Dahulu, anda sudah biasa bersiar-siar dengan kereta kompak yang sporty tetapi dengan kehadiran lebih daripada tiga orang anda, anda dan pasangan menyedari bahawa sudah tiba masanya untuk menaik taraf kenderaan anda kepada sesuatu yang lebih sesuai dengan keadaan keluarga anda seperti menukar kepada kenderaan 7 seater SUV Malaysia.
Selepas mempertimbangkan semua pilihan yang ada, anda memutuskan untuk membeli kereta keluarga namun, membeli kereta keluarga boleh menjadi agak rumit terutama sekali jika anda baru sahaja memulakan hidup sebagai ketua keluarga yang besar.
Tips Pemilihan 7 Seater SUV Malaysia Untuk Keluarga
Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih kereta untuk keluarga yang sesuai antaranya faktor praktikaliti ruang, keselesaan, kemudahan dan ciri keselamatan kereta.
Jika dahulu kereta merupakan suatu kehendak, namun hari ini kereta kini menjadi suatu keperluan lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga.
Bagi anda yang mungkin sedang mencari kereta keluarga baharu, kami menyarankan anda untuk mempertimbangkan ciri-ciri berikut sebelum memilih kereta untuk keluarga yang sesuai untuk anda.
1. Rancang Untuk Masa Depan
Sebelum membeli kereta keluarga, bincangkan perkara ini dengan pasangan anda terlebih dahulu. Ini penting untuk memastikan kereta yang akan anda beli dapat memenuhi semua keperluan keluarga anda.
Dari kenderaan SUV untuk keluarga kecil hingga ke van mini yang boleh memuatkan keluarga besar dengan selesa, terdapat banyak pilihan di pasaran jika anda sedang mencari kereta keluarga.
Kalau anda merancang untuk menambah lebih ramai ahli keluarga pada masa hadapan, van mini atau SUV tujuh tempat duduk adalah pilihan terbaik untuk anda. Tetapi jika anda berpuas hati dengan tiga orang anak, SUV kompak pun sudah memadai.
Setelah membuat pilihan kereta yang anda mahukan, anda boleh mula memperuntukkan bajet bagi pembelian anda. Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membuat peruntukan bajet lebih mudah.
2. Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak
Apabila membeli kereta, orang ramai beranggapan bahawa kerusi keselamatan kanak-kanak boleh digunakan mengikut kapasiti tempat duduk penumpang di dalam kereta, tetapi ini tidak selalunya benar.
Walaupun terdapat selak khas untuk menyangkuk kerusi keselamatan kanak-kanak di tempat duduk, tetapi tidak semua tempat duduk dalam kereta memilikinya.
Sangat penting bagi anda untuk memeriksa selak kerusi keselamatan kanak-kanak dengan betul, terutama sekali jika anda merancang untuk menambah lebih ramai anak kecil di masa hadapan.
Selain daripada selak, kesesuaian kerusi keselamatan kanak-kanak juga merupakan faktor penting untuk diambil kira semasa membeli kereta keluarga.
Apabila anak anda membesar, kerusi keselamatan yang digunakan juga menjadi lebih besar dan kedudukannya juga akan berubah mengikut kesesuaian.
Periksa terlebih dahulu jika ruang yang ada mencukupi untuk anda memuatkan semua kerusi keselamatan kanak-kanak yang akan anda gunakan pada masa hadapan.
3. Ruang Kargo
Satu lagi faktor penting semasa anda membeli kereta keluarga adalah ruangan kargo. Dengan adanya bayi atau kanak-kanak, terdapat banyak barangan tambahan yang perlu dibawa dalam perjalanan untuk memastikan si kecil selesa dan selamat. Ini termasuk barangan seperti stroller, beg lampin dan barangan bayi, mainan, katil mudah alih dan banyak lagi.
Mencari kereta yang boleh memuatkan barangan tersebut dalam perjalanan adalah sangat penting. Sebaik-baiknya, dapatkan kereta keluarga dengan ruang but sekurang-kurangnya 400 liter. Lebih besar ruang yang anda boleh dapat, lebih bagus.
