum air secukupnya untuk menjaga hidrasi tubuh.
Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, ibu mengandung boleh mempersiapkan diri secara fizikal dan mental untuk menghadapi proses bersalin dengan lebih mudah dan lancar.
Semoga dipermudahkan.
DalamIslam, eCentral
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Surah & Doa Untuk Ibu Mengandung Yang Elok Diamalkan Ikhtiar Mudah Bersalin
Baca juga: Doa Dapat Zuriat Untuk Suami Isteri Yang Sudah Lama Ikhtiar, Boleh Amalkan Setiap Hari
Baca juga: Ibu Ayah Amalkan Doa Untuk Bayi Baru Lahir Ini, Anak Mudah Tidur & Elak Gangguan