Bila seorang sudah berkahwin, syurga isteri terletak pada telapak kaki suami. Isteri perlu sentiasa menjaga perasaan serta menghormati suami.
Dugaan paling besar bagi seorang isteri adalah bersabar. Wanita adalah makhluk Allah yang sarat dengan emosi. Kadang kala, akibat terlalu menurut kata hati, ada kata-kata atau tindak-tanduk si isteri yang akan melukai hati suami, sengaja atau tidak sengaja.
Apa yang anda boleh baca daripada artikel ini?
- Perangai isteri yang berdosa disebut jelas oleh Rasulullah S.A.W
- Syurga isteri terletak pada suami, kena sering minta maaf pada mereka
- Syurga isteri ada pada jodoh yang ditetapkan ALLAH S.W.T
- Minta ALLAH jaga rumah tangga, doa untuk jadi bidadari syurga suami
Perangai isteri yang berdosa disebut jelas oleh Rasulullah S.A.W
Rasulullah S.A.W telah menyebut dengan jelas tentang perangai wanita saat berdepan dengan satu sahaja keburukan suami.
Dan perangai yang disebut itu adalah si isteri mudah melupakan kebaikan suami yang lain jika mereka buat silap.
Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka.
Syurga isteri terletak pada suami, kena sering minta maaf pada mereka
Sebagai seorang isteri, banyak-banyakkanlah meminta maaf pada suami kerana secara tidak sedar kita mungkin ada buat silap pada mereka.
Secara tidak sengaja mungkin ada layanan isteri yang terkurang, terkasar bahasa pada suami, terlajar berprasangka atau si isteri terlepas cakap tentang aib suami pada sesiapa.
Maka, isteri kena rendahkan hati untuk merayu kemaafan daripada suami. Jangan hanya lihat kelemahan suami sehingga lupa pada kelemahan sendiri.
Kita sibuk besarkan kesilapan suami tapi kita pandang kecil kesilapan sendiri.
Syurga isteri ada pada jodoh yang ditetapkan ALLAH S.W.T
Suami adalah jodoh yang sudah dipilih ALLAH S.W.T untuk isteri. Merekalah insan yang akan bersama dengan kita sehingga akhir hayat, InsyaAllah!
Isteri kena sentiasa pandang muka suami, tidak kira siapa pun dia. Wajah itulah yang akan menjadi lorong nikmat dan juga lorong ujian ALLAH buat kita.
Semua buruk dan baik suami boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego isteri atau cara ALLAH untuk kurnikan pahala melalui kesabaran si isteri.
Mungkin juga kebaikan dan keburukan suami itu adalah cara untuk melatih isteri berdikari dan keluarkan potensi diri. Semua pasti ada sebabnya!
Minta ALLAH jaga rumah tangga, doa untuk jadi bidadari syurga suami
Minta ALLAH untuk jaga rumah tangga. Jika ada masalah dalam rumah tangga, banyakkan berdoa pada ALLAH.
Kita tidak boleh ubah suami tapi dengan doa pada ALLAH, InsyaALLAH, mereka akan berubah. Untuk jaga hubungan dengan suami, isteri kena jaga hubungan dengan ALLAH.
Alangkah indahnya, kesudahan hidup seorang isteri andai dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan mendapat keredhaan daripada seorang suami.
Belajar untuk tutup aurat serapat mungkin agar si isteri bakal menjadi ketua bidadari untuk suami di syurga kelak.
Lindungi walau sehelai rambut. Litupi walau hanya tapak kaki yang kita rasa berada di bawah tetap ia yang akan menentukan ke syurgakah kita.
Indahnya janji ALLAH yang menyatakan bahawa isteri yang diredhai suami boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya.
Jadi, para isteri simpanlah niat untuk jadi isteri yang lebih baik daripada semalam. Simpan hasrat untuk cuba jadi isteri solehah, InsyaAllah, ALLAH akan pandang usaha kita dan berikan ganjaran pada kita.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Fahami Love Language Dalam Hubungan Suami Isteri Barulah Rasa Cinta Makin Kuat
Baca juga: 7 Doa Buat Suami Isteri Yang Sering Tertekan & Dilanda Ujian, Elok Diamalkan Setiap Hari