PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan purata jangka hayat lelaki Malaysia ialah 72.5 tahun berbanding 77.4 tahun bagi wanita pada tahun lalu.
KKM berkata, punca kematian utama dalam kalangan lelaki ialah akibat penyakit kardiovaskular iaitu sebanyak 34.9 peratus, diikuti oleh kanser (13.5 peratus) dan penyakit paru-paru kronik (4.7 peratus) bagi tahun 2021.
Jelasnya, kaum lelaki terlibat dengan faktor risiko yang meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit paru- paru kronik seperti merokok di mana sebanyak 35.7 peratus lelaki merokok iaitu 40 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.
“Selain itu, sebanyak 16.9 peratus lelaki didapati mengambil alkohol berbanding 6.4 peratus kalangan wanita,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Peringkat KKM Tahun 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni hari ini.
Masalah Kesihatan Dan Jangka Hayat Lelaki Malaysia
Tambah KKM, terdapat beberapa isu kesihatan lain yang perlu diberi perhatian seperti prevalen penyakit tidak berjangkit (NCD) yang masih tinggi dan tahap pengesanan penyakit berkait dengan sistem reproduktif yang rendah.
Ujarnya, isu ini telah menyebabkan prevalen undiagnosed penyakit kardiovaskular seperti diabetes, hipertensi dan hiperkolesterolemia dalam kalangan lelaki yang lebih tinggi berbanding wanita.
“Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Tahun 2023 melaporkan bahawa 6.2 peratus lelaki dikesan menghidap undiagnosed diabetes berbanding 5.6 peratus wanita.
“Selain itu, prevalen undiagnosed hypertension dalam kalangan lelaki ialah 12.7 peratus berbanding 11.1 peratus wanita. Namun, undiagnosed hypercholesterolemia yang turut merupakan faktor risiko penyakit kardiovaskular didapati rendah dalam kalangan lelaki iaitu 17 peratus berbanding 19 peratus dalam kalangan wanita,” katanya.
Lelaki Suka Menafikan Masalah Dihadapi
Dalam pada itu KKM memberitahu, masalah kemurungan dalam kalangan lelaki didapati kian meningkat dari 2 peratus pada tahun 2019 kepada 3.9 peratus pada tahun 2023, namun sikap lelaki yang lebih suka menafikan masalah kerana budaya dalam masyarakat yang beranggapan bahawa lelaki perlu kekal ‘kuat’.
“Bagi prevalen diabetes pada tahun 2019 telah menurun sebanyak 18 peratus dari 18.3 kepada 15 peratus pada tahun 2023.
“Keadaan yang sama turut berlaku kepada prevalen hipertensi yang menunjukkan tren pengurangan daripada 30.3 peratus kepada 28.8 peratus pada tahun 2023.
“Prevalen hiperkolesterolemia dalam kalangan lelaki didapati lebih rendah pada tahun 2019 iaitu 32 peratus berbanding 30.5 peratus pada tahun 2023,” katanya.
Faktor Yang Mempengaruhi Jangka Hayat Lelaki
1. Gaya Hidup Tidak Sihat
Kebanyakan lelaki cenderung mengambil gaya hidup yang lebih berisiko, seperti merokok, mengambil alkohol, dan pemakanan tidak seimbang.
Statistik menunjukkan bahawa kadar merokok dalam kalangan lelaki jauh lebih tinggi berbanding wanita di Malaysia. Merokok bukan sahaja membawa kepada penyakit paru-paru, malah juga meningkatkan risiko penyakit jantung dan kanser – dua punca utama kematian di kalangan lelaki.
2. Kurangnya Aktiviti Fizikal
Walaupun lelaki sering terlibat dalam aktiviti yang mencabar tenaga seperti kerja fizikal atau sukan, tidak semua mereka mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten.
Kehidupan yang sibuk dengan kerja juga menyebabkan ramai lelaki memilih untuk berehat di rumah selepas bekerja, tanpa berusaha untuk kekal aktif. Kekurangan senaman ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan, tekanan darah tinggi, dan risiko diabetes.
3. Kurang Kesedaran Tentang Kesihatan Mental
Lelaki sering dilihat sebagai ‘kuat’ secara mental, tetapi ini menyebabkan mereka jarang membincangkan atau mengakui masalah emosi yang dihadapi.
Tekanan di tempat kerja, keluarga, dan tanggungjawab lain sering dipendam, menyebabkan lelaki lebih terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan. Malangnya, keadaan ini tidak selalu ditangani dengan baik dan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
4. Kurangnya Pemeriksaan Kesihatan Berkala
Berbanding wanita, lelaki lebih jarang menjalani pemeriksaan kesihatan berkala. Ini mungkin disebabkan oleh stigma atau persepsi bahawa mereka tidak perlu ‘mengada-ngada’ untuk mendapatkan rawatan jika tidak sakit.
