Tonton Video Seorang Doktor Memperbetulkan Kedudukan Songsang Bayi Hanya Dalam Masa 2 Minit

Share this article with other mums

Tonton bagaimana seorang doktor pakar dari UK memperbetulkan kedudukan songsang bayi menggunakan tapak tangannya hanya dalam masa kurang dari 2 minit. Yang menariknya, ibu tersebut juga kelihatan tenang dan bersahaja. Memang terbaik!

“Maaf, bayi puan berkedudukan songsang. Kami terpaksa melakukan pembedahan C-seksyen untuk melahirkan bayi ini.” Ini adalah perkara terakhir yang bakal ibu ingin dengar, kan?

Namun, dalam video yang kami kongsikan di sini, kita dapat melihat bagaimana seorang doktor telah berjaya melakukan ECV (External Cephalic Version) bagi membetulkan kedudukan songsang bayi hanya dalam masa 2 minit!

Tonton Video Bagaimana Seorang Doktor Melakukan ECV

Video YouTube ini sebenarnya sudah dimuatnaik pada 2013, namun baru-baru ini ia mula dikongsikan semula. Ramai yang memuji kepakaran doktor dari Royal Sussex, Brighton, UK, ini dalam membetulkan kedudukan songsang bayi.

Dalam rakaman ini, kita boleh lihat bagaimana doktor ini menggunakan tapak tangannya untuk menggerak dan memusingkan bayi ini. Wanita tersebut juga tenang dan bersahaja, malah turut tertawa.

ECV adalah satu prosedur memperbetulkan posisi terbalik bayi. Walaupun dari video ini ia nampak mudah, tetapi ia patut dilakukan dengan pengetahuan dan kepakaran.

Jika tidak dilakukan dengan betul dan sempurna, proses tersebut boleh menimbulkan kesakitan pada bayi dan ibu!

Apakah Itu Kedudukan Songsang?

Kedudukan bayi songsang adalah satu posisi bayi di mana kaki atau punggungnya berada di bawah berbanding kepala. Selalunya, pada usia antara 36 hingga 42 minggu, bayi akan secara semulajadi berpusing dengan kepala di bawah, sebagai tanda bersiap sedia untuk dilahirkan.

Namun, statistik menunjukkan kira-kira 3% peratus kalangan bayi akan berada pada kedudukan songsang dan perlu dialihkan bagi memudahkan proses kelahiran.

Mengapakah Bayi Boleh Berkedudukan Songsang?

Ada beberapa sebab mengapa bayi boleh berada pada kedudukan songsang. Antara dua sebab utama adalah: terlampau banyak atau terlampau sedikit cecair amniotik dalam uterus.

Terlampau banyak air akan menyebabkan bayi mempunyai banyak ruang dalam rahim sehingga membolehkannya bergerak dan berpusing.

Manakala, terlampau sedikit cecair juga menyukarkan bayi untuk berpusing ke posisi kepala di bawah apabila menjelang usia kelahiran.

Apakah Masalah yang Mungkin Timbul Jika Berlaku Kedudukan Songsang Bayi?

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku jika bayi lahir dalam kedudukan terbalik sebegini. Antaranya ialah:

  • Bayi mudah cedera terutamanya pada bahagian punggung dan tulang paha
  • Tali pusat mudah tersepit dan menyekat pengaliran oksigen pada bayi
  • Berlaku kerosakan saraf dan otak jika oksigen tidak mencukupi dan bayi lemas

Apakah Cara Memperbetulkan Kedudukan Bayi yang Songsang?

Seperti yang anda lihat dalam video di atas, ECV adalah salah satu cara untuk memperbetulkan posisi baik yang terbalik, iaitu kepala di atas dan kaki atau punggung di bawah.

Source: Pregmed.org

Antara cara lain untuk memperbetulkan kedudukan songsang bayi adalah:

  • Bertinggung dengan posisi lutut ke dada – Berlutut atas lantai dan menaikkan punggung dengan kepala dan dada rata dengan lantai. Ia untuk memberi lebih ruang kepada bayi untuk berpusing. Kekal dalam posisi ini selama 15 minit.
  • Baring dan naikkan punggung – Letakkan bantal di bawah punggung dan bengkokkan lutut. Lakukan ini selalu bagi menggalakkan bayi anda berpusing, sekurang-kurangnya tiga ke empat kali sehari selama 10 minit.

Jika bayi anda masih kekal dalam posisi terbalik sehingga usia 36 minggu, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sakit puan anda. Dia mungkin akan melakukan rawatan ECV kepada anda.

Adakah ECV Sesuai untuk Anda?

Namun, bukan semua wanita boleh melakukan ECV. Jika anda mengalami beberapa simptom di bawah, mungkin ia tidak sesuai untuk anda.

  • Mengandung anak kembar dua atau lebih
  • Bayi mempunyai degup jantung yang laju
  • Placenta pada kedudukan pintu rahim
  • Pendarahan bawah di bahagian vagina
  • Cecair dalam rahim yang sedikit

Jika anda tergolong dalam golongan yang boleh diberikan ECV, jangan risau. Ianya tidak berbahaya dan mempunyai kadar kejayaan yang tinggi iaitu setinggi 58%!

Yang paling penting, berbincanglah dengan doktor anda dan ikutilah nasihatnya.

Adakah anda mempunyai pengalaman mengandungkan bayi berkedudukan songsang? Kongsikan tip dan cadangan anda dengan kami! Pasti ibu lain mendapat manfaat daripada anda!

Bayi Kehamilan