Tumpah Darah Selepas Bersalin: Seorang Ibu Maut Sebelum Sempat Belai Bayi

lead image

Pertumpahan darah yang banyak ketika bersalin telah meragut nyawa ibu ini sebelum beliau sempat melihat anaknya. Apakah punca berlakunya tumpah darah?

Penduduk di Pulau Pinang digemparkan dengan berita yang menyayat hati tentang seorang wanita, dikenali sebagai Azian – telah meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya dua hari lepas selepas melahirkan anaknya.

Tumpah Darah Selepas Bersalin: Seorang Ibu Maut Sebelum Sempat Belai Bayi

Bayi lelaki comel yang sempat dilahirkan Allahyarham.

Perkhabaran tentang berita ini dikongsi oleh Penang Kini. Allahyarham Azian terkorban setelah mengalami tumpahan darah yang banyak selepas bersalin. Pemergian Allahyarham Azian pasti akan dirasai oleh pasangan dan keluarga terdekat.

Tumpah Darah Selepas Bersalin: Seorang Ibu Maut Sebelum Sempat Belai Bayi

Mangsa memakai baju hitam duduk di sebelah kanak-kanak berbaju kuning hitam,
Kredit gambar: Penang Kini

Betapa kuat seorang wanita, mengharungi detik-detik cemas demi melahirkan insan yang tercinta. Diharapkan perkongsian ini akan membuka mata dan minda masyarakat untuk lebih menghargai insan yang digelar “ibu”.

Semoga Saudara Nashif (suami mangsa) dan anak-anaknya tabah dalam mengharungi cabaran ini. Salam takziah.

Apa itu tumpah darah?

Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, seorang pegawai perubatan obstetrik & ginekologi, pertumpahan darah adalah satu peristiwa pendarahan yang berlaku sebelum, semasa atau selepas bersalin.

Ia dikenali sebagai post-partum hemorrhage. Biasanya, pendarahan memang berlaku selepas bersalin. Darah mungkin keluar daripada rahim atau kerana koyakan ketika proses bersalin. Terdapat 2 jenis tumpah darah selepas bersalin iaitu:

  1. Tumpah darah primer  — berlaku dalam tempoh 24 jam pertama selepas kelahiran (selalunya ketika di hospital)
  2. Tumpah darah sekunder — berlaku antara tempoh 24 jam sehingga 6 minggu selepas bersalin. (biasanya ketika di rumah)

Akan tetapi, pertumpahan darah yang serius adalah apabila mangsa kehilangan darah hingga 500 ml untuk bersalin biasa dan 1 liter untuk bersalin secara pembedahan.

Mengapa tumpah darah terjadi?

Tumpah darah boleh terjadi akibat beberapa perkara. Wanita terbuka untuk kehilangan darah apabila mereka tidak mendapat perhatian doktor sepenuhnya. Ia juga ditambah dengan keletihan selepas bersalin.

Antara sebab-sebab mengapa tumpah darah terjadi adalah:

  • Uri atau cebisan uri tertinggal di dalam rahim.
  • Rahim tidak mengecut 
  • Luka besar di bahagian pangkal rahim, faraj atau saluran peranakan.
  • Hamil pada usia 40 tahun ke atas
  • Terkena jangkitan kuman di dalam rahim (endometritis)
  • Darah sukar beku (thrombocytopenia)
  • Wanita hamil yang kurang sel darah merah (anemia)
  • Kelahiran secara pembedahan caesarean
  • Kelahiran secara paksa (induction of labour)
  • Kelahiran yang menggunakan Forceps atau Vacuum
  • Bayi besar dan berat melebihi 4kg
  • Tumpah darah ketika bersalin sebelum ini
  • Bersalin melebihi 5 kali

Simptom-simptom yang harus diteliti

Komplikasi tumpah darah yang teruk boleh menyebabkan rahim dibuang atau mengundang maut. Hingga tahun 2005, hampir 14% daripada kes kematian selepas bersalin berpunca daripada pertumpahan darah.

Ramai wanita menjadi mangsa peristiwa menyayat hati ini kerana mereka tidak sedar dengan simptom-simptom pertumpahan darah yang boleh membawa maut.

Tumpah Darah Selepas Bersalin: Seorang Ibu Maut Sebelum Sempat Belai Bayi

Segera dapatkan rawatan di hospital jika anda ada simptom-simptom ini, selepas 24 jam bersalin:

  1. Tekanan darah menurun
  2. Degupan jantung meningkat
  3. Pening, sakit kepala, ingin pitam
  4. Menggigil dan berpeluh
  5. Darah keluar dalam jumlah yang banyak
  6. Darah keluar dalam bentuk ketulan
  7. Tuala wanita yang dipakai perlu kerap disalin (setiap jam)
  8. Darah keluar berbau busuk (akibat terkena jangkitan)
  9. Badan keletihan melampau

Nasihat daripada doktor

Apakah yang akan dilakukan oleh doktor untuk mengurangkan risiko tumpah darah selepas bersalin? Biasanya, doktor akan memberikan suntikan ubat Syntocinon (oxytocin) untuk mengurangkan kehilangan darah. Ubat ini akan membantu uri untuk mudah tertanggal.

Namun, doktor menasihatkan semua wanita yang ingin bersalin untuk sentiasa menjalani pemeriksaan antenatal. Jika anda pernah ada sejarah pertumpahan darah, anda disarankan untuk bersalin di hospital yang dilengkapi dengan bank darah.

Malah, segera dapatkan rawatan jika ada tanda-tanda awal pendarahan. Jangan bersalin tanpa bidan atau doktor bertauliah. Amalkan makan makanan yang tinggi dengan zat besi seperti kerang, hati, sayur-sayuran hijau dan jambu batu merah.

Semoga semuanya berjalan lancar untuk anda! Kongsikan artikel ini untuk memberi pengetahuan kepada ibu-ibu yang bakal bersalin atau hamil di luar sana tentang risiko “tumpah darah”. Semoga anda semakin kuat, wanita-wanita sekalian! Jaga kesihatan anda, ya!

 

Kredit gambar: Penang Kini

Sumber rujukan: Penang Kini, Baby Center, Postpartum Hemorrhage, dan The Malaysian Medical Gazette

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Ayu Idris

app info
get app banner