Memiliki tempat duduk boleh dilipat boleh dijadikan satu kelebihan bagi kereta keluarga yang akan anda beli. Ia boleh menggandakan ruang kargo anda dengan mudah apabila diperlukan.
Tambahan pula, ruangan simpanan kecil mungkin kelihatan seperti tidak penting, tetapi ia mungkin dapat memainkan peranan tambahan sebagai tempat penyimpanan barangan kecil dengan cepat.
Sebagai contoh, pemegang cawan boleh berfungsi sebagai pemegang botol susu semasa kecemasan, ruang bawah tempat duduk pula boleh dijadikan tempat menyimpan kasut atau mainan tambahan bagi anak-anak anda semasa dalam perjalanan.
4. Keselesaan Untuk Si Kecil
Keselesaan adalah satu kemestian apabila membeli kereta keluarga. Kanak-kanak yang selesa dalam perjalanan jauh akan berkelakuan dengan baik dan anda juga dapat mengelak dari sakit kepala akibat dari melayan jeritan dan kerenah anak-anak.
Titik keselesaan utama yang perlu diberi perhatian dalam pencarian kereta keluarga anda adalah fungsi kawalan iklim yang menyeluruh. Kalau dulu anda mesti kepanasan apabila duduk beramai-ramai di dalam van sekolah bersama rakan-rakan anda, kini fungsi kawalan iklim telah mengubah semua itu.
Dengan keupayaan kawalan iklim yang menyeluruh, anda dapat memastikan setiap inci kereta keluarga yang besar dapat kekal sejuk dan selesa. Dengan cara ini, semua orang di dalam kereta dapat merasa angin sejuk dari penghawa dingin tanpa perlu berebut.
Satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah tempat duduk kulit. Apabila membawa kanak-kanak di dalam kereta, kemungkinan untuk mereka menumpahkan sesuatu dan mengotorkan kerusi kereta adalah sangat tinggi.
Dengan kerusi kulit, pembersihan akan menjadi lebih mudah dan anda juga tidak perlu risau tentang kesan kotoran yang akan ditinggalkan oleh anak-anak anda apabila mereka sedang bermain.
5. Ciri-Ciri Keselamatan
Apabila membeli kereta keluarga, adalah sangat penting untuk mempertimbangkan ciri-ciri keselamatan yang dilengkapi untuk memastikan kereta itu sesuai untuk pemanduan harian anda serta perjalanan balik kampung bersama keluarga anda.
Kebanyakan kereta moden dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang dipertingkatkan untuk menjadikan pemanduan lebih selamat, jadi sekarang merupakan masa yang paling sesuai untuk membeli sebuah kereta keluarga.
Beberapa ciri keselamatan yang boleh anda perhatikan termasuklah kunci keselamatan kanak-kanak di bahagian pintu, beg udara (lebih banyak, lebih bagus), kamera pandang belakang, kawalan jelajah adaptif, sistem amaran titik buta dan seumpamanya.
Selain itu, anda juga boleh menyemak penilaian keselamatan kereta yang bakal anda beli di laman web ASEAN NCAP. Ini membolehkan anda memastikan bahawa kereta yang anda akan beli mempunyai piawaian keselamatan yang sesuai untuk memastikan anda dan keluarga anda selamat di jalan raya.
8 Kenderaan 7 Seater SUV Malaysia Terbaik Di Pasaran
Bagi anda dengan bilangan ahli keluarga melebihi lima orang dan masih menginginkan sebuah SUV, terdapat banyak pilihan jenama kereta yang ada mengikut bajet anda jadi kami senaraikan lapan model kenderaan dengan tujuh tempat duduk jenis SUV yang ada di pasaran.
Kenderaan 7 Seater SUV Malaysia Terbaik
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Harga Berpatutan
Kereta yang murah sahaja tidak cukup berdasarkan ragam pembeli tempatan. Pengguna tempatan mahukan sebuah model yang mampu milik, jimat, bergaya dan selamat.
Enjin Aruz hanya bersesaran 1.5 liter DUAL VVT-i yang menawarkan bahan api ekonomikal dan cukai jalan rendah bahkan Aruz selesa untuk dinaiki empat penumpang dewasa manakala dua tempat duduk di barisan ketiga pula selesa untuk digunakan oleh kanak-kanak.
Ruang simpanan 7 seater SUV Malaysia ini juga terhad dan ini boleh diatasi dengan melipat terus kerusi baris ketiga. Apabila kerusi baris ketiga dilipat pelbagai muatan boleh diisi seperti basikal, bakul kain, perabot IKEA, pasu bunga dan sebagainya.
Berdasarkan gaya hidup rakyat Malaysia, jarang kerusi ketiga digunakan untuk diisi penumpang dewasa kecuali dalam keadaan kecemasan sahaja.
Jika balik kampung, biasanya kerusi baris ketiga dilipat untuk diisi beg, bantal dan sebagainya. Anak-anak boleh duduk selesa di kerusi baris kedua.
Apa yang kami suka :
- Menggunakan teknologi dan rangkaian antarabangsa
- Jarak kelegaan bumi yang tinggi dan tayar tebal iaitu jarak kelegaan bumi ialah 220 mm manakala ukuran tayar pula 215/60 R17. Gabungan ini menjadikan Aruz boleh melepasi banjir kilat lebih tinggi berbanding pesaing lain dan melalui lopak atau jalan berlubang dengan baik
Ciri keselamatan :
- Mendapat rating 5 Bintang ASEAN NCAP
- Mempunyai enam beg udara, ABS dengan EBD & BA, kawalan penstabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), kamera undur dan Eco idle (enjin dimatikan dan dihidupkan secara automatik semasa enjin melahu – lampu isyarat).
- Ciri A.S.A 2.0 yang dilengkapi sistem Amaran Pra Pelanggaran (PCW), Brek Automatik Pra Pelanggaran (PCB), Amaran Pelanggaran Berdepan (FDA) dan Kawalan Salah Tekan Pedal (PMC).
Harga :
RM 72,900 – RM 77,900
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Dengan Ruang Kargo Lebih Besar
Apabila mencari kereta untuk keluarga, ruang yang luas adalah perkara yang paling penting untuk diambil kira. Untuk jangka masa panjang, kereta yang luas akan memudahkan kita dalam apa jua situasi.
Honda BR-V adalah sebuah SUV crossover yang boleh memuatkan sehingga 7 orang penumpang dan dilengkapi dengan bahagian kargo yang lapang, Senanglah bila nak letak carseat dan stroller anak ataupun nak balik kampung. Nak bawak barang dan bagasi yang banyak pun tiada masalah!
Selain mempunyai kelebihan pada ruang kabin yang luas, tempat duduk barisan ketiga juga adalah sangat lapang dan boleh memuatkan penumpang kanak-kanak dan dewasa dengan selesa di belakang.
Sekiranya ia tidak diduduki oleh penumpang, kerusi barisan ketiga juga boleh dilipat untuk penyimpanan barang. Untuk ruang yang lebih besar, hanya baringkan sahaja kerusi barisan kedua untuk pelbagai isian seperti basikal, stroller atau perabot.
Apa yang kami suka :
- Walaupun dikategorikan sebagai kereta keluarga, Honda BR-V tak kalah dari segi gaya.
- Cekap dan berkuasa, Honda BR-V mempunyai prestasi enjin yang mantap iaitu dijanakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dengan kuasa enjin maksimum 120PS untuk pemanduan yang lancar.
- Honda BR-V didatangkan dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan dan ia boleh dipindah ke pemilik seterusnya
Ciri keselamatan :
- BR-V dengan spesifikasi tempatan memperolehi lima bintang ASEAN NCAP dan empat bintang untuk COP.
- Mempunyai kelengkapan standard yang bagus seperti Bantuan Penstabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti Kekunci (ABS), Bantuan Daki Mula (HSA), ISOFIX, Bantuan Brek (BA) dan beg udara SRS.
Harga :
RM 83,210 – RM 90,010
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Dengan Ciri Keselesaan Penumpang
Mazda CX-8 sebenarnya merupakan alternatif kepada mereka yang mahukan sebuah CX-5 yang boleh memuatkan sehingga tujuh orang pada satu-satu masa.
Menurut Mazda, ruang pada baris ketiga adalah direka supaya mampu memuatkan orang dewasa yang memiliki ketinggian sehingga 170 cm.
