Proses mengandung bukan saja melibatkan perubahan daripada segi fisiologi malah anatomi (bentuk badan) dan juga mental atau psikologi. Disebabkan itu, tidak salah sekiranya ibu hamil ambil berat dan cuba buat ujian DASS (Depression, Anxiety, Stress Scales) dalam tempoh kehamilan.
Proses mengandung dan melahirkan anak adalah salah satu kurniaan Tuhan yang sangat istimewa. Ia adalah satu proses fisiologi normal bagi wanita yang diberi peluang untuk melaluinya.
Sudah pasti perubahan itu bakal memberi perubahan besar kepada seseorang wanita malah bukan perubahan sedikit tetapi amat besar yang pasti memberi kesan emosi dan fizikal kepadanya.
Isi Kandungan
Ujian kesihatan mental penting untuk ibu hamil
Pernah perasan tak? Ada ibu hamil yang selalu sedih ketika kehamilan mereka. Mereka jarang ceria. Ada yang pelik, ibu hamil yang dulunya ceria ketika sebelum mengandung kita mood nya sentiasa berubah-rubah.
Kadang kala orang klasifikasikan sebagai perubahan hormon, tetapi mungkin boleh jadi lebih teruk jika tidak diberi perhatian.
Kesihatan mental bukan lagi perkara tersembunyi yang tidak boleh dibincangkan dalam pengetahuan awam atau umum, ia kini isu yang sangat penting yang perlu diambil tahu oleh ramai pihak.
Dengan ujian DASS, anda boleh mengetahui status kesihatan mental anda sama ada perlu mendapatkan rawatan kesihatan mental atau tidak.
Ujian DASS Test KKM
Apa itu ujian DASS? Ujian DASS ialah ujian kesihatan mental untuk mengenalpasti simptom dan mengukur tahap stress dan depresi seseorang.
Ujian kesihatan mental ini boleh dilakukan secara atas talian sahaja. Berikut adalah antara pautan yang boleh digunakan untuk menjawab:
- DASS (Depression Anxiety Stress Scales) TEST – Orang Awam– Unit Psikologi Kaunseling, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya
- Aplikasi Saringan Ujian Minda Sihat – Unit Psikiatri Hospital Labuan
- Ujian DASS – Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah
- eDass – Jabatan Kesihatan Negeri Johor
Anda boleh menjawab kesemua soalan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan tiada jawapan yang betul atau salah dalam ujian ini.
Membuat ujian kesihatan mental bukan bermakna anda gila, tetapi ia lebih kepada anda menyayangi diri anda untuk mengelak daripada terus terjerumus dalam kancah masalah yang bakal meranapkan masa depan anda.
Bukan saja anda, malah melibatkan anak atau keluarga!
Isu yang mampu menganggu emosi ibu
Antara isu yang mampu menganggu emosi ibu mengandung termasuklah:
- Perubahan fizikal yang ketara yang disertai dengan pertambahan berat badan. Begitu juga dengan kaki semasa tempoh akhir kehamilan
- Tidur yang terganggu diakibatkan oleh ketidakselesaan
- Sakit-sakit badan yang mengurangkan efisiensi ibu mengandung dalam melakukan kerja harian
- Selera makan yang terganggu sepanjang tempoh mengandung. Paling ketara sewaktu mula mengandung. Masalah ini termasuklah masalah muntah-muntah, gastrik, sembelit dan sebagainya
- Masalah kerap buang air kecil di akhir kandungan kerana rahim menekan pundi kencing
- Ketidakselesaan apabila bersama pasangan. Selain itu ada juga yang sehingga tidak boleh bau pasangan yang sedikit menganggu hubungan suami isteri dan akhirnya mendatangkan stress
- Pergerakan yang terhad atau terbatas diakibatkan perubahan fizikal
Punca masalah mental dalam kalangan ibu hamil dan selepas bersalin
Punca masalah mental yang sering terjadi kepada ibu mengandung ialah masalah kemurungan dan keresahan atau anxiety. Menurut laporan myhealth, dianggarkan di antara 10% hingga 15% ibu mengandung mengalami masalah ini di sepanjang tempoh kandungan mereka.
Sebab kemungkinan masalah ini terjadi mungkin disebabkan:
- Sejarah kesihatan berkaitan kesihatan mental.
- Rasa diri tidak mendapat sokongan yang mencukupi.
- Melalui masa yang sukar dalam perhubungan.
- Trauma atau penderaan yang pernah dialami.
