Terdapat banyak mitos mengenai syampu rambut semasa kehamilan. Malah ada kepercayaan di sesetengah negara bahawa wanita hamil tidak boleh mencuci rambut mereka sehingga tujuh bulan kehamilan!
Wah! Bagaimana agaknya rasa tujuh bulan tidak boleh cuci rambut? Mungkin bagi yang sudah biasa cuci rambut setiap hari, pasti akan menimbulkan ketidakselesaan yang teramat.
Namun, mengapakah sebenarnya ada kepercayaan mengenai tidak boleh cuci rambut berbulan-bulan lamanya ketika hamil, mungkin ada sebab tertentu yang mendasari kepercayaan ini.
Isi Kandungan
Bolehkah Kerap Syampu Rambut Ketika Hamil?
Sebenarnya, semua wanita di seluruh dunia, termasuk mereka yang hamil, bebas mencuci rambut mereka dengan kerap. Ia tidak akan menyebabkan sebarang kesan buruk kepada bayi yang dikandungnya.
Jadi, dari manakah sebenarnya kenyataan ini datang: Mencuci rambut semasa mengandung boleh membahayakan kehamilan anda?
Beberapa sumber mengatakan sesetengah masyarakat di India, terutamanya di bahagian Gujerat, mempunyai tradisi untuk tidak mencuci rambut mereka selama tujuh hingga sembilan bulan kehamilan.
Mereka percaya, tuah bayi dalam kandungan akan hilang sekiranya si ibu mencuci rambut sebelum memasuki usia kandungan minimum tujuh bulan.
Itulah sebab wanita hamil tidak mencuci rambut mereka sehingga upacara mandi bayi (godh bharai) – di Indonesia ia dipanggil acara bulan nujuh.
Mitos Mengenai Syampu Rambut Ketika Hamil
Bunyinya tidak logik namun, kepercayaan ini pada asalnya berasal dari zaman dahulu dan berkembang menjadi kepercayaan karut sehingga kini atas beberapa sebab kerana ia dibaluti oleh nilai agama masyarakat setempat.
Namun ada beberapa perkara yang mungkin relevan dengan situasi zaman dahulu, tetapi dipraktikkan sehingga sekarang walaupun sudah berlakunya peredaran zaman.
Antara kepercayaan zaman dahulu yang membuatkan sesetengah masyarakat mempercayai wanita hamil tidak boleh cuci rambut termasuklah:
- Kecelakaan – Wanita hamil yang pergi ke tebing sungai untuk mandi dan mencuci rambut mereka berisiko terjatuh atau tergelincir ke dalam air.
- Risiko keguguran – Mencuci rambut mereka dianggap mencetuskan kitaran haid pada sesetengah wanita apabila mereka menghampiri tarikh matang. Jadi jika ia berlaku pada awal trimester boleh menjadi faktor risiko keguguran.
- Air tidak bersih, bawa penyakit serius – Apabila mandi di sungai atau di telaga tempatan di mana air yang dituangkannya untuk mandi adalah air yang tidak bersih dan tercemar, ia boleh menyebabkan jangkitan dan penyakit yang serius.
- Mudah diserang selesema – Air mandian yang dituangkan ke atas kepala (ketika bersyampu) boleh menghilangkan panas badan dan membuatkan ibu hamil mudah diserang selsema.
Namun, ketakutan atau kebimbangan di atas boleh diatasi dengan beberapa cara. Ia termasuklah:
- Jika anda bimbang diserang selsema dengan rambut basah, anda boleh duduk di tempat yang hangat dan cerah atau menggunakan pengering rambut selepas anda mencuci rambut anda.
- Basuh dengan berdiri atau duduk di dalam bilik mandi jika anda tidak mahu membongkok dan takut sakit belakang apabila bersyampu.
- Jika anda bimbang tentang kesan berbahaya bahan kimia dalam syampu anda, anda boleh mempertimbangkan untuk menggunakan syampu organik atau semula jadi.
Rambut Lebat & Cantik Ketika Hamil
Rambut biasanya tumbuh dalam tiga fasa: pertumbuhan aktif, berehat dan gugur. Semasa fasa ini, orang biasanya kehilangan 100 helai rambut setiap hari.
Apabila anda hamil, hormon tambahan yang mengalir melalui badan anda mengubah kitaran rambut anda, yang mana rambut tumbuh lebih baik, kelihatan lebih panjang dan lebih tebal daripada biasa.
Menerusi kajian, diameter rambut meningkat pada trimester ketiga kehamilan dan selepas bersalin, didapati diameter rambut lebih tebal ketika hamil.
Malah, ada juga rambut wanita menjadi lebih kurang kerinting semasa atau selepas kehamilan. Ini dipercayai berlaku kerana hormon kehamilan mengubah bentuk folikel rambut.
Bentuk folikel menentukan bentuk gentian rambut.
Sebenarnya, terdapat banyak cara yang boleh anda lakukan untuk mencuci rambut semasa hamil tanpa bimbang ia akan menganggu kesihatan janin.
Jika anda tidak mencuci rambut anda (sehingga 7 bulan), boleh bayangkan betapa kotornya rambut anda. Bukankah itu lebih berkemungkinan mengganggu kesihatan ibu dan janin?
Kulit kepala anda berkemungkinan besar mengalami kegatalan, ruam, kelemumur, keguguran rambut dan masalah rambut lain yang lebih teruk. Malah, menurut kajian rambut akan gugur sebanyak 90% jika anda tidak mencuci rambut selama 7 bulan.
Penjagaan Rambut Ketika Hamil
Ada beberapa petua mencuci dan syampu rambut semasa kehamilan. Ia termasuklah:
- Jika anda mempunyai rambut berminyak, jangan sapukan sebarang jenis minyak pada rambut anda. Itu akan menjadikannya lebih berminyak.
- Jika rambut anda kering, jangan risau, kulit kepala anda akan menghasilkan minyak yang mencukupi untuk rambut anda.
- Pastikan sikat bersih kerana rambut anda akan cepat kotor dan menjadikan sikat lebih kotor.
- Anda boleh memastikan rambut anda bersih dengan menggosok rambut perlahan-lahan dengan kain yang direndam air panas atau tuala. Buat bahagian kecil pada rambut dan cuba bersihkan dengan menggosoknya dengan kain muslin atau kapas yang dicelupkan ke dalam air panas (berhati-hati dengan kepanasannya). Ini akan menjadikan kulit kepala anda bebas daripada kotoran dan minyak, dan menjadikan kepala anda berasa bersih.
- Serbuk talkum boleh ditabur pada hari-hari apabila anda merasakan kulit kepala anda sedikit berminyak. Serbuk boleh ditabur pada rambut untuk memastikan ia kering daripada minyak. (Jangan gunakan syampu kering, kerana ia tidak disyorkan untuk penggunaan berpanjangan).
- Sapukan masker rambut pada rambut anda untuk menjadikannya bebas minyak dan kering.
- Cuba jauhkan rambut anda daripada kotoran, habuk, pencemaran, dan tutup rambut anda dengan topi atau selendang apabila anda meninggalkan rumah.
Jelaslah di sini, anda perlu cuci rambut semasa hamil kerana jika anda tidak berbuat demikian ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan rambut anda.
Awas! Elakkan 4 Perkara Ini
Ada beberapa perkara tidak boleh dilakukan pada rambut semasa hamil ia termasuklah penggunaan bahan kimia untuk treatment rambut seperti yang terkandung dalam banyak pewarna rambut, ubat keriting dan pelurus rambut.
Ramai doktor menasihatkan anda untuk tidak melakukan rawatan rambut di atas, terutamanya pada awal kehamilan iaitu trimester pertama.
#1. Elak warna rambut
Dibimbangi besar bahan kimia berbahaya ini diserap melalui kulit kepala semasa rawatan dan disalurkan kepada janin yang sedang membesar di dalam rahim seterusnya boleh mengganggu proses pertumbuhan bayi.
Ini berikutan terlalu banyak liang roma di kulit kepala dan ia berpotensi untuk menyerap ke dalam kulit terutama jika kulit kepada mengalami iritasi.
Justeru, semakin kurang bahan kimia yang digunakan adalah lebih baik. Jika anda terpaksa melakukannya untuk mengekalkan penampilan anda atas sebab profesional, pertimbangkan untuk menggunakan pewarna yang berasal dari bahan semula jadi.
Jika anda hanya ingin menyembunyikan uban, inai menjadi pilihan yang baik.
#2. Elak luruskan rambut
Untuk rawatan seperti pelurus rambut keratin harus dielakkan kerana ia mengandungi formaldehid yang berbahaya.
Anda tidak perlu menukar syampu, perapi, penyembur rambut, gel, mousse atau pengering rambut atau pengepit rambut anda. Boleh juga diteruskan penggunaan syampu anti-kelemumur atau syampu untuk rambut gugur.
Pastikan anda sentiasa menyemak kandungan produk rambut anda kerana sesetengah syampu seperti syampu berubat tidak boleh digunakan semasa kehamilan.
Bahan Kimia Yang Berbahaya Untuk Ibu Hamil
Semak empat bahan utama dalam syampu yang boleh membahayakan anda dan bayi anda. Elakkan syampu yang mengandungi bahan-bahan berikut kerana ia bukan saja tidak baik untuk anda malah untuk bayi dalam kandungan.
