Shah Alam memang dikenali sebagai bandar yang menggabungkan pembangunan pesat dengan keindahan alam semulajadi yang terpelihara. Walaupun bandar ini terus berkembang dan mempunyai banyak kemudahan moden seperti pusat beli-belah, kolej dan perumahan baru, ia juga memelihara ruang hijau dan taman-taman awam yang luas. Banyak tempat menarik di Shah Alam yang boleh anda kunjungi.
Tempat Menarik Di Shah Alam
Berikut adalah 20 tempat menarik di Shah Alam yang anda boleh kunjungi seisi keluarga.
1.Taman Botani Shah Alam
Ia menawarkan pelbagai tarikan menarik antaranya rumah iklim sederhana empat musim, di mana pengunjung dapat mengalami suasana musim yang berbeza. Setiap tiga bulan, taman ini mengubah suasana dari musim sejuk ke musim bunga, panas, dan luruh dengan bunga yang sesuai.
2.I CITY Shah Alam
Selain pokok dengan hiasan lampu memukau berwarna warni pada waktu malam, banyak lagi tarikan menarik yang ditawarkan. Terdapat Snowalk dengan suhu serendah 5 darjah Celsius di sini dan anda berpeluang melihat rumah-rumah yang dibuat daripada ais, orang salji, ukiran ais dan pelbagai lagi. Tempat menarik lain termasuklah seperti Laser Warzone, Waterworld, Space Mission, Circus Travel, Trick Art Museum dan banyak lagi.
Alamat: I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.
3.Dataran Kemerdekaan Shah Alam
Kawasan ini cukup meriah setiap kali tiba sambutan hari kemerdekaan iaitu Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Bagi yang kaki bola, anda boleh menggunakan gelanggang futsal dan padang bola luas yang disediakan.
Alamat: Persiaran Bandar Raya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
4.Zipline Shah Alam
Jika anda suka aktiviti mencabar adrenalin dan mengatasi ketakutan di tempat tinggi, datanglah ke Tasik Shah Alam. Di sini anda boleh mencuba aktiviti flying fox yang merentasi Tasik Shah Alam. Mempunyai kabel sepanjang 240 meter dan pelantar setinggi 18 meter, ia merupakan kabel berkembar yang membolehkan anda melakukan sliding bersama rakan atau pasangan.
Alamat: Persiaran Tasik, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
5.Setia Alam Community Trail Head
Lari sekejap dari kesibukan bandar dan nikmati udara segar di sini. Cabar diri anda dengan mendaki ke puncak bukit Setia Alam Community Trail Head. Terdapat pelbagai pilihan laluan bergantung kepada tahap kecergasan anda. Anda boleh menapak ke kawasan puncak yang 210 meter dalam masa 20 hingga 35 minit.
Alamat: Setia Eco-park, 40170 Shah Alam, Selangor
6.Kilang Roti Gardenia
Di sini anda didedahkan dengan asal-usul gandum yang digunakan dalam pembuatan roti Gardenia, cara roti diadunkan dengan menggunakan teknologi moden dan bagaimana ia dibakar dengan menggunakan kaedah tradisional. Tiada bayaran masuk dikenakan.
Alamat: Kilang Roti Gardenia, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor.
7.Tugu Peringatan Negeri Selangor
Dibina pada tahun 1981 tugu setinggi 120 kaki ini melambangkan penghargaan kepada pejuang-pejuang yang berkorban demi kemakmuran Selangor. Di sekitar tugu ini, terdapat nama-nama pahlawan yang diabadikan.
Alamat: Halaman Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
8.Pusat Akuatik Darul Ehsan
Pusat akuatik ini menempatkan dua kolam renang tertutup yang bersaiz olimpik serta kolam renang yang sesuai untuk digunakan kanak-kanak. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, bilik persalinan pakaian, tandas, bilik mandi, locker, ruang makan, parking, ruang santai terbuka atau tertutup dan lain-lain lagi.
Alamat: Jalan Aerobik 13/43, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor
9.Denai Alam Riding & Recreational Club
Rasai pengalaman menunggang kuda di sini. Anda boleh memilih pakej kelas menunggang kuda yang ditawarkan dalam harga yang sangatlah berpatutan.Untuk 6 sesi, harganya hanyalah bermula daripada RM210.
Alamat: No 1, Jalan Elektron U16/100, Seksyen 16, Denai Alam, Denai Alam, 40160, Selangor
10.Pasar Malam Setia Alam
Jangan terkejut, pasar malam ini sebenarnya adalah pasar yang terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan di dalam The Malaysia Book of Records.Peniaganya juga bukan hanya orang Melayu, tapi daripada pelbagai bangsa. Oleh sebab itu, pelbagai jenis makanan yang boleh anda ditemui, dari masakan Cina, India, Eropah sehinggalah Jepun. Di sini terdapat banyak lagi jualan produk lain seperti aksesori, pakaian, kasut, barangan elektronik, mainan dan sebagainya.
