Bolehkah bayi keluar malam?
Jawapan untuk persoalan ini sebenarnya ramai yang sudah tahu, tetapi masih lagi ada lagi yang sering melakukannya.
Rata-rata ibu bapa sedar yang membawa bayi keluar malam terutamanya sehingga ke tengah malam adalah perkara yang tidak elok dilakukan, namun kepentingan diri sendiri lebih diutamakan.
Bila melihatkan si kecil kelihatan sudah terbiasa atau ‘tidak ada masalah’ dengan keadaan tersebut, ibu bapa terus menganggap ini ‘lampu hijau’ untuk menikmati aktiviti malam seperti biasa! Ada yang macam ini tak?
Tambahan lagi, tiba hujung minggu atau menjelang musim perayaan pula pasti ada yang ingin membeli baju baru dengan waktu jualan sehingga ke pagi hari yang ditawarkan pusat perniagaan. Bukan itu sahaja, persekitaran tempat juga kadangkala tidak sesuai — bersesak yang boleh membawa risiko penyakit, kawasan terbuka malah cuaca yang tidak menentu.
Bayi Sering Dibawa Keluar Malam
Kalau dulu, bayi tidak dibawa keluar langsung selepas waktu senja kerana dianggap pantang, lain pula jadinya pada masa kini.
Kekangan kerja ibu bapa menyebabkan mereka bawa anak-anak keluar pada malam hari dan akhirnya menjadi tabiat buat keluarga.
Bila kepenatan, anak kecil khususnya mungkin akan menangis dan meragam kerana terlalu mengantuk. Waktu tidur anak kecil seharusnya dibiasakan seawal 8-9 malam setiap hari ya ibu, kerana ia bukan sahaja baik untuk perkembangannya malah untuk tingkahlaku jangka masa panjangnya juga.
Menurut Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana Dr Mallina Sivarajasingam, kecenderungan ibu bapa moden membawa anak keluar hingga lewat malam boleh mengakibatkan si kecil mengalami gangguan pola tidur yang boleh menyebabkan pertumbuhan minda dan fizikalnya tidak berkembang dengan baik. “Selain makanan, tidur juga menjadi sumber tenaga kepada manusia. Bagi golongan dewasa, tidur antara 7-8 jam sehari amat penting untuk memastikan tubuh mendapat rehat secukupnya. “Namun bayi dan kanak-kanak di bawah usia prasekolah perlukan tidur sekurang-kurangnya sembilan ke 12 jam sehari. Tempoh ini amat penting untuk proses tumbesaran mereka, di samping membantu ibu bapa mendisiplinkan anak dengan menepati masa tidur yang sepatutnya. “Tetapi ramai ibu bapa moden pandang ringan mengenai perkara ini. Membiarkan anak tidur lambat akan membuatkan mereka bertambah penat keesokannya, sekaligus ibu bapa sukar untuk mengendalikan si kecil apabila berlaku perubahan emosi atau mula meragam.
“Tabiat tidur lewat dalam kalangan si kecil ini mungkin dilihat bukanlah isu besar bagi ibu bapa. Bagaimanapun, perlu diingat tindakan yang kecil dan hanya sesekali dilakukan boleh membawa kemudaratan lebih besar pada masa akan datang. “Justeru, digesa ibu bapa memahami keperluan dan kepentingan tidur untuk perkembangan positif anak mereka. Ibu bapa perlu faham kebaikan yang diperoleh daripada tidur yang cukup dan apa yang akan berlaku jika anak tidak mendapat tidur yang berkualiti,” katanya.
Kenapa Bayi Tidak Boleh Keluar Malam?
Ada beberapa sebab yang menyebabkan tidak wajar anak dibawa keluar malam, antaranya:
- Antibodi anak masih lemah.
- Cuaca sejuk yang mengundang penyakit.
- Nyamuk banyak di malam hari.
- Suasana bising terutama di kawasan sesak.
- Anak mungkin takut pada persekitaran.
- Mengganggu waktu tidur, menyebabkan anak kepenatan.
- Kelaparan.
Memastikan Pola Tidur Anak Dalam Keadaan Baik
Anak-anak dari usia bayi sehingga prasekolah seharusnya mempunyai rutin tidur yang sama setiap hari. Sebaiknya ibu bapa tidak menukar waktu tidurnya hanya untuk kemahuan diri sendiri, khususnya untuk beriadah pada waktu malam.
Berikut beberapa tips untuk anak kecil tidur malam:
1-2 bulan
• Perhatikan corak tidur bayi dan kenal pasti tanda mengantuk.
• Letakkan bayi dalam buaian ketika mula mengantuk dan bukannya selepas tidur.
• Baringkan bayi dengan muka dan kepalanya bebas daripada gangguan selimut atau bantal.
• Galakkan bayi tidur pada waktu malam
3-12 bulan
• Atur jadual tidur siang dan malam.
• Amalkan rutin yang konsisten dan menyeronokkan bagi membolehkan mereka tidur lena pada waktu malam.
• Wujudkan suasana persekitaran yang ‘mesra tidur’, misalnya mengurangkan kecerahan lampu dan mengurangkan bunyi-bunyian.
• Galakkan bayi tidur dengan sendiri.
Yang penting, utamakan kesihatan anak-anak dahulu ya. Jangan kerana kita sibuk fikirkan kepentingan sendiri, anak-anak pula yang sakit dan keletihan.
Pastikan mereka mendapat rehat yang cukup, tanpa pengaruh persekitaran yang tidak baik khususnya di malam hari. Semoga bermanfaat.
Bolehkah bayi 1 bulan dibawa keluar malam?
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro
Baca juga: