Akil baligh adalah satu fasa yang paling mengelirukan setiap remaja kerana perasaan ingin tahu mereka amat tinggi. Ditambah dengan keadaan dunia yang semakin mencabar dengan segala maklumat sama ada yang baik atau sebaliknya boleh diperoleh hujung jari.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Akil baligh adalah proses kanak-kanak menjadi dewasa
- Akil baligh adalah fasa mengelirukan, ibu ayah perlu menerangkan apa yang bakal mereka lalui
- Tips berbincang tentang seks dengan anak
Jika tiada bimbingan yang betul diberikan kepada anak-anak dan remaja tersebut, ia boleh mengundang kemudaratan. Sehubungan itu, peranan dan bimbingan ibu dan ayah dalam menghadapi fasa akil baligh ini juga penting dalam kehidupan mereka.
Akil baligh adalah proses kanak-kanak menjadi dewasa
Berdasarkan penjelasan pada laman MyHEALTH, ia adalah satu peringkat dalam hidup di mana tubuh badan berubah daripada seorang kanak-kanak kepada seorang dewasa. Perubahan-perubahan ini termasuk ciri-ciri seks ‘primer’ dan ‘sekunder’. Ia disebabkan bahan kimia di dalam badan yang dipanggil hormon.
Untuk lelaki
- Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan zakar (penis) dan buah zakar (testis).
- Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan pertumbuhan misai dan janggut serta suara yang lebih garau.
- Bulu ketiak serta di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh.
Untuk perempuan
- Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan faraj dan ovari.
- Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan perubahan payudara serta punggung membesar.
- Bulu dari ketiak dan di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh.
Usia
Usia akil baligh adalah bermula antara umur 9 hingga 16 tahun bagi lelaki dan perempuan. Ada yang mengalaminya lebih awal dan ada juga yang lewat.
Kemungkinan sebab-sebab akil baligh awal adalah:
- Nutrisi yang lebih baik
- Stres
- Bahan kimia di dalam makanan
Akil baligh adalah fasa mengelirukan, ibu ayah perlu menerangkan apa yang bakal mereka lalui
Seperti yang diterangkan oleh Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, apabila anak-anak melalui proses ke arah akil baligh, mereka sebenarnya masuk ke dalam zon gelap. Anak-anak ini melalui suatu perasaan yang tidak boleh untuk diterangkan kepada ibu dan ayah disebabkan mereka tidak tahu.
Antara perubahan tersebut seperti perasaan memberontak atau sakit yang tidak boleh diceritakan. Situasi tersebut yang kebanyakan ibu ayah tidak sedar. Justeru, pentingnya untuk memimpin tangan mereka serta berikan sokongan dari segi fizikal dan emosi.
1- Persediaan awal
Ibu dan ayah perlu ada ilmu dan melakukan persediaan awal. Apabila anak-anak bertanyakan sesuatu, sentiasa lapang dada dan memberikan penjelasan kepada mereka. Jangan beri reaksi seperti gelak, terkejut atau marah dengan soalan-soalan yang ditanyakan.
Sentiasa bersikap tenang dan bersedia untuk berikan sokongan kepada anak. Misalnya, apabila anak remaja lelaki berkata ‘tak boleh kawal, rasa nak pandang perempuan’.
Jadi sebagai ibu ayah, sokong anak tersebut dan beritahu cuba untuk kawal, ‘tak apa tengok tapi kena tahu bila dan kenapa kena berhenti’. Sebab itu pentingnya ibu ayah rapat dengan anak-anak.
2- Sentiasa bersikap terbuka dengan anak-anak
Budaya timur di Malaysia bukan senang untuk berbicara secara terbuka, malu-malu dengan semua benda hendak disorok dan disenyapkan. Malah ada situasi kita dilarang bercerita.
Justeru ini perlu diubah ditambah lagi semua perkara boleh didapati di internet. Jika semua pertanyaan anak-anak disorokkan, ini akan mendedahkan kepada mereka dengan kejutan budaya sekali gus ia lebih berbahaya. Lebih-lebih lagi mereka akan mencarinya sendiri menerusi internet.