Untuk CX-8, sistem GVC+ mengawal tahap kekuatan brek terutamanya di sekitar selekoh. Oleh itu, penumpang akan berasa kurang loya di dalam kereta, meningkatkan lagi tahap keselesaan.
CX-8 juga masih mengekalkan liang udara sistem pendingin hawa kabin belakang di konsol perehat tangan kabin hadapan dan bukan terletak pada bumbung, jadi penumpang paling belakang tidak berpeluang untuk mendapat udara sejuk yang dihala tepat ke muka.
Apa yang kami suka :
- Kuasa yang ditawarkan oleh enjin Skyactiv-G 2.5 liter nirturbo ini amat memadai untuk pemanduan seharian, ditambah dengan kecekapan transmisi automatik enam kelajuan yang didatangkan.
- Kulit Nappa yang membaluti tempat duduk SUV ini juga sangat lembut, membuatkan ia bukan sahaja sangat selesa, malah rasa premium dalam kabin turut bertambah.
- Suspensi yang ditala dengan cukup baik juga tidak menjadikan anda terasa melambung-lambung walaupun duduk betu-betul di atas ruang roda.
Ciri keselamatan :
- Lengkap dengan kehadiran enam buah beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
- Sistem keselamatan i-ActiveSense Mazda juga boleh didapati bermula daripada varian Mid Plus ini, namun hanya dua ciri yang didatangkan seperti Sistem Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
- Ciri seperti Sistem Amaran Keluar Laluan, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Tumpuan Pemandu dan Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) boleh didapati pada dua varian tertinggi.
Harga :
RM185,960.40 – RM200,960.40
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Bersaiz Besar Yang Lasak
Ruang dalaman Toyota Fortuner serba premium apabila semua tujuh tempat duduk disulam dengan balutan kulit.
Untuk pemandu, lapan tetapan kerusi untuk lebih selesa, ditambah pula padanan meter Optitron lengkap dengan paparan pelbagai info (MID).
Sistem hiburan 7 seater SUV Malaysia ini juga tidak mengecewakan apabila didatangkan dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci bersama MP3, port USB, Bluetooth, navigasi dan kamera undur.
Sesuai dengan imejnya sebagai utiliti sukan, dua ruang penyimpanan bertutup di papan pemuka selain perehat tangan memastikan barangan berharga terlindung daripada penglihatan penjenayah.
Penyaman udara automatik untuk penumpang barisan kedua dan ketiga menjadikan setiap perjalanan lebih selesa.
Apa yang kami suka :
- Turut disediakan dengan Suis Mod Pemanduan yang membolehkan pemandu memilih mod ECO bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien atau pun POWER sekiranya mahu lonjakan kuasa yang lebih pantas.
Ciri keselamatan :
- Didatangkan dengan tujuh beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS) dan Trailer Sway Control (TSC) yang membantu pemandu mengawal enjin ketika berlaku kecemasan.
- Penarafan lima bintang terhadap ujian pelanggaran ASEAN-NCAP.
Harga :
RM 184,880 – RM 225,880
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Jimat Minyak
Kini pengguna lebih gemar memilih SUV berbanding model lain kerana ia menggabungkan aspek praktikaliti, reka bentuk, teknologi dan pakej yang serba lengkap kepada pengguna.
Masalahnya sekarang, ada terlalu banyak pilihan 7 seater SUV Malaysia di pasaran. Jenama, saiz dan julat harga yang berbeza membuatkan tugas untuk memilih SUV yang paling sesuai untuk anda dan keluarga menjadi semakin sukar.
Jangan bimbang, selepas anda melihat dan memandu Tiguan Allspace, urusan membuat keputusan akan menjadi lebih mudah.
7 seater SUV Malaysia itu dijana oleh enjin turbo 1.4TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm yang dipadankan bersama kotak gear DSG enam kelajuan. Rangkaian kuasa tersebut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.7 liter bagi 100km, cukup jimat untuk kenderaan keluarga sebesar ini.
Ia juga didatangkan dengan pelbagai ciri menarik termasuklah sistem infohibur Discover Pro bersama skrin bersaiz 9.2 inci, ketersambungan aplikasi tanpa wayar, sistem navigasi, kawalan suara, pendingin hawa tiga zon serta stereng dibalut kulit.
Sebagai sebuah SUV keluarga, Tiguan Allspace menawarkan ruang kargo mencecah 1,775 liter. Cukup untuk membawa apa sahaja beg atau keperluan anda ketika balik kampung atau bercuti.
Apa yang kami suka :
- Skrin Digital Cockpit berukuran 11.7 inci menjanjikan paparan yang lebih jelas dan tajam. Terima kasih kepada penggunaan paparan TFT beresolusi tinggi seperti yang ada pada telefon pintar premium.
- Masuk ke ruang kabin, tempat duduknya dibalut oleh kulit Vienna untuk rasa lebih mewah. Tempat duduk hadapan yang hadir dengan ciri suhu aktif itu boleh dilaras sehingga 12 cara secara elektrik untuk memberi lebih keselesaan.
- Pemandu boleh memilih mode pemanduan seperti On-Road, Off-Road, Off-Road Expert dan Snow menerusi Dynamic Chasis Control (DCC).
- Kapasiti kargo kereta sekiranya kerusi tidak direbahkan ialah 230 liter dan sekiranya kerusi di barisan ketiga dilipat kapasiti bertambah kepada 700 liter, dan sekiranya barisan kedua juga dilipat ruang simpanan yang cukup luas sehingga 1,775 liter, sememangnya muat kalau anda bercadang untuk mengangkut basikal ke lokasi rekreasi atau mengangkut perabot yang besar.
Ciri keselamatan :
- Mempunyai enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), brek anti kunci (ABS), Brake Assist (BA), Multi-collision brakes, Intelligent Crash Response System (ICRS), brek parkir elektronik (EPB), Lane Assist, Driver Alert dan banyak lagi.
Harga :
RM160,590 – RM189,590
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Rekaan Sporty
Untuk mereka yang mempunyai bajet antara RM150k ke atas, pilihan semakin banyak salah satunya adalah Hyundai Santa Fe.
Dari sisi, rekabentuk Santa Fe memang tidak nampak ‘bagak’. Ramai tidak percaya ia mempunyai 7-tempat duduk yang mana ia sangat bagus kerana kereta ini nampak sporty tanpa perlu mengecilkan ruang kabin.
Jika dibandingkan dengan 7 seater SUV Malaysia yang berdasarkan platform trak pikap, Santa Fe ini mempunyai kabin yang jauh lebih luas, lebih mewah, lebih selesa dan lebih senyap.
Jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan, ruangan kargo akan meningkat kepada 547 liter. Tak cukup? Gunakan dua butang di dinding kiri but untuk menurunkan pula tempat duduk barisan kedua, menghasilkan ruang kargo seluas 1,625 liter. Luas!
Apa yang kami suka :
- Rekaan papan pemuka Santa Fe pernah mendapat anugerah Ward Best Interior 2019 bagi pasaran US ditawarkan dengan rekaan serta ciri ergonomic yang bagus. Sokongan pada bahagian atas dan bawah badan memang cukup dan tidak menyebabkan anda terasa penat bila memandu jarak jauh.
- Unit multimedia bersaiz 7 inci boleh disambungka ke peranti pintar anda samaada melalui Apple Car Play atau Android Auto dengan menggunakan wayar. Kualiti bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara sangat baik dengan corak pada permukaan pembesar suara yang sangat unik.
- Tempat duduk barisan kedua memang boleh digelungsur ke hadapan dan ke belakang bagi memberikan ruang kaki yang lebih untuk penumpang di barisan paling belakang.
Ciri keselamatan :
- Kelengkapan keselamatan turut mewah – standard termasuklah 6 beg udara, ESC, ABS, Downhill Brake Control (DBC), Hill-start Assist Control (HAC), BAS, TCS dan VSM.
Harga :
RM 196,888 – RM 207,638
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Rekaan Mewah
Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan susun atur papan pemuka yang menerapkan bahasa rekaan ‘Functional Emotions’.
Ia membawakan skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci, skrin kluster instrumen 12.3 inci, sistem audio Bose, sementara varian rendah pula membawakan kluster meter analog beserta skrin MID tengah.
