Sering Kena Tegur Anak Kurus! Dah Bagi Makan Tapi Berat Tetap Susah Naik, Adakah Patut Risau?

Anak kurus selalu juga menjadi kerisauan ibu ayah. Risaunya tengok berat badan anak. Susah sangat nak naik sedangkan hari-hari makan.

Aduhai, stres juga bila ramai yang tegur anak kurus. Sedangkan ibu ayah sudah bagi pelbagai jenis makanan. Namun berat anak masih susah betul nak naik.

Ini antara dilema ibu-ibu yang mempunyai anak kurus. Pasti ada orang yang bagi nasihat untuk menggemukkan anak. Malah lebih teruk ada yang menyalahkan si ibu pula. Kononnya ibu tak tahu jaga atau tak bagi anak makan! 

Namun begitu, perkara ini tidak menjadi masalah pada anak yang kecil tapi sihat dan bijak. Tetapi, apa yang menjadi bualan bila anak kurus ialah anak tak aktif dan tak nak makan. Pasti beribu soalan akan disoal pada ibunya!

Sebab itu, bila berjumpa saja dengan mereka ini, ibu akan bertambah stres untuk gemukkan bayi secepat mungkin. Jika ayah mendengar orang lain kata anaknya kurus, bagi mereka itu normal. Tapi kalau bagi kaum ibu, memang ‘makan dalam’! Tapi persoalannya kenapa bayi kurus sangat, ya? 

Apa maklumat lanjut yang akan ada baca dalam artikel ini?

  • Kenapa anak kurus
  • Berat ideal bayi ikut umur
  • Faktor-faktor kenapa anak kurus

Kenapa anak kurus? 

Anda patut tahu, tak semua anak kurus itu mengalami masalah kurang berat badan. Sebab itu untuk mengukur berat dan ketinggian1 bayi perlu dikira melalui carta, bagi mengetahui sama ada bayi kurang berat badan atau tidak. 

Jangan ingat jika anak kurus itu pasti dia ada masalah kesihatan dan sebagainya. Tidak semestinya jika budak kurus dia tidak sihat. 

Berat ideal bayi ikut umur

Purata berat bayi semasa lahir bagi bayi perempuan adalah 3.2 kilogram iaitu lebih ringan daripada berat purata bayi lelaki baru lahir iaitu 3.4 kilogram.  Selain itu, purata bayi baru lahir adalah 49.2 cm bagi bayi perempuan dan bagi bayi lelaki adalah 49.9 cm. 

Memang ada perbezaan antara berat bayi lelaki dan bayi perempuan mengambil kira kemampatan tulang dan sebagainya. Perlu juga diingat, bayi juga akan mengalami penurunan berat badan pada beberapa hari pertama kehidupan mereka.

Berat ini akan kembali kepada berat baru lahir mereka. Sehingga berusia tiga bulan, berat kebanyakan bayi akan bertambah dan menjelang empat bulan kebanyakan bayi akan meningkat dua kali ganda daripada berat lahir mereka. 

Menjelang satu tahun pula, kebanyakan bayi akan meningkat tiga kali ganda malah mereka membesar kira-kira 25 cm pada hari lahir pertama mereka!

Benarkah tumbesaran anak ikut faktor genetik

Saiz dan berat ketika lahir adalah hasil daripada pertumbuhan janin. Tumbesaran janin adalah unik dan dipengaruhi oleh faktor ibu ayah, plasenta dan janin.

Kajian berskala besar oleh Universiti Cardiff dan Universiti Exeter telah menemui bukti paling kukuh setakat ini bahawa genetik memainkan peranan utama dalam kebanyakan kes apabila bayi yang dilahirkan dalam tempoh matang dan cukup bulan.

Selain itu, kajian epidemiologi menganggarkan bahawa pengaruh persekitaran menyumbang kira-kira 25% varians berat lahir dan pengaruh genetik menyumbang 38-80% varians berat lahir2.

Secara keseluruhannya terdapat bukti kukuh bahawa faktor genetik memainkan peranan penting dalam menentukan saiz kelahiran.

Faktor-faktor kenapa anak kurus

Ada dua sebab kenapa anak kurus: 

  • Disebabkan oleh faktor genetik 
  • Mempunyai masalah kenaikan berat badan 

#1. Faktor genetik

Faktor genetik atau tidak membesar dengan sempurna dalam rahim boleh menyebabkan bayi menjadi kurus. Semasa kelahiran pula, mereka mungkin berada di bawah bahagian ‘normal’ ketika diukur berdasarkan berat dan ketinggian. 

Walaupun anak kurus, namun anda perlu lihat dari segi perkembangannya seperti pemakanan yang baik, cukup tidur, aktif bermain dan lain-lain. 

#2. Bayi yang alami masalah kenaikan berat badan 

Keduanya adalah anak yang memang mengalami masalah kenaikan berat badan. Ini kerana corak pemakanan yang kurang sihat

Walau bagaimanapun, jika berat badanya masih kurang dan tidak seiring dengan usianya, doktor akan melakukan teknik terapi pemakanan pada anak tersebut. 

Patutkah anda gemukkan bayi kurus?

Sebagai seorang ibu, anda pasti ingin menggemukkan anak supaya lebih besar dan sihat. Walau bagaimanapun, itu bukan objektif utama. 

