Setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Sekejap berbaik dan bermesra, sekejap bergaduh macam perang dunia. Namun jika keadaan tegang sering berlaku dalam hubungan, lama-kelamaan boleh buat salah satu pihak rasa tawar hati dengan pasangan.
Tidak dinafikan bahawa untuk mengecapi kebahagiaan perlu melalui pelbagai onak duri. Tipulah sepanjang mendirikan rumah tangga dengan insan tercinta, anda tidak terfikir untuk berputus asa kan?
Maksud tawar hati
Menurut laman web Redaksi, tawar hati maksud adalah satu perasaan di mana ia bukan benci, tetapi sudah tidak mahu bersama dengan seseorang. Bukan itu sahaja, anda juga akan bertindak seolah-olah tidak kisah dengan apa yang akan berlaku dan memilih untuk berserah.
Hati perempuan sememangnya sangat sensitif. Namun dia masih mampu tersenyum apabila dirinya disakiti, tidak diendahkan ataupun pasangan mengabaikan perasaannya.
Bukan itu sahaja, dalam hati perempuan juga tersimpan pelbagai rasa pahit, manis sepanjang hidup bersama lelaki pilihan mereka. Ramai memilih untuk memendam perasaan bagi menjaga keharmonian rumah tangga sehingga ada yang bertahun-tahun hidup dengan airmata.
Bila perempuan tawar hati, kebahagiaan rumah tangga akan mula hilang serinya. Insan bernama isteri ini membawa aura tersendiri. Jika hatinya tidak bahagia, seluruh bahagian rumah akan mula terasa lain.
Pasangan mula berubah, bolehkah jika isteri minta cerai kerana tawar hati?
Hubungan suami isteri akhir zaman dikatakan amat menguji kesabaran. Ramai istri kecewa dengan sikap suami yang dikatakan hanya bersungguh pada awal perkahwinan, lama-kelamaan berubah dan bersikap acuh tidak acuh tentang isteri dan anak-anak di rumah.
Bukan itu sahaja, lebih menyedihkan lagi apabila pasangan mula bahagia apabila berada di luar rumah daripada meluangkan masa dengan isteri dan anak-anak.
Mungkin beberapa kali sudah terdetik dalam hati anda, bolehkah jika isteri minta cerai kerana tawar hati? Sebelum membuat keputusan besar, kami minta anda lakukan 14 perkara ini terlebih dahulu agar tidak menyesal kemudian hari.
Takkanlah anda sanggup gadaikan masa depan anak-anak dan ikatan perkahwinan yang telah bertahun terbina.
1. Ingat yang perasaan bukan selalunya betul
Kalau ikut hati, mati. Itulah perumpamaan yang sering kita dengar dan ia ada betulnya. Perasaan boleh menyesatkan anda. Orang yang menipu, membalas dendam dan menggoda pasangan lain sebenarnya terpedaya dengan perasaan sendiri.
Dan perasaan itu akan pergi dengan sendiri. Jangan terlalu ikut perasaan bila hati dah tawar. Ia perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan.
2. Cinta bukan satu perasaan saja
Cinta adalah satu komitmen, satu tanggungjawab dan satu pilihan. Memang kadang-kadang kita rasa tawar hati, tak rasa romantik dan lovey dovey lagi dengan pasangan.
Perasaan boleh berubah, tapi komitmen itu tetap ada. Jadi ingatlah, anda yang buat pilihan untuk tetap mencintai pasangan, walau apa pun yang terjadi.
3. Ingat janji pada pasangan
Masih ingat saat akad nikah anda? Saat pasangan mencium lembut dahi anda? Saat kalian saling berjanji untuk menjaga satu sama lain?
Ingatlah janji itu. Ingat mengapa anda memilih untuk mengahwininya.
4. Lihat gambar mesra anda dan suami
Cuba lihat gambar kalian dulu-dulu. Anda akan ingat sampai mana dah anda dan pasangan sampai. Kadang-kadang, apabila kita sudah hilang arah, kenangan seperti ini akan mengembalikan kita pada realiti. Anda boleh cuba!
5. Solat
Kita boleh hilang arah dan membuat kesilapan. Tapi dengan melakukan solat dan mendekatkan diri dengan Tuhan, insyaAllah, Tuhan akan memberi pencerahan.
6. Ambil sedikit masa untuk keluar dating
Ambil keputusan untuk cipta memori baru. Apabila anda asyik rasa nak berputus asa, anda dan pasangan akan semakin berjauhan.
Buang rasa nak angkat kaki, cuba semarakkan rasa cinta. Keluar, pergi dating macam pasangan bercinta yang baru kenal. Jangan buat cinta terlalu menyerabutkan.
7. Buang benda negatif
Hati-hati ketika anda sedang berduka. Jangan hampiri sesuatu yang negatif. Sebenarnya, lebih ramai orang gembira sebuah rumah tangga retak, berbanding gembira melihat 2 cinta disatukan.
Hati-hati memilih siapa yang mendengar keluhan anda.
8. Tengok filem atau baca buku romantik
Ini akan mengingatkan anda tentang bagaimana cinta mampu menempuh apa pun cabaran. Percaya dalam cinta anda.
9. Senaraikan kenapa anda mencintai pasangan
Memang perangai manusia untuk fokus pada benda buruk saja apabila kita tak ingat sesuatu yang baik. Cuba lihat pasangan dalam cara yang seimbang. Nanti anda pasti ingat mengapa anda mengahwininya.
10. Tiada cinta yang sempurna
Semua cinta ada cabarannya, sama ada dari segi kewangan, kesihatan, komunikasi, mertua, kerja, keibubapaan, masalah salah faham dan sebagainya.
