Antara kata-kata yang sering keluar daripada mulut saudara mara atau rakan taulan bila mereka tengok muka anak kita sama dengan ayahnya adalah, “Wah, wajah bayi mirip ayah dia. Mesti anak bapak!”
Kita pula sebagai ibu hanya akan tersenyum-simpul sambil menjawab, “Aah, perangai pun sama.”
Sebenarnya, apabila wajah anak kita saling tak tumpah dengan wajah ayahnya, ia membawa banyak makna atau kesan yang lain. Antara kesan yang menarik ada dibincangkan dalam satu kajian ini.
Apa jadi bila wajah bayi mirip ayah dan bukan mirip ibunya?
Kredit: Twitter.com
Bila anak kita semakin membesar, kita akan dapat lihat bagaimana wajah serta perangai anak akan mula menyerupai salah seorang daripada ibu atau ayahnya.
Ramai sudah tahu yang genetik mempengaruhi keadaan ini. Namun ada satu kajian melihat kepada kesan yang berlaku kepada gaya keibubapaan seseorang apabila anak mengikut wajah ayahnya.
Menurut kajian tersebut, apabila anak ikut wajah ayah, si ayah akan lebih bermotivasi untuk meluangkan masa atau bermain dengan anaknya.
Menurut Profesor Solomon Polachek, ayah yang melihat wajah anak yang saling tak tumpah dengan wajahnya akan lebih terikat secara emosi dengan anak tersebut.
Mereka akan cenderung untuk ingin selalu dekat dan bermain dengan si kecilnya itu.
Apa pula kesan kepada si anak apabila ayah banyak luangkan masa dengan dirinya?
Apabila wajah anak kita sama dengan wajah ayahnya, ia bukan sahaja memberikan kesan positif kepada gaya keibubapaan si ayah, malah memberikan kesan positif kepada kesihatan si anak.
Kenapa? Ini adalah kerana si anak berasa gembira apabila dapat meluangkan masa yang lebih dengan ayahnya.
Kesejahteraan emosi ini kemudiannya memberikan kesan kepada keseluruhan tahap kesihatan anak tersebut.
Kredit: Theepochtimes.com
Jangan salah faham…
Menarik juga kajian ini, kan? Tapi, jangan pula anda ingat ayah yang tidak sama wajahnya dengan anak tidak sayang atau tidak mahu melayan si kecilnya.
Sudah pasti setiap bapa akan menyayangi anaknya sendiri, walaupun si kecil itu “copy-paste” wajah ibunya.
Namun, apa yang kita boleh belajar daripada kajian ini adalah:
Ayah perlu meluangkan lebih masa dengan anak-anak. Ia akan menggembirakan si kecil dan memberi kesan positif kepada tahap kesihatan anak tersebut!
Jadi, ayah sekalian, jom bermain, bergurau-senda dan belajar bersama si kecil kita.
Mereka pasti akan ingat semula memori dan kenangan mereka membesar dengan si ayah yang penyayang dan mengambil berat tentang dirinya!
Sumber: theAsianparent Singapore, Medical Daily
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Ayah Yang Terlalu Tertekan Akan Beri Impak Negatif Pada Perkembangan Anak