Susu ibu adalah makanan pertama yang terbaik dan selamat untuk menyokong perkembangan bayi. Rata-rata ibu mengeluh berdepan kesukaran ketika waktu menyusu sehingga memerlukan beberapa tips penyusuan bayi dengan betul.
Ia adalah perkara normal yang dihadapi oleh kebanyakan ibu pertama kali. Bagi anda yang memiliki anak kembar, pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah dalam memastikan kuantiti susu mencukupi seiring keperluan bayi.
Tips penyusuan bayi yang dikongsi oleh Dr Halina Yunos
Isteri angkasawan negara, Dr Halina Yunos sering berkongsi momen berharga membesarkan anak-anaknya menerusi akaun Instagram.
Memandangkan kini mereka memiliki anak kembar yang masih kecil, Eusoff dan Emelia sememangnya menyusu badan dalam masa sama terpaksa bekerja adalah perkara yang mencabar.
Walaupun bukan mudah, Dr Halina begitu gigih bagi memastikan anaknya menerima susu dengan cukup. Tidak hanya berjaga malam, bahkan apabila ada waktu terluang sahaja beliau akan berusaha mengepam susu untuk dijadikan stok buat Eusoff dan Emelia.
Menurut Dr Halina, ketika ini dia masih lagi menyusukan kedua-dua bayi kembarnya yang sudah memasuki usia sembilan bulan.
Menjalankan tugas sebagai doktor ada kalanya memerlukannya mengisi menggunakan sebaik mungkin masa yang ada untuk mengepam susu, termasuklah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
”Ini situasi yang berlaku ketika saya memandu kereta. Saya percaya ramai ibu di luar sana juga melakukan perkara yang sama. Bila nampak roadblock, kelam kabut cari nursing cover. Waktu sememangnya tidak menunggu kita,” kongsi Dr Halina dengan memuat naik sekeping gambar ketika memandu.
Begitulah pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak. Walaupun sibuk, namun tetap berusaha memberikan susu badan kepada amanah Allah ini.
Tips penyusuan bayi yang boleh dijadikan sebagai panduan para ibu
Sebelum ini Dr Halina sempat berkongsi beberapa tips penyusuan bayi yang berkesan kepada para pengikutnya.
Sama seperti ibu-ibu yang lain, saya sering memikirkan adakah badan mampu menghasilkan susu mencukupi untuk anak kembar?
Namun ini beberapa tips yang telah banyak membantu sepanjang proses penyusuan susu ibu:
#1. Minum air dalam kuantiti yang banyak
Bahan utama susu adalah air. Bagaimana tubuh dapat menghasilkan susu jika kita sendiri mengalami dehidrasi. Ibu perlu pastikan kerap minum air kosong, bawa air ke tempat kerja dan simpan sebotol di mana memudahkan anda mencapainya.
Pada masa ini saya minum sehingga 5 liter sehari untuk menjaga kesihatan diri dan menghasilkan susu! Jangan tanya berapa kali saya kencing kerana saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan susu badan cukup.
#2. Mengepam secara berkala walaupun di rumah
Untuk menghasilkan lebih banyak susu, payudara anda perlu dipastikan kosong selepas menyusu.
Payudara kosong akan menghantar isyarat kepada otak untuk menghasilkan lebih banyak susu. (Otak tidak menghasilkan susu, tetapi melepaskan prolaktin, hormon yang merangsang kelenjar untuk hasilkan lebih banyak susu).
Selama tiga bulan pertama, saya biasa mengepam setelah menyusukan kedua-dua bayi kembar. Meskipun tidak banyak, mungkin dalam 0.5oz, saya percaya kemudian hari badan dapat hasilkan lebih banyak susu.
#3. Kurangkan pengambilan kopi
Ketika proses penyusuan, saya kurang minum kopi kerana ia boleh memberikan kesan terhadap bayi yang baru lahir. Kesan kafein ini terjadi melalui susu ibu.
Bayi berdepan dengan kesukaran tidur dan mudah meragam jika ibu minum kopi seperti yang berlaku pada Adam dan Nuh dahulu.
Secara logiknya, semakin awal usia bayi, semakin sedikit kafein yang harus ibu minum kerana organ dalaman masih belum matang untuk menyingkirkannya.
Bila sudah makin besar, organ dalaman seperti hati dan ginjal dapat berfungsi dengan lebih baik.
#4. Pengambilan laktogenik dari minuman malt
Laktogenik yang terkenal dan mudah didapati ialah minuman malt seperti Horlicks dan Ovaltine. Barli gandum ini adalah makanan yang mengandungi beta-glukan.
Ia membantu meningkatkan pengeluaran prolaktin dan merangsang penghasilan susu badan.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jadual Pemakanan Ibu Menyusu & Diet Yang Betul Membantu Perbanyakkan Susu Badan