- Masalah dengan alkohol atau dadah.
Manakala, bagi ibu selepas bersalin pun tidak terlepas dengan masalah kesihatan mental kerana melalui satu fasa perubahan yang paling besar iaitu postpartum apabila bergelar seorang ibu.
Ini termasuklah:
- Perubahan fizikal tubuh badan
- Perubahan jadual tidur
- Masalah pencernaan dan tekanan darah
- Hubungan suami isteri
- Masalah kewangan
- Kurang waktu untuk diri sendiri
Penyakit mental berkaitan post-partum depression ialah:
- Baby blues – 25- 85% wanita mengalami gangguan emosi dan akan memuncak pada hari ke- 5. Namun, biasanya pulih dalam masa 2 minggu.
- Kemurungan atau meroyan – Hanya 10- 20% wanita bersalin yang mempunyai gejala ini. Ia akan sembuh dengan sendiri dalam jangka masa 3-6 bulan, namun jika teruk boleh berterusan sehingga 2 tahun.
- Psikosis – Jarang dan berlaku dalam setiap 500-1000 jumlah kelahiran. Ia muncul selama dua tiga minggu selepas bersalin. Namun, masih berisiko tinggi untuk berulang dalam tempoh tiga bulan pertama selepas bersalin.
Langkah pencegahan yang boleh diambil elak masalah mental ibu hamil
Untuk ibu yang mempunyai masalah mental, ubatan perlu diteruskan dengan nasihat doktor. Sebarang perubahan pada dos ubat yang sedang diambil perlu dibincang dengan doktor secara serius.
Rawatan wajib diteruskan seperti biasa dan temujanji mungkin perlu dilakukan dengan lebih kerap.
Bagi ibu yang tidak memerlukan ubatan, terapi kaunseling dan lain-lain juga boleh membantu mereka. Terapi ini bukan sahaja boleh didapati di hospital, malahan mungkin sahaja di tempat kerja ataupun rumah-rumah ibadat.
Antara langkah lain yang boleh diambil termasuklah:
1. Menjaga waktu tidur dan rehat dengan baik
Ibu digalakkan untuk belajar tips bagaimana untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Tips ini boleh didapati melalui doktor anda dan juga dari internet.
Menjaga diet yang sihat dan baik. Elakkan makan makanan yang tidak berzat atau rapu. Wanita perlu belajar mengenalpasti makanan yang bagaimana yang boleh menyebabkan mereka merasa tidak selesa, loya dan muntah-muntah.
Banyakkan sayur dan buah-buahan dalam diet bagi membantu sistem penghadaman anda.
2. Mengenalpasti aktiviti yang boleh menenangkan perasaan dan memperbaiki mood
Ibu boleh cuba meluangkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk aktiviti ini yang pastinya membolehkan ibu merasa lebih relaks dan gembira.
3. Sentiasa berbincang berkenaan masalah dengan orang di sekeliling
Jangan sesekali pendam perasaan anda, luahkan pada orang sekeliling yang anda percaya. Lagi anda simpan, banyak yang akan menganggu dan memudaratkan anda.
4. Lakukan senaman secara berkala
Mengandung bukanlah halangan untuk anda melakukan senaman yang boleh menyihatkan badan. Ia sangat baik untuk kesihatan ibu dan bayi.
5. Jauhi rokok
Elakkan merokok ataupun berada dekat dengan orang yang sedang menghisap rokok.
Cara mengatasi masalah mental selepas bersalin
Jika anda atau pasangan anda sedang mengalaminya, sokongan keluarga sangatlah penting dan membantu untuk memulihkan masalah mental selepas bersalin.
- Pendekatan berasaskan spiritual dengan mendekatkan diri dengan tuhan.
- Belajar bertenang dan meluahkan perasaan.
- Jika penat, beritahu suami atau orang terdekat yang boleh membantu.
- Curi masa untuk diri sendiri.
- Mendapatkan makan dan tidur yang cukup.
- Tidak perlu merasa rendah diri dan terlalu mementingkan kesempurnaan.
- Dapatkan bantuan perubatan jika perlu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Stress Ketika Hamil: Punca Emosi Ibu Mengandung Tidak Stabil, Kesan & Cara Mengatasi
Baca juga: Baby Blues Selepas Bersalin: Punca, Perbezaan Dengan Meroyan & Cara Mengatasi
Baca juga: Kemurungan Tak Boleh Lari Dari Wanita, Jangan Malu Dan Salahkan Mereka!