Cabaran ini untuk menguji cinta anda. Kalau anda dan pasangan sama-sama berganding bahu mengatasinya, pasti cinta kalian akan lebih kukuh. Cinta adalah “saya tetap ingin bersama awak, walau apa pun yang terjadi.“
11. Belajar daripada kesilapan lalu
Adakah anda memang cepat berputus asa sebelum ini? Kalau ya, mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti bersikap demikian.
Anda boleh melawan semua cabaran, percayalah!
12. Semak semula apa yang anda mahukan daripada pasangan
Adakah anda atau pasangan terlalu mahu sesuatu yang mustahil? Cubalah perlahan-lahan.
Sama-sama jadi matang dengan pasangan.
13. Dengar lagu cinta kalian
Jika anda dan pasangan ada lagu special tentang memori-memori indah, cuba dengar balik lagu itu. Masih ingat rasa cinta pada waktu itu?
14. Cuba perbaiki perkahwinan ini
Apapun yang berkurangan dalam perkahwinan itu, cubalah berusaha untuk memperbaikinya. Perlahan-lahan. Kerjasama dengan pasangan.
Mungkin apa yang anda rasa tawar hati itu sebenarnya kerana penat dan kecewa. TAK MENGAPA DAN TAK SALAH untuk rasa penat dan kecewa.
Tapi jangan berputus asa! Berjanjilah, selagi ia boleh diselamatkan, selamatkan perkahwinan dan rasa cinta anda itu. Mudah-mudahan, semuanya berkekalan hingga ke anak cucu. Amin.
5 tanda orang dah tak sayang kita
#1. Bertengkar perkara kecil
Tanda orang dah tak sayang kita yang pertama ialah sering bergaduh disebabkan oleh perkara kecil. Anda akan menyedari pasangan mudah naik angin dan suka membesarkan masalah sehingga tiada jalan penyelesaian.
Lebih menyedihkan lagi apabila dia mula menyalahkan diri anda yang menjadi punca dalam setiap masalah tanpa memeriksa terlebih dahulu kesilapan yang datang daripada dirinya.
#2. Sentiasa melihat kekurangan, bukan kelebihan
Suami abaikan perasaan isteri apabila dia hanya melihat pada kekurangan diri anda. Meskipun sudah banyak perkara anda korbankan termasuklah hati dan perasaan, dia langsung tidak menghargainya.
Ini adalah tanda jelas cinta di hati sudah pudar.
#3. Enggan bercakap tentang masalah
Jika pasangan anda selalu cuba menghindari konflik atau berhadapan dengan sesuatu masalah yang hadir dalam hubungan, ini juga menunjukkan dia tidak lagi peduli tentang apa yang bakal berlaku untuk masa depan hubungan anda.
Perkara ini boleh terjadi apabila dia merasakan anda dan anak-anak tidak lagi penting dalam kehidupannya.
#4. Ungkapan ‘Aku Cinta Padamu’ tiada makna
Mengucapkan kata-kata cinta adalah perkara normal selain membuktikan rasa kasih kita pada pasangan. Namun apabila kata-kata keramat itu sudah jarang diungkap dari bibir suami, ketahuilah bahawa ia adalah petanda buruk.
#5. Masih seronok ‘mencuba nasib’
Tidak dinafikan bahawa ramai suami sanggup bermain cinta dengan perempuan lain di belakang isteri mereka.
Buktinya, anda boleh periksa sendiri telefon suami dan lihat perbualan sehariannya. Jika dia menghalang dan mengatakan telefon adalah privasi, ketahuilah bahawa ada rahsia yang disembunyikan daripada pengetahuan anda.
Tanda perempuan tawar hati
Antara tanda perempuan tawar hati adalah:
- Kurang bercakap dan banyak mendiamkan diri. Umumnya wanita sifatnya memang seorang yang suka bercakap pelbagai perkara. Jika dirinya mula diam dan hanya bercakap hal penting sahaja, ia petanda dirinya berdepan dengan masalah
- Sensitif dan mudah marah. Tanda perempuan tawar hati adalah apabila dia tiba-tiba berubah menjadi mudah marah. Biasanya ia berpunca kerana rasa penat menguruskan rumah tangga dan kerja seharian.
- Menjadi seorang yang berahsia. Seorang isteri terlalu mudah berkongsi apa sahaja dengan pasangan. Namun jika dia sudah mula jarang meluahkan, itu mungkin tanda perempuan tawar hati untuk meneruskan hubungan.
Bagaimana cara berdepan dengan suami abaikan perasaan isteri
Bukan mudah untuk melalui waktu-waktu getir sewaktu menghadapi masalah rumah tangga. Minda jadi begitu kusut sehingga rasa tertekan menyerang diri.
Patutkah anda berkongsi masalah yang dihadapi dengan orang lain atau patut telan sahaja kepahitan dalam perkahwinan yang tidak lagi bahagia kerana sikap suami yang semakin berubah?
Berikut kami kongsikan beberapa cara berdepan dengan suami abaikan perasaan isteri:
- Berkongsi masalah dan merujuk ibu ayah
- Mendengar nasihat atau ceramah ustaz/ustazah
- Dapatkan bantuan kaunseling dan terapi perkahwinan
- Sibukkan diri dengan aktiviti seharian
- Sentiasa bertenang dan cari jalan yang terbaik
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Kedudukan Solat Suami Isteri Yang Betul Ketika Berada Di Ruang Sempit, Solat Tetap Sah & Tidak Batal
Baca juga: Suami Isteri Perlu Sediakan 1 Fail Keluarga Yang LENGKAP, Penting Bila Berlakunya Kematian!
Baca juga: Suami Isteri Yang Muka Seiras Dikatakan Jodoh Kuat & Lebih Bahagia, Ini 5 Sebabnya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!