Alamat: Jalan Setia Prima A U13/A, Setia Alam, 40170 Shah Alam
11.Shah Alam Royal Theater
Sebuah bangunan dengan reka bentuk unik. Dibina dengan bajet mencecah RM43 juta, seni binanya berkonsepkan gaya seni bina Melayu-Bugis yang diolah untuk kelihatan lebih moden.
Alamat: Jalan Persidangan, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
12.Perpustakan Raja Tun Uda
Berkonsepkan perpustakaan dalam taman ia perpustakaan awam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi. Jika anda suka menonton filem, anda bukan setakat boleh menikmati filem itu dalam bilik yang disediakan di perpustakaan ini, anda juga dapat menontonnya dalam 3D atau 6D! Perpustakaan 6 tingkat ini dapat menampung 400,000 buah buku dan 2500 orang pada satu-satu masa.
Alamat: Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor
13.Muzium Sultan Alam Shah
hampir 4000 buah artifak dipamerkan di sini. Terdapat lima balai pameran yang berbeza iaitu Balai Islam, Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan pameran luar. Kemudahan lain yang disediakan adalah dewan, bilik mesyuarat, makmal taksedemi dan repositori, pusat sumber serta auditorium. Kemasukan ke muzium ini adalah percuma.
Alamat: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam
14. Laman Seni 7, Shah Alam
Terdapat empat kategori utama karya seni yang dipamerkan di sini iaitu painting on site, street furniture, 3D painting dan 3D installation. Setiap karya tidak hanya mempamerkan keindahan visualnya tetapi juga mengandungi mesej yang cuba disampaikan pelukis karya.
Alamat: Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam
15. Setia City Mall
Di sini bukan saja boleh membeli belah, anda boleh bersantai bersama kawan-kawan di pusat bowling, karaoke dan juga di taman yang terletak berhadapan pusat beli belah ini.
Alamat: 59, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor
16.Uptown Shah Alam Seksyen 24
Di sini, anda dapat menikmati suasana pasar malam berbumbung yang membolehkan anda untuk berbelanja tanpa mengira cuaca. Anda akan menemui pelbagai barangan dijual seperti jam tangan, barangan bundle, topi, hijab, aksesori telefon bimbit, serta pelbagai jenis makanan.
Alamat: Kompleks Muhibbah, Persiaran Sultan, Seksyen 24, Shah Alam
17.Wet World Shah Alam
Jika anda mencari aktiviti yang menyeronokkan untuk musim cuti sekolah, mengunjungi Wet World Shah Alam mungkin menjadi pilihan yang tepat untuk anda dan keluarga. Di taman tema air ini, anda dapat menikmati berbagai permainan air dan berseronok sepuas hati.
Alamat: Taman Tema Air Wet World, No. 3A, Persiaran Dato’ Menteri, Sek.14, 40000 Shah Alam
18.Taman Tasik Shah Alam
Ia dibuka pada 1985 dan direka oleh arkitek landskap Jepun, Fumiaki Takano. Taman ini menjadi destinasi yang amat menarik untuk berehat dan berekreasi bersama keluarga.
Alamat: Pesiaran Tasek, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
19. Dataran Bunga Raya
Di Dataran Bunga Raya yang terletak di bahagian timur Taman Tasik Shah Alam, anda dapat melihat pelbagai jenis bunga raya dengan warna yang berbeza termasuk merah jambu, putih, dan peach. Tempat ini sangat sesuai untuk penggemar mikrofotografi atau siapa saja yang ingin menikmati keindahan dan keunikan bunga raya ini.
Alamat: Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, 40000 Shah Alam
20.Kompleks Taman Seni Islam
Terdapat beberapa galeri berbeza di sini seperti Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, bahagian penyalinan mushaf Al-Quran, rekaan,pewarnaan, grafik dan penerapan emas. Di sini juga terdapat manuskrip asli Al-Quran yang dianggarkan berharga RM20 juta.
Alamat: 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam
maisinggah
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 30 Tempat Menarik Di Melaka Percuma Untuk Seisi Keluarga, Jimat Poket & Berbaloi
Baca juga: 35 Tempat Menarik & Aktiviti Best Di KL Untuk Keluarga
Baca juga: Tempat Menarik Melaka Yang Wajib Dikunjungi Ketika Bercuti, Paling Best Mesra Keluarga!