Sebagai ibu bapa, kadang-kala kita akan dapati diri ini mula akan membandingkan perkembangan anak kita dan anak orang lain walaupun tidak berniat langsung. Contohnya, kita akan melihat anak rakan baik kita sudah mula merangkak dengan lancar, manakala cahaya mata kita seolah-olah tidak berminat untuk merangkak!
Lebih teruk lagi apabila mereka yang berada dalam kehidupan kita sering menegur sifat si manja yang enggan merangkak. Pasti kita akan rasa lebih murung.
Tetapi, ada beberapa perkara yang perlu anda ketahui tentang kanak-kanak yang enggan merangkak pada waktunya, bermula dari punca-punca mengapa si manja tidak menunjukkan minat untuk meneroka melalui pergerakan merangkak.
Apakah Punca Bayi Tidak Berminat Untuk Merangkak?
1# Kaki si manja membengok ke dalam
Disebabkan si manja berada di dalam posisi melengkung ketika berada di dalam rahim ibu, maka ianya normal untuk cahaya mata anda mempunyai kaki yang membengkok ke dalam. Tetapi, fizikal mereka akan mula membesar dan memanjang secara normal dengan peningkatan usia.
Sekiranya proses tumbesaran ini tidak berlaku pada si manja, ia memang akan menyukarkan mereka untuk mula bergerak ke sana sini.
2# Tidak kerap buat tummy time
Tummy time adalah bermaksud apabila si manja diletakkan di dalam keadaan meniarap oleh penjaga mereka. Ini akan menguatkan otot leher, bahu, lengan dan kaki bayi. Sekiranya si manja anda kurang mendapat tummy time, maka otot-otot yang disebut tadi mungkin tidak cukup kuat untuk si manja mula merangkak.
3# Personaliti si manja yang memang tidak berminat untuk merangkak
Setiap individu mempunyai personaliti tersendiri, termasuklah cahaya mata anda. Sesetengah bayi mungkin mempunyai personaliti yang lebih santai dan tenang, maka mereka pun tidak tergopoh-gapah untuk mencuba perkara-perkara baru.
Kami faham bahawa ia merisaukan anda, tetapi kalau personaliti si manja anda sudah begitu, anda hanya cuma boleh memahami mereka.
4# Berat badan bayi menyebabkan dia tidak berminat untuk merangkak
Berat badan seorang bayi amatlah penting dalam menentukan sekiranya mereka boleh melalui proses-proses tumbesaran yang sepatutnya. Walaupun si manja yang tembam itu comel, tetapi sekiranya berat badan mereka adalah pada kadar yang tinggi bagi seorang bayi maka ia berpunca untuk menyukarkan bayi untuk mula merangkak.
5# Kaki si manja terlalu keras (hipertensi)
Kondisi hipertensi ini akan menghalang si manja untuk merangkak. Ia disebabkan oleh otot-otot kaki si manja yang terlalu tegang, dan ia adalah satu kondisi yang ibu dan ayah perlu ambil berat kerana sekiranya si manja mengalami hipertensi, maka mereka pasti akan mempunyai masalah saraf dan otak juga.
Galakan Terbaik Untuk Diberikan Pada Si Manja
Terdapat berbagai-bagai penyebab mengapa si manja anda masih tidak merangkak pada usianya, dan jika cahaya mata anda tidak kelihatan seperti mereka berada dalam kesakitan berpunca dari merangkak maka, tiada apa yang anda perlu risaukan.
Sesetengah kelewatan dalam perkembangan bayi adalah normal, tapi anda masih tetap boleh memberi galakan pada si manja!
- Berikan mereka lebih banyak tummy time
Kuatkan otot leher, bahu, lengan dan kaki bayi dengan memberi mereka lebih banyak tummy time. Lama-kelamaan, pasti si manja akan mula merangkak setelah otot mereka sudah cukup kuat untuk menyokong berat badan mereka.
- Tinggikan kedudukan lengan bayi
Ketika si manja sedang bermain dengan alat permainan mereka dalam keadaan meniarap, anda boleh meletakkan lengan bayi di atas bantal bagi memberi sedikit ketinggian pada kedudukan lengan bayi.
- Mengurut kaki si manja
Seperti yang telah dinyatakan, si manja mungkin tidak merangkak oleh sebab mereka mempunyai otot yang terlalu tegang. Selalunya, ia bukanlah disebabkan oleh hal yang terlalu serius jadi sekadar urutan sudah cukup untuk melembutkan otot kaki si manja anda.
- Memberi ruang pada cahaya mata
Sesetengah bayi mungkin tidak akan merangkak dan terus mula berjalan, dan ianya tidak mengapa! Walaupun anak anda melompat satu proses tumbesaran, tetapi dari sudut positif, mereka terlalu maju sehingga mampu melangkau satu proses tumbesaran!
Jangan mudah berputus asa ya ibu-ibu! Memang ada bayi tidak berminat untuk merangkak pada mulanya, tapi lama-kelamaan jika anda sentiasa mengajar mereka, mereka pasti akan cuba sendiri.
Selamat berjaya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Risau Pula Tengok Bayi Merangkak, Tapi Ke Belakang, Apa Boleh Saya Buat?