Pada hari ini yang bertarikh 8 Mac 2021, laman media sosial dihujani dengan pelbagai ucapan hari wanita sedunia yang ditujukan buat insan tersayang dan seluruh pengguna wanita. Ia bertujuan untuk meraikan peranan kaum wanita yang dilihat kini sama-sama ‘hebat’ menerajui pelbagai bidang.
Jika anda perasan, tema sambutan Hari Wanita Sedunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak hanya mengajak wanita untuk berubah dan membawa perubahan, tetapi juga melibatkan kaum lelaki.
Baca juga: Kejutan RARE! Suami Diam-Diam Renovate Rumah Ketika 3 Bulan Isteri Berpantang Di Kampung
Ucapan Hari Wanita Sedunia sempena tahun 2021, ini fakta yang mungkin anda tidak tahu
#1. Sejarah bermulanya Hari Wanita Sedunia
Berdasarkan buku On the Socialist Origins of International Women’s Day yang ditulis oleh Temma Kaplan, perayaan ini bermula disebabkan oleh beberapa orang pekerja wanita di New York, Amerika Syarikat telah melakukan tunjuk perasan kerana tindakan diskriminasi, ketidakadilan dan upah yang sangat rendah diterima mereka pada waktu itu.
Walau bagaimanapun tindakan berkenaan tidak memberikan sebarang kesan signifikan. Selepas 50 tahun kemudian, pada tarikh yang sama, demontrasi serupa telah berlaku melibatkan 15,000 pekerja wanita dari kilang fabrik di New York menyuarakan pendapat dan hak mereka.
Setelah itu, tarikh 8 Mac ditetapkan sebagai Hari Wanita Sedunia bagi mengenang aksi tersbut dan terus memperjuangkan hak kaum perempuan.
#2. Ditetapkan hari cuti di beberapa buah negara
Meskipun tidak diisytiharkan sebagai cuti umum di Malaysia, namun beberapa buah negara ini telah memberikan cuti khusus untuk wanita iaitu China, Nepal, Afghanistan, Kemboja, Vietnam, Rusia, Uganda dan lain-lain.
Malah di sesetengah negara juga menganggap Hari Wanita Sedunia sama pentingnya dengan Hari Ibu. Bagi meraikannya, anak-anak akan memberi hadiah kepada ibu dan nenek mereka sebagai tanda menghargai jasa.
#3. Makna tema ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’
Tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 pada peringkat antarabangsa adalah ‘#ChooseToChallenge’ iaitu #PilihUntukMencabar. Tema ini untuk mengajak kita semua untuk menentang ketidakadilan terhadap wanita.
Manakala di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meraikannya dengan tema ”Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.”
Ia adalah untuk mengangkat semangat juang kaum wanita pada hari ini yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam mengharungi liku-liku kehidupan setiap hari.
Antara objektif sambutan pada hari ini adalah:
- Memberi pengiktiraan khas kepada kaum wanita atas sumbangan dalam pelbagai bidang dalam membangunkan negara
- Tanda keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, institusi keluarga dan pengukuhan masyarakat penyayang
#4. Jenis ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat hari ini
Pelbagai kes dan kisah ketidakadilan terhadap wanita telah berlaku dalam kalangan masyarakat.
Ada isteri yang terbeban akibat perlu menanggung nafkah keluarga kerana suami tidak melaksanakan tanggungjawab, ada isteri yang sering dipukul oleh pasangan hanya kerana salah kecil dan ada yang dihalau di rumah ketika diceraikan oleh suami.
Sekiranya jodoh tidak panjang, keputusan untuk bercerai dan menjadi ibu tunggal bukanlah jalan yang mudah. Ramai wanita dengan status ini perlu berusaha keras bagi menyara anak-anak kerana bekas suami bersikap lepas tangan.
Kini, pandemik Covid-19 telah menyukarkan lagi kehidupan mereka. Laporan Unicef dan United Nations Population Fund (UNFPA) mendapati lebih kurang 31 peratus isi rumah ibu tunggal hilang pekerjaan sejak Mac lalu, manakala 57 peratus daripada isi rumah tiada capaian kepada perlindungan sosial.
#5. Saling melawan diskriminasi terhadap jantina
Kita tidak dapat menolak pada hakikatnya, diskriminasi dan ketidakadilan terhadap wanita masih juga berlaku sehingga kini. Bahkan sepanjang pandemik Covid-19 ini, banyak kes melibatkan keganasan terhadap rumah tangga semakin meningkat.
Bukan itu sahaja, penetapan gaji berdasarkan jantina, wanita tidak boleh memilih pekerjaan yang sama dengan lelaki dan perlu lebih berusaha keras bagi memenuhi setiap impian menjadi cabaran terbesar pada hari ini.
Justeru, dengan sambutan Hari Wanita Sedunia ini menjadi tarikh penting untuk seluruh masyarakat saling membantu dan melawan diskriminasi terhadap jantina.
Sumber: theAsianparent Indonesia, Ikim fm
Kredit foto: Mingguan wanita
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Suami, Gembirakan Hati Isteri Dengan 13 Cara Ini, Pasti Rumah Tangga Bertambah Bahagia