Kia Sorento adalah sebuah kereta keluarga yang stailo kerana ia mempunyai 7 tempat duduk yang datang lengkap dengan roda aloi 19-inc dengan bahagian kabin menggunakan bahan yang berkualiti dan premium.
Kereta keluarga ini juga menawarkan keselesaan dan keyakinan pemanduan yang jauh lebih baik dari SUV yang berdasarkan trak pikap.
Apa yang kami suka :
- Datang dengan sistem parking yang inovatif, pembuka pintu but elektrik dan sistem komputer untuk bacaan tekanan udara tayar.
- Lengkap dengan pelindung suria untuk cermin belakang.
- Telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk Anugerah Produk dari Red Dot Awards, iF Deisgn Awards, dinobat sebagai SUV saiz pertengahan dengan kualiti terbaik oleh JD Powers, serta SUV of the year oleh Road&Track iCOTY.
Ciri keselamatan :
- Mempunyai enam beg udara dan pelbagai ciri keselamatan elektronik seperti Vehicle Stability Management, Electronic Stability Control, Anti-lock Braking System dan Hill Start Assist dan banyak lagi
Harga :
RM 211,498 – RM 255,228
7 Seater SUV Malaysia Terbaik Dengan Rekaan Tempatan
PROTON X90 adalah model ketiga dalam siri X PROTON tampil dengan rekaan moden dan mewah iaitu fokus kepada ketersambungan, gaya ergonomik dengan semua butang praktikal.
Tempat duduk 7 seater SUV Malaysia ini ditampilkan dengan material lembut untuk pemanduan yang selesa khususnya perjalanan jarak jauh dengan konfigurasi enam dan tujuh tempat duduk juga menggunakan platform versatil maju dengan kelengkapan terbaik.
But belakang pula ditawarkan lebih luas dengan kapasiti 2,050 liter, sekali gus memberi penekanan kepada aspek kereta keluarga.
Apa yang kami suka :
- PROTON X90 menggabungkan teknologi canggih dengan prestasi mengagumkan untuk memberikan pengalaman mengemudi yang lancar dan dinamis.
- Reka bentuknya yang anggun dan berotot mencerminkan evolusi terbaharu ke arah identiti premium, dengan busur Ethereal yang mengalir di antara lampu hadapan, kisi-kisi berlian yang terinspirasi dari corak songket, dan corak berulang unik dalam “Weave" tanpa batas yang menunjukkan warisan budaya Malaysia.
Ciri keselamatan :
- Ciri-ciri baharu seperti Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang mengesan kenderaan yang mendekati semasa mundur menggunakan sensor radar belakang, Rear Collision Warning (RCW) yang memberi amaran kepada pemandu tentang kemungkinan perlanggaran dari belakang, dan Traffic Sign Information (TSI) yang mengesan dan memaparkan tanda-tanda jalan raya.
Harga :
Harga PROTON X90 price, anggaran bermula RM127, 000
Perbandingan Harga Kenderaan 7 Seater SUV Malaysia Terbaik
|
Jenama |
Harga |
Perodua Aruz |
RM RM75,237.33 -RM80,361.35. |
Honda BR-V |
RM 105,000 |
Mazda CX-8 |
RM184,000 – RM220,000 |
Toyota Fortuner |
RM 195,800-RM 236, 880 |
Volkswagen Tiguan |
Bermula dari RM150,000 |
Hyundai Santa Fe |
RM 185,888- RM 205, 888 |
Kia Sorento |
RM 211,498 – RM 255,228 |
Proton X90 |
Harga anggaran bermula RM127,000 |
Nota Editor: Setiap item dan harganya adalah terkini pada masa artikel ini dikeluarkan. Walau bagaimanapun, mana-mana item boleh jadi ketiadaan stok atau harganya berbeza pada masa akan datang.
Perbezaan SUV dan MPV
Bagi mereka yang mahukan kenderaan lebih luas, SUV dan MPV merupakan antara jenis kereta boleh dijadikan pilihan malah dua jenis kenderaan ini adalah berbeza dan mempunyai kegunaan yang berbeza.