Contoh situasi apabila menonton movie bersama anak-anak dengan paparan cerita ketika itu ialah pasangan lelaki dan perempuan sedang bercium. Ibu dan ayah boleh tanyakan dan terangkan kepada mereka.
‘Kenapa mereka bercium’ dan boleh beri penjelasan iaitu, sekiranya tanpa ikatan pernikahan antara lelaki dan perempuan, ia adalah salah kerana kita ada agama. Semua agama tidak membenarkan seks sebelum kahwin dan anak-anak perlu tahu perkara tersebut. Tidak boleh sewenang-wenangnya menyentuh orang lain berlainan jantina.
3- Perubahan fizikal itu normal
Ibu dan ayah bercerita dan terangkan kepada anak-anak bahawa perubahan fizikal yang dilalui mereka itu adalah normal. Mereka akan melalui langkah demi langkah, sedikit demi sedikit dan fasa demi fasa dalam memasuki alam akil baligh.
Pada masa ini, boleh beritahu mereka supaya berkongsi apa yang mereka alami. Tanyakan adakah mereka melalui mimpi pelik (mimpi basah). Adakah mereka sudah ditumbuhi bulu-bulu di bahagian sulit atau bahagian lain.
Jelaskan kepada anak-anak ini adalah permulaan untuk mereka membesar, jadi akan ada perubahan yang mereka lalui. Bantu mereka untuk menerima perubahan tersebut.
4- Kerap berkomunikasi dengan anak-anak
Sentiasa rajin berkomunikasi dengan anak-anak. Dalam memasuki fasa akil baligh ini, cara anak-anak mentafsir adalah berbeza. Sebagai contoh, dia melihat wajah ibunya dan menyangkakan sedang marah, sedangkan anda ketika itu stres di tempat kerja.
Kita boleh kawal air muka kita dan rajin berkomunikasi dengan mereka. Beritahu anak, ‘ibu stres hari ini, tapi ibu tak marah, suara ibu ok saja’. Dengan ini, anak-anak akan selesa dan sentiasa bertanya dengan ibu ayah. Mereka tidak rasa takut untuk berkongsi apa yang dilalui.
Tips berbincang mengenai hubungan seks dengan anak
Menerusi laman web positive parenting, terdapat beberapa tips yang boleh digunakan ibu dan ayah untuk membicarakan topik tersebut bersama anak-anak.
- Mula berbicara tentang seks awal, mulakannya langkah demi langkah dan pengisian haruslah bersesuaian dengan perkembangan umur anak. Contohnya, boleh mula dengan memperkenalkan nama-nama organ reproduktif dan perbezaan jantina lain seawal usia 3 hingga 5 tahun. Apabila mereka besar, penerangan tentang sesuatu boleh lebih terperinci.
- Gunakan istilah yang tepat apabila membicarakan tentang seks. Jangan guna bahasa pasar atau bermadah kerana ia akan menghantar isyarat salah bahawa bercakap tentang seks adalah perkara yang memalukan. Ia harus dijadikan perkara normal dan wajib digalakkan bagi memperkasakan anak-anak dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik.
- Berbicara tentang rancangan masa depan remaja anda dan perkara yang perlu mereka lakukan dan elakkan untuk mencapai cita-cita tersebut. Mereka perlu memahami bahawa kehidupan mereka akan tergendala jika mereka membuat keputusan yang salah.
- Lakonkan beberapa situasi yang mungkin mereka akan hadapi dan ajar anak anda cara untuk bertegas serta bersungguh-sungguh apabila mengatakan ‘tidak’. Sesetengah kanak-kanak takut akan tindak balas buruk daripada teman lelaki/teman wanita atau bimbang bahawa hubungan mereka mungkin akan berakhir jika mereka tidak memberi apa yang diminta. Ibu bapa harus memahami keadaan sebenar yang mungkin berlaku dan lebih bertimbang rasa terhadap apa yang dirasai atau dibimbangkan oleh anak mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Apa Anda Perlu Buat Bila Anak Perempuan Sudah Akil Baligh?
Baca juga: Bayi Saya Mengalami Ereksi Ketika Penukaran Lampin – Adakah Ini Tanda Akil Baligh?
Baca juga: Ramai Kanak-Kanak Mencapai Umur Akil Baligh Terlalu Awal, Kata Pediatrik