Sebabnya, yang paling penting adalah membesarkan anak dengan perkembangan dan nutrisi yang terbaik.

Namun, jika terlalu risau anak kurus, perkara pertama yang perlu diingat adalah anda perlu mengikut pada carta yang disediakan oleh pakar perubatan dalam menentukan bayi tergolong dalam golongan yang mana. 

Carta ini anda boleh cari saja di internet atau rujuk semula pada buku pemeriksaan bulanan anak anda. Jika tumbesaran anak anda mengikut kepada carta yang sepatutnya, tidak perlulah anda risau. 

Bagaimana pula dengan kanak-kanak dan anak dewasa yang kurus? 

Sebaik sahaja boleh berjalan, lemak bayi akan hilang dan menyebabkan berat badannya susut. Namun jika dia tetap aktif dan cergas setiap hari, tak ada apa yang harus dibimbangkan. 

Anda hanya perlu pastikan si kecil itu:

BMI adalah petunjuk yang bagus untuk menilai sama ada perlu atau tidak gemukkan anak kurus. Sekiranya BMI dalam keadaan normal, jangan bimbang. 

Namun, jika ragu-ragu atau ada sebarang persoalan adalah lebih baik berbincang dengan pakar pediatrik.

Kemudian, anda hanya perlu fokus pada perkembangannya dan mengabaikan komen negatif yang bertanyakan soal berat badannya itu kerana ibu bapa adalah orang penting dalam menilai perkembangan anak. 

Bila patut risau

Jika bayi anda mengalami masalah tidak naik berat badan atau ketinggian lebih dari tiga bulan adalah lebih baik untuk anda mendapatkan pemeriksaan selanjutnya.

Memang ada ibu-ibu yang takut untuk membuat pemeriksaan kerana bimbang ‘dibebel’ oleh doktor atau pakar pemakanan. Namun demi kebaikan anak anda, tahan sajalah telinga jika terpaksa juga mendengar bebelan itu.

Antara perkara yang menyebabkan tumbesaran bayi terbantu termasuklah:

  • Masalah genetik, seperti down syndrome – masalah genetik ini mungkin terjadi kepada mana-mana bayi. Biasanya masalah ini boleh dikesan sejak lahir dan ibu ayah memang sudah sedia tahu yang anak mereka mungkin akan mempunyai masalah pada tumbesarannya. Jadi ibu ayah sudah boleh bersedia jika anak disahkan mempunyai masalah genetik untuk memantau tumbesaran mereka.
  • Masalah hormon – masalah hormon seperti kekurangan hormon tiroid boleh memberi kesan kepada tumbesaran bayi anda. Ia dipanggil Hipotiroidisme Kongenita yang mana ia adalah penyakit kelenjar tiroid yang melibatkan bayi yang baru dilahirkan. Penyakit ini mengakibatkan kekurangan penghasilan hormon “Thyroxine”. Hormon “Thyroxine” adalah sangat penting untuk tumbesaran serta perkembangan otak kanak-kanak.
  • Masalah jantung dan paru-paru – jantung adalah tunjang utama tumbesaran manusia. Biasanya bayi yang mempunyai masalah jantung sama ada jantung berlubang dan sebagainya akan mengalami masalah tumbesaran seperti tiada pertambahan berat badan dan sebagainya. Mereka juga kadang kala akan kelihatan lebih kecil daripada kanak-kanak seusia mereka.
  • Masalah kekurangan darah, seperti anemia – jika bayi anda mempunyai masalah kurang darah, boleh jadi ia antara faktor yang menyebabkan anak kurus. Jadi tidak salah jika anda cuba beri susu untuk tambah berat badan anak. Susu ini antara cara menaikkan berat badan anak yang biasa digunakan ibu-ibu di luar sana
  • Masalah gangguan pencernaan yang menganggu penyerapan nutrisi – masalah ini biasanya ada kaitan dengan masalah pada usus bayi. Ini sekaligus menyebabkan terganggunya penyerapan nutrisi dan menyebabkan anak tidak mendapat zat seterusnya menyebabkan pertumbuhan mereka terbantut. 

Namun begitu, bagi bayi yang mempunyai masalah kesihatan berterusan seperti masalah penghadaman, cirit birit, muntah dapatkan juga pemeriksaan lanjut daripada doktor. Semoga bermanfaat.

  1. Mayoclinic (July 14, 2020). Infant and toddler health. www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/expert-answers/baby-fat/faq-20058296
  2. BMJ Journals (2002). Genetic factors contributing to birth weight. fn.bmj.com/content/86/1/F2.2
  3. Science Daily (May 1, 2019). How both mother and baby genes affect birth weight. www.sciencedaily.com/releases/2019/05/190501114600.htm

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Penulis asal Anay Bhalerao. Artikel ini mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan.

Baca juga: Cara BERKESAN Tambah Berat Bayi 10 Bulan, Ibu Cuba Beri Beberapa Jenis Makanan Ini

Baca juga: Bukan Sebab Kurang Susu, Tidur Tidak Lena Juga Punca Berat Bayi Naik Tak Cantik -Doktor

Baca juga: Risaunya Berat Bayi Tidak Naik Walaupun Kerap Menyusu, 7 Sebab Ini Ibu WAJIB Tahu!