SUV, singkatan bagi “Sports Utility Vehicle", biasanya mempunyai reka bentuk yang agak kasar, garang, dan sesuai untuk menghadapi keadaan jalan yang lebih mencabar.
Biasanya, SUV mempunyai kemampuan penggerak roda empat (4WD) dan tinggi tanah yang lebih tinggi daripada kereta biasa, yang membolehkannya melepasi halangan seperti lumpur, pasir dan air yang lebih dalam.
Kebanyakan SUV juga mempunyai enjin yang kuat, menjadikannya lebih sesuai untuk penggunaan luar bandar atau dalam keadaan cuaca yang buruk. Meskipun begitu, kebanyakan SUV hanya mempunyai tempat duduk untuk 5 hingga 7 penumpang sahaja dan ruang kargo yang terhad.
Manakala MPV adalah singkatan bagi “Multi-Purpose Vehicle" mempunyai reka bentuk yang lebih mesra keluarga dan sesuai untuk kegunaan harian.
MPV biasanya mempunyai ruang dalaman yang luas dan mampu memuatkan lebih ramai penumpang daripada SUV. Kebanyakan MPV mempunyai 7 hingga 9 tempat duduk dan ruang kargo yang lebih besar daripada SUV.
MPV juga cenderung lebih rendah dan lebih mudah dikendalikan daripada SUV, menjadikannya lebih sesuai untuk penggunaan dalam bandar atau jalanraya.
Kelebihan Kenderaan SUV Untuk Keluarga
Semakin ramai keluarga yang memilih sebuah SUV sebagai kenderaan keluarga, terutama SUV dengan tujuh tempat duduk. Antara alasan popular yang diberikan ialah ibu bapa tidak sanggup memandu kenderaan yang terlalu besar seperti sebuah MPV.
Jadi apakah benar sebuah SUV mampu menggantikan sebuah MPV demi menjaga gaya hidup ibu bapa?
Jika anda sering pulang ke kampung halaman dengan keadaan jalanraya umpama laluan balak, cari SUV tujuh tempat duduk dengan kerangka trak (ladder frame).
Ini ialah kerana kerangka trak memang kukuh dan sistem 4X4 yang digunakan datang dengan “lower transfer case", sama seperti sebuah jentera 4X4 sejati. Dalam kes ini, SUV lebih sesuai dari sebuah MPV tetapi, SUV begini tidak selesa seperti sebuah MPV kerana kerangka mirip trak pikap.
Selain itu, SUV lebih praktikal di bandar kerana jalan raya di bandar sering mempunyai cabaran-cabaran seperti lubang, bonggol, ramp parkir yang tinggi dan tajam ataupun cabaran alam semula jadi seperti banjir kilat.
SUV dengan jarak lega bumi yang lebih tinggi, menawarkan kebolehan mengharungi halangan-halangan tersebut dengan lebih mudah. Ia juga bersaiz lebih kecil dari MPV dan lebih mudah diparkir.
Tambahan pula SUV dapat menjimatkan bahan api kerana sebuah SUV mempunyai reka bentuk badan yang mirip sebuah kereta. MPV pula lebih kepada ‘rumah bergerak’ dan mempunyai jumlah luas permukaan hadapan yang lebih besar.
Kerana itu, SUV moden yang menggunakan kerangka “monocoque" atau yang berlandaskan platform mirip kereta lebih menjimatkan tenaga.
Sebagai ketua keluarga, anda harus imbangkan kegunaan praktikal seharian keluarga anda. Paling penting, bila hendak membeli kenderaan untuk keluarga, bawa semua ahli keluarga dan pandu uji bersama mereka kerana keputusan terletak di tangan semua ahli keluarga anda sementara keselamatan mereka terletak di bahu anda.
Semoga artikel ini bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ini Senarai Baby Seat Terbaik Di Pasaran! Boleh Pakai Dari Newborn Sampai Anak Masuk Tadika!
Baca juga: 10 Tips Untuk Perjalanan Jauh Dengan Kereta Bersama Kanak-Kanak
Baca juga: Adakah Bahaya Memandu Ketika Hamil? Ibu, Ikuti 10 Checklist Ini Sebelum Mulakan Perjalanan