3 Kajian Menunjukkan Setahun Adalah Tempoh Cuti Bersalin yang Paling Sesuai

lead image

Adakah cuti berpantang selama 2 hingga 3 bulan yang diberikan di Malaysia pada waktu ini mencukupi buat para ibu yang baru bersalin? Adakah ia dapat memberi masa yang mencukupi untuk ibu ini pulih dari segi fizikal dan emosi? Tiga kajian ilmiah menyatakan tidak!

Baru-baru, kita ada mendengar khabar gembira daripada beberapa syarikat korporat besar tentang penambahan cuti pantang buat pekerja wanita yang baru bersalin.

Standard Chartered, contohnya, memberikan cuti pantang bergaji penuh selama 20 minggu (5 bulan). Maybank juga menjalankan langkah yang sama apabila mengumumkan cuti materniti sehingga setahun di mana 3 bulan pertama adalah cuti bergaji.

Manakala, secara amnya, cuti bersalin bagi para pekerja wanita di Malaysia adalah hanya selama 2 ke 3 bulan sahaja. Adakah ia mencukupi?

Sememangnya, jika ditanya pendapat para ibu di luar sana, sudah pasti ia tidak cukup, dan ada 3 kajian sains yang bersetuju dengan pendapat ini!

1.    Kajian dari Universiti Michigan, USA

Janis M. Miller, seorang ahli Ph.D., telah menjalankan satu kajian tentang trauma bersalin bersama dengan sepasukan pengkaji dari Sekolah Jururawat dari Universiti Michigan.

Pasukan ini menggunakan kaedah MRI scanning bagi melihat kesan trauma fizikal pada badan para ibu yang baru bersalin, terutamanya di bahagian pelviks.

Hasilnya mendapati bahawa 8 ke 12 minggu yang diberikan oleh majikan ketika proses berpantang belum cukup untuk menyembuhkan kesan bersalin pada bahagian wanita ini.

“Data kami mendapati bahawa golongan wanita tidak diberikan masa yang mencukupi untuk sembuh selepas melalui proses traumatik bersalin,” kata Dr. Miller.

2.    Kajian dari Universiti Salford, England

Lagi satu kajian telah diadakan di England bagi melihat apakah tempoh cuti berpantang yang paling sesuai buat golongan wanita. Ia diterajui oleh Dr. Julie Wray, Ph.D., dari Universiti Selford, UK.

Dalam kajian ini, golongan ibu yang baru bersalin telah ditemubual dan pendapat mereka tentang cuti pantang enam minggu yang diberikan oleh kerajaan telah dikumpul.

Yang menariknya, ramai antara mereka yang memberikan maklum balas bahawa cuti bersalin ini tidak mencukupi. Malah, mereka turut berasa tertekan untuk kembali segera bertugas selepas melahirkan anak.

Ada juga yang turut menyatakan bahawa fenomena selebriti yang menunjukkan seolah-olah proses pemulihan selepas bersalin itu mudah dan cepat juga turut menyebabkan mereka bertambah tertekan!

“Kajian ini menunjukkan yang perkhidmatan selepas bersalin yang lebih realistik diperlukan,” kata Dr. Julie.

Para wanita sepatutnya dibenarkan untuk berehat di hospital dan bukannya diminta bergegas keluar wad selepas bersalin. Ia seolah-olah mereka boleh terus tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjaga bayi dan diri mereka.

Hasil kajian ini menyatakan tempoh masa setahun adalah tempoh cuti berpantang yang paling sesuai supaya para ibu dapat pulih secara fizikal dan menyesuaikan diri dengan bayi baru.

3.    Kajian Universiti La Trobe, Australia

Kajian ketiga yang menunjukkan setahun adalah tempoh cuti berpantang yang paling sesuai buat para wanita yang baru melahirkan anak telah dijalankan oleh para pengkaji dari Universiti La Trobe di Victoria, Australia.

Menurut kajian ini, para wanita akan mengalami keadaan fizikal yang kurang memberangsangkan selepas bersalin. Ia boleh menghalang mereka untuk terus bertugas di pejabat dalam masa 2 ke 3 bulan selepas mendapat bayi.

Antara masalah kesihatan yang biasa dialami semasa tempoh berpantang adalah:

  • Masalah sakit belakang
  • Masalah seksual
  • Keletihan berpanjangan
  • Sakit di bahagian kemaluan
  • Masalah kencing
  • Gangguan mental dan emosi

Kajian ini mendapati yang masalah fizikal, emosi serta mental ini akan berterusan selama enam ke sembilan bulan selepas melahirkan anak!

Cadangan Tempoh Cuti Bersalin yang Paling Sesuai

Dengan adanya kajian-kajian saintifik yang dijalankan secara profesional dan ilmiah sebegini, diharapkan agar penambahbaikan dari segi sokongan buat para pekerja wanita dapat dilakukan.

Dan, sememangnya, langkah-langkah awal yang telah diambil oleh syarikat besar seperti Maybank dan Standard Chartered patut dipuji.

Ia juga diharap dapat memberi motivasi dan inspirasi buat majikan lain supaya mengambil kira keperluan fizikal dan emosi para wanita yang baru bersalin.

Dengan adanya tempoh cuti bersalin yang paling sesuai buat para ibu di luar sana, mereka pasti akan mendapat masa yang lebih mencukupi untuk pulih.

Malah, mereka boleh berhubung dengan bayi dan menyiapkan diri untuk kembali bertugas dalam kerjaya masing-masing.