Jika anda merupakan seorang ibu atau ayah yang tidak cukup tidur akibat bayi yang tidak henti-henti menangis di waktu malam, anda pasti lega setelah membaca artikel teknik 5S yang mengajar cara tenangkan bayi menangis dengan berkesan.
Untuk beberapa bulan pertama selepas kelahiran, ia adalah perkara normal apabila ibu ayah terpaksa berkorban waktu tidur bagi ‘melayan’ bayi. Namun jika anda mempraktikkan cara yang betul, si manja akan berasa lebih tenang dan mudah melelapkan mata.
Cara tenangkan bayi menangis menggunakan teknik 5S
Teknik 5S adalah satu teknik praktikal yang diperkenalkan oleh pakar pediatrik terkenal serta pengarang buku, Dr. Harvey Karp.
Teknik ini berkesan kerana ia memfokuskan kepada cara meniru pergerakan serta bunyi yang boleh didengari oleh bayi ketika mereka berada dalam rahim ibu.
Bayi sebenarnya sudah biasa dengan keadaan sempit dan pelbagai bunyi bising ketika berada dalam kandungan ibunya selama 9 bulan.
Menurut Dr. Karp, inilah sebabnya mengapa bayi mudah untuk meragam apabila diletakkan di dalam bilik yang terlampau sunyi sambil tangan dan kakinya bebas bergerak. Dengan teknik 5S ini, ia mencipta semula senario dalam rahim ibu yang cukup selesa bagi bayi anda.
Kelima-lima langkah ini perlu dilakukan secara berturut-turut supaya anda boleh menghentikan tangisan dan rengekan si kecil anda dengan segera dan mudah.
#1. Swaddling (Membendung)
Teknik “S” yang pertama adalah swaddling, atau membendung. Melalui cara ini, kita membalut bayi dengan selimut nipis dan memastikan tangannya berada di sisi badannya dan dibalut kemas.
Adalah penting untuk membendung dengan cara yang betul dan melakukannya sebelum waktu tidur.
Cara bendung yang betul membolehkan si kecil anda menggerakkan kakinya dan pada masa yang sama, mengelakkan tangannya daripada bergerak bebas.
Bayi yang telah dibendung juga perlu dibaringkan secara melentang. Balutannya juga perlu kemas dan ketat kerana selimut yang dibalut longgar mudah tercabut dan meninggikan risiko lemas.
#2. Stomach/Side Position (Berbaring secara meniarap atau mengiring)
Cara kedua untuk hentikan bayi menangis dengan segera adalah membaringkan si kecil anda secara meniarap atau mengiring.
Kemudian, anda juga turut menepuk dengan lembut bahagian belakang atau sisinya.
Yang paling penting ketika melakukan teknik “S” yang kedua ini adalah anda tidak boleh meninggalkan bayi anda tidur bersendirian.
Ia dikhuatiri yang posisi tidur sebegini boleh menyebabkan kepalanya tersembam di atas tilam dan mengakibatkan SIDS (kematian bayi secara tiba-tiba) akibat sukar bernafas dan lemas.
#3. Shush (Membuat bunyi “shusshhh”)
Jika anda sudah mencuba teknik “S” pertama dan kedua tetapi si kecil anda masih lagi menangis, mulakan teknik yang ketiga ini – membuat bunyi “shuuusshhhh”.
Ramai ibu bapa tidak tahu bilik yang terlalu sunyi atau senyap tidak akan dapat menenangkan bayi merengek.
Mereka sudah biasa dengan bunyi bising ketika berada di dalam rahim ibu. Jadi untuk menghentikan bayi anda daripada menangis, anda perlu membuat white noise (bunyi bising putih).
Buat bunyi “shuushhh” di telinga bayi anda dengan kuat ketika dia menangis dan perlahankan suara anda apabila dia mula tenang. Teruskan membuat bunyi ini sehingga anak anda terlena.
#4. Swing (Membuai)
Mendukung dan membuai bayi anda juga adalah antara teknik terbaik untuk hentikan bayi menangis dengan segera.
Dukung si kecil anda dan gerakkan badan anda ke depan dan belakang, atau ke kiri dan ke kanan, dengan perlahan sehinggalah bayi anda tenang dan tertidur.
Anda juga turut boleh membuat bunyi “shuushh” sambil membuaikan si kecil anda.
#5. Suck (Menghisap)
Lagi satu kaedah untuk menghentikan tangisan bayi anda adalah dengan memberikan puting (pacifier) atau membiarkannya menghisap jari.
Sebenarnya, menghisap puting atau jari adalah satu cara bayi untuk menenangkan dirinya. Pergerakan mulutnya ketika menghisap dapat memberikan rasa selesa dan seterusnya menghentikan tangisan.
Malah, ia turut menggalakan bayi anda untuk tidur lena.
Jadi, apabila anak kecil anda tidak henti-henti menangis, cuba 5 teknik di atas secara berturut-turut. Salah satu daripadanya pasti dapat menenangkan si kecil anda itu!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Bau Ibu Adalah Paling Harum Buat Bayi, Patutlah Si Manja Boleh Berhenti Menangis
Baca juga: Sekali-Sekala Anak Perlu Diberi Peluang Menangis Agar Lebih Bijak Menguruskan Emosi
Baca juga: Awalnya Keluar Tahi, Kemudian Berdarah- Ibu Cemas Mata Bayi 14 Hari Dijangkiti Kuman