Ambil Tahu! Bahaya Tumpah Darah Selepas Bersalin, Ibu Berisiko Tinggi Kehilangan Nyawa

Tumpah darah semasa bersalin boleh membawa maut. Anda mungkin terpaksa melalui beberapa prosedur rawatan bagi menghentikan darah daripada terus keluar

Apabila berlakunya tumpah darah semasa bersalin atau selepas, jururawat perbidanan yang berada di tempat kejadian akan mengaktifkan ‘red alert’ bagi memanggil kakitangan kesihatan iaitu para doktor bagi memberikan rawatan dengan segera.

Keadaan ini boleh berlaku dengan sangat cepat sehingga boleh mencemaskan diri dan pasangan anda. Lebih-lebih lagi secara tiba-riba ramai kakitangan kesihatan dengan tidak semena-mena berada bersama anda di dewan bersalin.

Tumpah darah semasa bersalin boleh meragut nyawa

credit to sources

Doktor dan jururawat perbidanan akan menenangkan anda dan menerangkan keadaan situasi ketika itu.

Dalam kebanyakan kes, pendarahan boleh berhenti melalui beberapa langkah mudah iaitu:

  • Urutan pada rahim melalui bahagian bawah pusat anda untuk merangsang pengecutan rahim
  • Ulangan suntikan Syntocinon, sekiranya anda sudah menerima suntikan ini lebih awal bagi membantu proses pengecutan rahim
  • Tiub getah kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing bagi mengosongkan pundi kecing dan sekaligus membantu pengecutan rahim
  • Jarum branula dimasukkan ke dalam dua-dua belah tangan dan sampel darah diambil sedikit. Kemudian drip akan dimulakan.

Uri yang telah keluar akan diperiksa untuk memastikan bahagiannya lengkap dan tiada cebisan uri tertinggal dalam rahim. Sekiranya terdapat cebisan uri tertinggal ia perlu dikeluarkan dan prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan memberikan bius terlebih dahulu.

Koyakan bersalin pada vagina dan perineum akan diperiksa. Jika terdapat pendarahan, jahitan perlu dilakukan bagi menghentikan pendarahan. Bukan itu sahaja, tekanan darah, suhu serta nadi diperiksa dengan kerap.

Anda perlu dipantau di dewan bersalin buat sementara waktu sehingga keadaan stabil dan tiada lagi pendarahan. Ketika ini juga, penyusuan susu ibu boleh diteruskan.

Kesan bahaya tumpah darah semasa bersalin

credit to sources

Sekiranya anda mengalami masalah tumpah darah semasa bersalin di hospital daerah yang tidak mempunyai doktor perbidanan, ibu akan dipindahkan dengan segera ke hospital lain yang mempunyai pakar perbidanan.

Jika langkah-langkah utama telah dilakukan, bagaimana jika ibu masih terus-menerus mengalami tumpah darah?

Sekiranya pendarahan tanpa henti dan didapati anda sudah kehilangan lebih 1 liter darah, pakar perunding perbidanan akan dipanggil bagi bantuan rawatan.

Apabila anda sudah kehilangan banyak darah, gejala yang mungkin berlaku ialah loya, berdebar-debar, pening kepala dan rasa mahu pitam. Oksigen melalui topeng muka (face mask) akan diberikan dan drip tambahan diberi sementara menunggu bekalan darah untuk transfusi tiba.

Di samping itu, ubat tambahan akan digunakan untuk membantu menghentikan pendarahan dengan segera.

Sekiranya masalah tumpah darah ini masih berterusan, ibu akan segera dibawa ke dewan bedah supaya doktor perbidanan boleh mengenal pasti punca pendarahan banyak ini. Akan tetapi, suami tidak dibenarkan masuk bersama.

Pasangan anda boleh bersama bayi atau tunggu di luar dewan bedah supaya doktor dapat memaklumkan keadaan anda yang terkini.

Prosedur yang dilakukan doktor bagi mengawal pendarahan

credit to sources

Sejenis ‘belon’ akan dimasukkan ke dalam ruang rahim untuk memberikan tekanan kepada dinding rahim dan menghentikan darah. Belon ini akan dikeluarkan keesokan harinya.

Pembedahan laparotomy dilakukan untuk melihat keadaan rahim secara menyeluruh dan mengenal pasti punca pendarahan. Sebagai pilihan terakhir, doktor mungkin terpaksa membuang rahim anda jika semua langkah telah diambil, namun darah masih keluar.

Jika pendarahan dapat dikawal, anda dipindahkan ke wad rawatan rapi ibu bersalin agar dapat dipantau dengan teliti sehingga benar-benar stabil untuk dipindahkan semula ke wad postnatal biasa.

Jika ibu pernah mengalami masalah yang sama pada kehamilan sebelum ini, anda mempunyai risiko sangat tinggi untuk mengalaminya semula. 1 daripada 10 wanita mengalami ulangan masalah ini.

Justeru, dinasihatkan anda bersalin di hospital yang mempunyai doktor atau pakar perbidanan bagi memastikan langkah-langkah segera dilakukan jika mempunyai masalah tumpah darah ini.

Jika anda memilih bersalin secara pembedahan caeserean, ia tidak akan mengurangkan risiko mengalami tumpah darah semasa bersalin ini. Jadi, kedua-dua prosedur pun ada risikonya. 

Sumber: Dr Muhammad Izzat

Kredit foto: Google Images

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bahaya Bersalin Normal Selepas Caesar, Ibu Berisiko Mengalami Masalah Rahim Pecah