Pemeriksaan kesihatan adalah penting untuk mengenalpasti sebarang tanda awal penyakit dan mencegah komplikasi yang lebih teruk.
Tips Meningkatkan Jangka Hayat Lelaki
Untuk mengatasi perbezaan jangka hayat ini, terdapat beberapa langkah mudah tetapi berkesan yang boleh diambil oleh lelaki untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan panjang umur.
1. Berhenti Merokok dan Mengurangkan Alkohol
Menghentikan tabiat merokok adalah langkah pertama dan paling penting untuk meningkatkan kesihatan. Merokok adalah penyumbang utama kepada pelbagai penyakit serius seperti penyakit jantung, kanser, dan penyakit paru-paru. Jika berhenti sepenuhnya sukar, lelaki boleh mendapatkan bantuan melalui program berhenti merokok atau berkonsultasi dengan doktor.
Pengambilan alkohol juga perlu dikurangkan. Terlalu banyak alkohol boleh merosakkan hati, meningkatkan tekanan darah, dan menyebabkan komplikasi kesihatan yang lain. Mengambil alkohol dengan sederhana atau, lebih baik lagi, berhenti terus boleh membuat perbezaan besar terhadap kesihatan jangka panjang.
2. Mengamalkan Pemakanan Sihat
Pemakanan yang sihat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan. Elakkan makanan yang tinggi lemak, gula, dan garam. Cuba untuk memasukkan lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, dan protein tanpa lemak dalam diet harian.
Bagi mereka yang sukar menukar diet, mulakan dengan menggantikan satu hidangan tidak sihat sehari kepada sesuatu yang lebih berkhasiat.
3. Aktifkan Diri dengan Senaman Berkala
Senaman bukan sahaja membantu mengekalkan berat badan yang sihat, tetapi juga mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan kesihatan jantung.
Cuba untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu. Aktiviti yang boleh dilakukan termasuk berjalan kaki, berbasikal, berenang, atau senaman angkat berat. Senaman juga terbukti membantu dalam menangani tekanan dan memperbaiki mood.
4. Jaga Kesihatan Mental
Kesihatan mental adalah aspek penting yang sering diabaikan oleh lelaki. Bercakap tentang perasaan dengan rakan atau ahli keluarga yang dipercayai boleh membantu mengurangkan tekanan. Jika perlu, dapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau ahli psikologi.
Ingat, meminta bantuan bukanlah tanda kelemahan tetapi sebaliknya adalah langkah bijak untuk menjaga diri sendiri.
5. Lakukan Pemeriksaan Kesihatan Berkala
Melakukan pemeriksaan kesihatan berkala dapat membantu mengenalpasti sebarang masalah kesihatan pada peringkat awal.
Pemeriksaan seperti ujian tekanan darah, kolesterol, gula darah, dan ujian jantung adalah penting untuk memantau keadaan kesihatan. Jika dikesan lebih awal, banyak penyakit serius boleh dicegah atau dirawat sebelum ia menjadi kritikal.
6. Menjaga Berat Badan Sihat
Berat badan berlebihan atau obesiti boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, dan masalah jantung.
Menjaga berat badan yang ideal adalah cara yang baik untuk mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan kualiti hidup. Jika perlu, rujuk pakar diet atau jurulatih peribadi untuk mendapatkan nasihat tentang pengurusan berat badan.
7. Elakkan Stres Berlebihan
Tekanan berlebihan dalam jangka masa panjang boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk tekanan darah tinggi dan masalah tidur. Ambil masa untuk berehat dan luangkan masa untuk hobi atau aktiviti yang boleh menenangkan.
Teknik relaksasi seperti meditasi, yoga, dan pernafasan dalam juga boleh membantu mengurangkan stres.
Kesimpulannya, jangka hayat lelaki atau berapa lama seseorang hidup di atas dunia ini ditentukan oleh sang penciptaNya. Sebagai manusia, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menjaga diri sendiri bagi membolehkan anda menerokai dan mencipta kenangan dengan tersayang.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Apa Sebenarnya Yang Lelaki Fikirkan Tentang Hubungan? Ini Hati Lelaki Yang Sebenarnya…
Baca juga: Lelaki Ujar Rasa Sayang Melalui Gerak Geri Badan, Bukan Kata-Kata – Anda Setuju Atau Tidak?
Baca juga: Walaupun Sudah Berkahwin, Isteri Tidak Boleh Halang Suami Bantu Ibu & Saudara Perempuannya
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!