Ngeri bukan apabila melihat botol susu penuh dengan susu ibu berdarah? Tapi itulah keperitan yang terpaksa diharungi oleh seorang ibu: dari sakit bersalin hingga menahan kesakitan kerana menyusukan anak. Semuanya untuk anak tersayang.
Secara umumnya 10 peratus ibu menyusu badan mengalami komplikasi ketika menyusu anak. Komplikasi paling biasa ialah masalah mastitis yang berpunca dari saluran susu tersumbat.
Apabila saluran susu tersumbat, jangkitan serius boleh berlaku sehingga menyebabkan mastitis dan susu ibu berdarah!
Gambar susu ibu berdarah dikongsi pakar laktasi Meg Nagle
Seorang ibu berkongsi tentang pengalamannya mengalami payudara bengkak yang hampir menjadi mastitis agar ia boleh membantu ibu-ibu menyusu yang lain.
“Warna susu ibu adalah berbeza untuk setiap ibu. Biarpun susu ibu berdarah mungkin disebabkan jangkitan, tapi jangan bimbang, susu itu masih 100% selamat untuk bayi anda!” kata Meg Nagle.
“Jika payudara anda luka hingga menyebabkan susu ibu berdarah, jangan putus asa dan jangan berhenti menyusu.
Walaupun saluran payudara anda tersumbat ataupun mastitis, adalah penting untuk ibu terus menyusu sambil mengurut payudara seperti biasa. Sekiranya ibu mengepam secara eksklusif, cuba pam selepas beberapa jam dan jangan lupa untuk mengurut payudara anda sambil mengepam.
Jangan terkejut atau rasa takut dengan apa yang keluar dari payudara anda!” sambung pakar laktasi itu dalam postnya.
Ibu-ibu menyusu perlu faham semua keadaan ini sebenarnya normal dan bukan tanda ibu harus berhenti menyusu.
Sebaliknya, ibu sepatutnya terus mengepam dan menyusu lebih kerap untuk membantu melancarkan saluran susu ibu yang tersumbat.
Pandangan Islam mengenai susu ibu berdarah
Menurut MMgazette susu ibu berdarah boleh dimaafkan (dibolehkan) kerana nas syarak telah jelas menyatakan tentang pensyariatan menyusu seperti dalam surah al-Baqarah.
Susu yang bercampur darah, yang amat sedikit bahkan sukar diasingkan di antara keduanya, dan disahkan selamat untuk diminum oleh bayi adalah halal penggunaannya dan tidak diharamkan.
Sekiranya anak tidak dapat menerima susu yang bercampur darah ini, si ibu boleh memerah payudara sehingga susu menjadi warna asal semula.
Tanda-tanda mastitis dan saluran susu ibu tersekat
- Rasa panas dan sakit apabila disentuh.
- Payudara yang rasa bengkak atau keras dengan benjol.
- Keluar cecair putih kekuningan seperti nanah.
- Kulit kemerahan
- Demam panas
Cara mengatasi mastitis untuk mengelak susu ibu berdarah
- Banyak berehat.
- Minum banyak air untuk membantu memulihkan tubuh dan memastikan ibu sentiasa terhidrat.
- Jangan memakai bra yang terlalu ketat atau terlalu longgar.
- Urut dan tuam payudara yang bengkak dengan menggunakan kain hangat.
- Menyusu secara berganti dari kedua-dua payudara.
- Kosongkan sebelah payudara dulu sebelum menyusu dari payudara yang satu lagi. Sisa susu dalam payudara boleh menyebabkan pembengkakan payudara.
- Pastikan anda menggunakan posisi menyusu yang selesa dan betul untuk mengelak sakit puting atau luka pada puting payudara.
- Jika susu ibu berdarah atau bercampur lelehan nanah yang tidak bertambah baik dalam tempoh 7 hari, dapatkan nasihat doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber : thestir.cafemom.com, Mmgazette
Baca juga :
Bayi maut lepas minum susu ibu yang dicampur air – bayi menyusu tak perlu air!