Ketika menjaga anak kecil, aspek perkembangan yang perlu ibu ayah beri perhatian ialah ketinggian dan berat badan hendaklah selari dengan usia si manja. Jika berat badan tidak bertambah, ia dikenali sebagai kegagalan untuk berkembang. Namun jangan risau ada beberapa tips menaikkan berat badan bayi dengan zero cost!
Ramai ibu akan panik apabila menyedari tubuh dan berat badan bayi tidak naik sehingga sanggup mencuba pelbagai produk yang ada di pasaran. Sebenarnya sehingga usia 2 tahun, si kecil anda hanya memerlukan susu badan mencukupi untuk menyokong tumbesaran mereka.
Tips menaikkan berat badan bayi dengan susu ibu
Bagi anda yang mengalami masalah kekurangan susu badan, jangan cepat berputus asa. Usahakanlah untuk menyusu bayi anda dengan berurut, mengambil supplemen atau menjaga tabiat hidup yang sihat.
Hal ini kerana susu ibu menyediakan nutrisi yang lengkap kepada bayi. Pakar mengesyorkan pemberian susu eksklusif kepada si manja selama paling kurang enam bulan dan boleh diteruskan sehingga usia 1 tahun. Kolostrum yang ada dalam susu badan tinggi dengan protein, rendah gula dan antibodi bagi melawan pelbagai jenis virus.
1. Tips menaikkan berat badan bayi- Beri bayi minum susu mengikut permintaannya
Tips menaikkan berat badan bayi dengan susu ibu yang pertama ialah anda harus mengikut permintaan si kecil itu. Masa bila bayi ingin menyusu?
Ia boleh dilihat ketika bayi menangis atau memasukkan jari ke dalam mulut.
Kemudian, tawarkan penyusuan tanpa had. Ia lebih mudah meningkatkan berat badan bayi dengan lebih cepat.
2. Menyusu lebih lama pada satu payudara
Tips yang seterusnya adalah anda harus memastikan bayi menyusu lebih lama pada satu bahagian payudara untuk mendapatkan hindmilk iaitu susu terakhir yang mempunyai banyak kandungan lemak.
Jangan tukar kiri kanan jika susu masih banyak.
3. Tunggu bayi melepaskan puting sendiri
Sebelum menawarkan payudara yang lagi satu, biarkan sehingga bayi melepaskan sendiri payudara yang sedang dia menyusu sekarang.
Setelah itu, pastikan anak disendawakan. Tapi jika sudah tertidur, anda boleh mengiringkannya ke arah kanan supaya jantung tidak terbeban.
4. Susukan anak lebih kerap pada waktu malam
Hal ini kerana, ketika di waktu malam hormon prolaktin lebih banyak terhasil dan kandungan lemak dalam susu ibu meningkat lebih tinggi.
5. Kerap menyusu dan kosongkan payudara
Bila payudara dikosongkan, lebih pekat susu yang terhasil. Kandungan foremilk (susu cair) akan jadi banyak jika payudara membengkak baru hendak dipam, perah atau menyusu terus dari payudara.
Hal ini akan menyebabkan kandungan kalori dan lemak dalam susu jadi lebih rendah. Selain itu, pastikan jarak masa dua hingga tiga jam sekali untuk kosongkan payudara secara konsisten.
6. Asingkan foremilk dan hindmilk
Kalau nak tahu, 10 minit pertama susu anda itu adalah foremilk dan 10 minit terakhir pula adalah hindmilk.
Tips menaikkan berat badan bayi adalah dengan beri bayi minum hindmilk (susu terakhir). Ini caranya bagaimana untuk mengasingkan kedua-dua jenis susu itu.
- Jika bayi menyusu terus daripada payudara, pam dan simpan dahulu foremilk. Berikan si kecil minum hindmilk secara terus.
- Jika perahan untuk disimpan, pam foremilk hingga susu pekat mula keluar. Kemudian henti dan tukar botol.
Pam semula hindmilk dan beri pada bayi untuk minum.
7. Urut atau tuam payudara
Untuk merangsang lebih banyak kandungan lemak di dalam foremilk (susu awal/susu cair), ibu boleh untuk mengurut payudara semasa bayi menghisap susu secara direct.
Urut perlahan-lahan atau tuam dengan kain suam.
8. Amalkan makanan berkhasiat
Amalkan makanan yang seimbang dan berkhasiat serta mencukupi untuk tenaga harian bagi memastikan susu yang dihasilkan adalah berkualiti.
9. Rehat yang cukup dan elakkan stres
Ibu juga perlukan rehat yang mencukupi dan jauhi segala punca stress. Juga mesti kawal emosi dan sentiasa berfikiran positif.
Tapi harus diingatkan, tips di atas bukanlah untuk buat bayi menjadi gemuk dan terlalu bersemangat. Namun, memadai untuk perkembangan otak, fizikal dan motor kasar agar seiring dengan perkembangan umurnya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Mommyohsem
Kredit foto: Google Images
Baca juga: Risaunya Berat Bayi Tidak Naik Walaupun Kerap Menyusu, 7 Sebab Ini Ibu WAJIB Tahu!
Baca juga: Jangan Banding Berat Bayi Yang Minum Susu Ibu & Susu Formula, Ia Memang Jauh Berbeza!
Baca juga: 6 Cara Tambah Berat Bayi Yang Minum Susu Formula Dengan Mudah & Berkesan