Beberapa bulan pertama adalah antara masa paling sukar bagi proses penyusuan dan ibu yang memberi susu badan pada bayinya.
Jika anda seorang ibu muda, pada waktu ini, anda belum mahir tentang hal penyusuan. Bayi anda juga sedang menyesuaikan dirinya untuk minum susu dari payudara anda.
Anak kecil juga akan kerap ingin menyusu pada waktu ini, jadi ia menambahkan lagi kesukaran buat si ibu.
Di sini, kami ada kongsikan beberapa tip dari Romper dan The Humbled Homemaker tentang cara bagaimana untuk memudahkan proses penyusuan badan.
7 perkara ibu menyusu patut buat beberapa bulan pertama penyusuan
1. Cari bantuan dan sokongan
Jika anda memerlukan bantuan untuk mengetahui cara penyusuan yang betul, anda boleh meminta nasihat daripada pakar laktasi.
Pakar laktasi adalah golongan profesional yang mempunyai ilmu tentang penyusuan badan dan lebih berpengalaman tentang hal ini.
Pasti mereka dapat berkongsi tip yang praktikal dan betul untuk anda cuba di rumah.
2. Bersedia untuk malam yang panjang (tanpa tidur!)
Sumber: Babycenter.com
Antara perkara yang anda tidak dapat elak semasa beberapa bulan pertama adalah kepenatan akibat terpaksa menyusukan bayi anda di waktu malam.
Jadi, sedari awal, cuba bersiap sedia dari segi mental dan emosi bagi menempuhi fasa beberapa bulan pertama yang mencabar ini.
Ingatkan diri anda selalu yang kesukaran ini akan berakhir juga. Tidak lama lagi, bayi anda pasti akan mula tidur sepanjang malam.
3. Tidak perlu dengar cakap haters
Jangan biarkan diri anda hilang motivasi atau semangat jika ada haters, atau suara sumbang, yang mengejek usaha anda untuk memberi susu badan secara eksklusif pada bayi anda.
Malah, cuba dulu sedaya mungkin untuk menyusu badan, dan bukannya mendengar nasihat orang lain supaya terus memberikan susu formula, semata-mata untuk memudahkan kerja anda.
Bukanlah pemberian susu formula itu perkara yang terlalu teruk, tapi sekurang-kurangnya jangan rasa terpaksa untuk memberikannya pada bayi anda, hanya kerana ia adalah nasihat daripada orang terdekat anda.
Yang paling penting, ikutlah naluri keibuan anda, anda tahu apa yang terbaik buat diri dan anak kecil anda.
4. Amalkan diet pemakanan yang berkhasiat
Sumber: Familybirth.com
Oleh sebab pada beberapa bulan pertama ini, akan ada seorang insan kecil lain lagi yang bergantung hidup pada badan anda, pastikan yang anda terus mendapatkan bekalan makanan yang berkhasiat.
Selera makan anda mungkin akan meningkat pada waktu ini. Dengarlah isyarat badan dan sentiasa dapatkan nutrisi berterusan dengan hidangan sihat dan pada kadar yang kerap.
Begitu juga tentang pengambilan minuman air kosong. Ia amat penting supaya badan anda dapat kekal terhidrasi.
5. Minta pertolongan jika perlu
Sistem sokongan dari ahli keluarga, saudara mara, dan rakan-rakan adalah amat penting pada waktu ini.
Mintalah bantuan sekiranya proses penyusuan anda menjadi terlalu sukar dan anda tidak dapat mengharunginya seorang diri.
Biar suami bantu hal rumah dan anak-anak. Minta ibu ayah duduk bersama untuk menjaga anda jika perlu.
Izinkan sahabat anda datang menghantar makanan bagi meringankan beban anda. Tidak perlu ada rasa bersalah (atau berasa diri terlampau manja) dalam diri anda.
Anda sememangnya memerlukan bantuan dari orang terdekat pada waktu yang mencabar ini.
6. Cari posisi selesa ketika menyusukan badan
Sumber: The Asian Parent Singapore
Antara cara untuk memudahkan proses penyusuan badan pada beberapa bulan pertama adalah dengan mencari posisi menyusu yang selesa dan sesuai buat anda.
Cuba menyusukan bayi anda sambil duduk di kerusi yang selesa. Cara yang paling tepat adalah dengan membiarkan bayi meniarap di atas payudara sambil menyusu.
Ia dikenali sebagai penyusuan semulajadi.
Beli bantal breastfeeding jika anda rasa ia dapat membantu anda menyusukan si kecil dengan lebih mudah, tanpa rasa lenguh.
Sambil menyusu, buatlah perkara yang anda gemari. Contohnya, melihat wajah bayi anda, menyusu sambil mendukung dan mengusap kepalanya atau menonton filem dan cerita kegemaran anda.
7. Sayangi diri sendiri
Amat mudah untuk kita menyalahkan diri apabila perkara tidak berjalan lancar. Dalam hal penyusuan badan, pasti akan berlaku sedikit kesukaran.
Si kecil anda tidak mahu menyusu, payudara anda membengkak, puting menjadi sakit, dan sebagainya.
Namun, janganlah menjadi terlalu risau tentangnya. Ia adalah perkara normal, dan ramai lagi ibu lain di luar sana yang mengalaminya.
Sayangilah diri anda, dan percaya pada diri. Selalu ingatkan diri yang ia akan menjadi mudah jika anda terus praktis dan amalkan tip dan cadangan penyusuan yang telah anda pelajari.
Wahai ibu sekalian, jika anda sedang menghadapi kesukaran menyusukan bayi anda, bersabarlah ya, anda pasti dapat mengharunginya!
Sumber: theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
7 Soalan Tentang Penyusuan Susu Badan Yang Dijawab Pakar Laktasi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!