#1. Quat: ADBAC & DDAC – boleh sebabkan kecacatan kelahiran
Berdasarkan kajian, sejenis bahan kimia tertentu yang dipanggil quat (sebatian ammonium kuaternari) yang biasa ditemui dalam syampu, detergen dan disinfektan boleh menyebabkan kecacatan perkembangan pada bayi dalam kandungan apabila digunakan oleh wanita hamil.
Dua jenis quat yang biasa digunakan ialah:
- Alkil dimetil benzil ammonium klorida (ADBAC)
- Didesil dimetil ammonium klorida (DDAC)
Kedua-duanya telah dikaitkan dengan kecacatan kelahiran otak, tulang belakang atau saraf tunjang! Malah menurut kajian, kesan bahan kimia ini boleh menjejaskan bayi yang baru lahir walaupun hanya digunakan oleh bapa mereka.
Bakal ibu bukan sahaja perlu mengelak syampu yang mengandungi bahan-bahan ini, tetapi juga digunakan untuk pembasmi kuman dan detergen.
#2. Sulfat – hilangkan minyak semulajadi pada rambut
Sulfat ini biasanya digunakan dalam syampu untuk menghasilkan buih. Malah, bahan kimia ini juga boleh merosakkan perkembangan rambut bayi anda yang sihat. Dua daripadanya ialah ammonium lauryl sulfate dan sodium laureth sulfate.
Dalam jangka masa panjang, kedua-dua bahan kimia ini boleh menghilangkan minyak semulajadi rambut anda dan menghentikan pertumbuhan rambut.
Boleh dikatakan majoriti syampu termasuklah shampoo untuk rambut gugur yang digemari oleh ibu hamil mempunyai bahan sintetik ini kecuali syampu organik.
#3. Paraben – sebabkan rambut gugur
Paraben ialah bahan kimia yang digunakan untuk meningkatkan jangka hayat produk, tetapi ia adalah toksik. Ia bukan sahaja membahayakan kulit, tetapi juga menjejaskan hormon dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang membawa kepada keguguran rambut.
#4. Alkohol – rambut kering
Alkohol adalah bahan biasa dalam produk penjagaan rambut. Walau bagaimanapun, jumlah alkohol yang tinggi boleh mengeringkan rambut dan menjadikannya rapuh.
Ini boleh sangat merosakkan rambut ibu baru terutama mereka yang sudah mengalami masalah rambut seperti kekeringan dan keguguran rambut.
Bahan Yang Selamat Untuk Ibu Hamil
Berbanding bahan sintetik, syampu semula jadi biasanya mengandungi minyak pati, buah-buahan, ekstrak tumbuhan dan bahan organik yang diperakui. Ia sesuai untuk semua jenis rambut termasuklah sebagai syampu untuk rambut kering.
Pastikan anda menguji alahan sebelum menggunakan sebarang bahan yang anda mungkin sensitif.
Bahan-bahan semulajadi yang selamat dalam syampu rambut ibu hamil termasuklah:
- Minyak sayuran, seperti minyak jojoba, geranium, dan minyak argan
- Teh hijau organik
- Lidah Buaya
- Chamomile
- Minyak kelapa
- Madu organik
- Minyak pati bergamot
- Zaitun
- Ekstrak akar, seperti akar burdock
- Ekstrak buah-buahan, seperti bunga lawang
- Minyak pati, seperti pudina, lavender dan lemon
Bahan-bahan semulajadi ini lebih lembut pada rambut dan kulit kepala, kerana ia tidak menanggalkan kutikel rambut semasa membersihkan. Ia juga membantu menghidratkan sambil memberikan pembersihan yang baik.
- Babycenter (November, 2021). Will washing my hair during pregnancy harm my baby?www.babycenter.in/x1029047/will-washing-my-hair-during-pregnancy-harm-my-baby
- Firstcry Parenting (August 19, 2019). Not Allowed to Wash Your Hair During Pregnancy? Don’t Worry About It! parenting.firstcry.com/articles/contribution-no-hair-wash-during-pregnancy-not-a-big-problem-to-worry-about/
- webmd (September 24, 2013). Hair Care During Pregnancy. www.webmd.com/baby/features/pregnancy-hair-care
Artikel ini mendapat kebenaran daripada theAsianparent Indonesia untuk diterjemahkan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bolehkah Colour Rambut Ketika Sedang Hamil? Ini Penjelasannya!
Baca juga: Atasi Keguguran Rambut Selepas Bersalin, Ibu Perlu Pilih Perapi Rambut Yang Betul!
Baca juga: Masalah Rambut Gugur Semasa Hamil: Bilakah Ia Akan Berhenti?