“Emosi, sama ada kegembiraan, kesedihan, kasih sayang atau rasa bangga, semuanya mendalam dan meninggalkan kesan di mana akhirnya, anda akan berasa terdedah dan ya…berasa sakit…”
– Debra Ginsberg
Keibubapaan bermula saat kita mengandung buat kali pertama. Ketika ini, tanggungjawab ibu bapa pun bermula.
Ramai yang menyangka ia kehidupan yang penuh dengan gelak tawa, cinta dan memori indah. Kita terbayangkan hidup bersama anak-anak, terima ribuan ciuman dan pelukan, serta pelbagai pengalaman “pertama kali” bersama si kecil kita.
Ya, keibubapaan memang menukar hidup kita menjadi sesuatu yang mencabar dan mengujakan. Sebab itulah kami banyak berbicara tentang pengalaman menjadi ibu dan ayah di ruangan ini.
Namun, tidak ramai yang mahu berbicara tentang sisi gelap tanggungjawab ibu bapa, di sebalik semua kegembiraan ini.
Sisi gelap ini turut boleh menyebabkan keadaan seperti kemurungan selepas bersalin, meninggalkan para ibu berasa tidak berdaya.
Jadi, sudah sampai masanya untuk kita berbicara tentang perkara pahit berkenaan tanggungjawab ibu bapa. Ini supaya para ibu ayah di luar sana boleh mengetahui realiti keibubapaan yang sebenar.
Berikut merupakan 5 detik paling mencabar, kami gelarkannya “sisi gelap”, dalam perjalanan hidup kita menjadi seorang ibu dan ayah.
1. Rasa sakit yang amat sangat
Kredit: Shutterstock
Keibubapaan hadir membawa rasa sakit dari segi fizikal dan juga psikologi. Rasa tidak selesa semasa mengandung pudar dan hilang apabila dibandingkan dengan rasa sakit semasa bersalin.
Pada masa itu, kita merasakan seperti ada satu raksasa yang menyiat dan membuka badan kita, otot perut terkoyak, bahagian bawah terbuka, berdarah dan dijahit semula.
Ini belum termasuk rasa sakit apabila kita kehilangan seorang anak. Hal ini mengoyak dan menyiat hati kita dan ia tidak akan pernah sembuh.
Kita juga “merasai” rasa sakit yang dialami oleh anak kita ketika dia jatuh sakit.
Dan para ibu yang turut bekerja siang dan malam sambil menguruskan anak, ia hadir dengan membawa rasa sakit dan penat pada belakang badan, bahu, dan lutut.
Ya, tanggungjawab ibu bapa turut memberikan rasa sakit dari segi fizikal. Semua pengalaman ini turut membawa seribu satu kedutan pada wajah dan badan.
Namun, pada akhirnya, ia membawa rasa kepuasan dan bangga yang amat sangat apabila dapat melihat anak kita membesar dengan baik dan berjaya menjadi insan yang sempurna dan berguna.
2. Rasa sedih
Kredit: slate.com
Kadangkala, apabila saya melihat wajah anak yang sedang tidur, bagaimana cepatnya mereka membesar (seorang 4 tahun dan seorang lagi 6 tahun), saya berasa sangat sedih.
Kesedihan ini kerana rasa nostalgik apabila memikirkan zaman bayi mereka sudah berlalu dan saya tidak mungkin akan merasainya semula.
Ia juga berkaitan dengan hakikat di mana, satu hari nanti, mereka akan meninggalkan saya, membina keluarga dan menggalas tanggungjawab ibu bapa sendiri.
Ya, bakal ibu ayah sekalian, keibubapaan sememangnya penuh dengan detik yang menyedihkan ini.
Mudah saja untuk air mata kita menitis saat mengenangkan detik di mana mereka melangkah masuk ke sekolah buat pertama kali dan juga di saat mereka melangkah keluar dari rumah buat pertama kali.
Anak-anak akan meninggalkan anda serta hati anda yang penuh dengan rasa cinta terhadap mereka.
3. Rasa marah
Kredit: theAsianparent Singapore
Tiada siapa yang boleh membuatkan saya naik darah seperti ahli keluarga saya sendiri.
Cuba bayangkan rasa marah apabila anak kita tidak dengar cakap dan bandingkannya dengan rasa marah kita apabila anak orang lain tidak dengar cakap kita. Memang lain bukan?
Saya benci diri sendiri apabila memikirkan tentang hal ini, tapi saya tahu saya tidak keseorangan dalam merasainya.
Kadangkala, kemarahan kita boleh memuncak sehingga kita hilang kawalan. Ia juga mungkin berkait dengan kemurungan selepas bersalin!
Benarlah seperti yang diungkapkan oleh Audre Lorde:
“Keibubapaan itu adalah gabungan antara kedamaian, kebencian, kepuasan dan kelembutan.”
4. Rasa penat
Oh…ini sememangnya sisi gelap dalam menjadi seorang ibu dan ayah. Ia adalah pengembaraan dan tanggungjawab ibu bapa yang penuh dengan kepenatan.
Detik kepenatan ini bermula sebaik sahaja kita mengandung (diterukkan lagi dengan hormon) dan apabila kita mula tidak cukup tidur.
Rasa penat ini akan berterusan bertahun lamanya selagi mana anak-anak kita masih dalam fasa membesar.
Siang dan malam kita akan dipenuhi dengan aktiviti seorang ibu dan ayah seperti memberi makan, memandikan anak, bermain dengan anak, menidurkan anak, mendidik anak…ia satu senarai yang panjang dan tidak pernah habis!
5. Rasa kecewa
Kredit: Thespruce.com
Mari saya cuba kira berapa kali anak-anak saya membuatkan saya kecewa. Eh, saya terlupa pula. Ia tidak terkira sebenarnya!
Daripada saat si kecil muntah tidak henti-henti apabila dia mula makan makanan pejal buat pertama kali, sehinggalah ketika saat anak saya membuat tantrum.
Dan, daripada saat mereka tidak mahu mendengar kata sehinggalah ketika saya berasa penat meminta anak saya supaya cepat menghabiskan makanannya…Ini semua membuatkan saya rasa kecewa!
Tanggungjawab ibu bapa bukan mudah…
Memang benar. Keibubapaan penuh dengan sisi gelap. Akan ada banyak detik yang mencabar keupayaan dan kesabaran kita sebagai seorang ibu dan ayah.
Tapi, marilah kita sentiasa ingat yang selepas kegelapan, akan hadir jua cahaya.
Cahaya inilah yang menyeimbangkan kegelapan yang kita alami dalam memenuhi tanggungjawab ibu bapa.
Ia adalah pengalaman yang menggembira dan memuaskan, sehingga ia mampu membuatkan kita terlupa seketika tentang sisi gelap keibubapaan!
Bagaimana pula dengan anda? Apakah pengalaman pahit anda sebagai seorang ibu atau ayah? Bagaimana anda mengatasinya?
Terjemahan daripada theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Kepentingan ilmu keibubapaan – Patut kongsi ke tak parenting tips?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!