Satu perkara yang melegakan para ibu ialah apabila si manja mengeluarkan angin dari badan, sama ada melalui sendawa atau kentut. Ini kerana si manja tidak lagi berdepan masalah ketidakselesaan pada perut, tetapi jika bayi sering kentut dalam kuantiti yang terlalu banyak bagi seorang bayi, ia tetap akan membuatkan ibu-ibu risau.
Sekiranya bayi anda kerap mengeluarkan angin melalui kentut dalam masa sehari, ia mungkin perkara normal tetapi adakah ia juga boleh bermakna bahawa bayi anda mempunyai masalah lain yang perlu anda ambil perhatian.
Bayi Sering Kentut, Normal atau Tidak?
Walaupun ramai yang masih berpendapat kentut adalah satu perkara yang memalukan, tetapi kentut adalah satu proses yang normal dan sebenarnya bagus untuk badan anda. Terutamanya kepada si manja.
Jika si manja anda mempunyai terlalu banyak gas atau angin di dalam badan, ia pasti akan membuatkan si kecil anda tidak selesa dan mereka mungkin menghadapi risiko untuk mengalami kembung perut. Dan kita semua tahu bagaimana bayi akan berperangai apabila mereka sedang kembung perut… gerun!
Jadi, jika si manja anda melepaskan gas dalam kuantiti yang lebih banyak dari bayi-bayi lain, ia adalah normal dan bagus untuk mereka. Tetapi, apakah punca-punca yang menyebabkan bayi anda terlalu banyak gas di dalam badan mereka?
Punca bayi sering kentut
#1. Perkembangan sistem penghadaman belum matang
Sistem penghadaman anak anda masih tidak biasa mengalami pemprosesan. Jadi, disebabkan sistem penghadaman mereka masih sedang berkembang dengan tumbesaran si manja, ia masih tidak mempunyai bakteria-bakteria bagus yang dapat membantu si manja menghadam susu dan makanan dengan lebih cepat.
Jadi, anda mungkin akan dapat melihat mimik muka si manja yang kelihatan seperti mereka meneran hanya kerana mereka tidak dapat melepaskan gas yang berada di dalam perut mereka!
#2. Penyusuan dan pemakanan
Seperti yang ramai pasti tahu, belakang badan bayi anda perlulah digosok selepas setiap sesi penyusuan atau pemakanan bagi membantu mereka sendawa dengan lebih mudah.
Tetapi, jika masih terdapat gas lebihan di dalam badan mereka, ia pasti akan keluar melalui “bawah”.
Sekiranya anda menyusukan si manja anda menggunakan botol, pastikan tiada buih-buih angin di dalam susu ketika anda menyusu si kecil anda supaya mereka tidak meminum angin. Ia mungkin boleh menyebabkan si manja kembung perut jika mereka tidak sendawa atau kentut dengan segera.
#3. Terlalu banyak menangis
Ada hari si manja anda pasti akan menangis dan mengamuk tanpa henti kerana ini sahaja cara mereka untuk berkomunikasi dengan anda bahawa mereka sedang mengalami kembung perut!
Tetapi, semakin banyak mereka menangis, semakin banyak angin yang mereka telan, lalu menambah kepada permasalahan kembung perut mereka.
Maka, jika si manja anda terlalu kerap membuang gas dari dalam badan mereka, ia adalah perkara yang sangat normal dan sangat bagus untuk kesihatan si manja anda.
Jikalau anda risau bayi mempunyai terlalu banyak gas di dalam badan, ini cara-cara yang anda boleh amalkan untuk menghalang si manja dari menjadi terlalu berangin atau membantu mereka melepaskan angin dengan mudah!
Ibu Boleh Amalkan Tips-tips Ini Untuk Bantu Melegakan Bayi!
Sentiasa sendawakan bayi selepas penyusuan
Sejurus sahaja selepas penyusuan, anda digalakkan untuk membuatkan si manja sendawa. Ia dapat membantu si manja mengeluarkan lebihan angin yang telah mereka telan tanpa sengaja.
Anda boleh meletakkan si manja di bahu kiri atau kanan anda dan gosok mereka menggunakan sebelah tangan bebas anda. Elakkan membaringkan si manja terus selepas menyusu!
Bayi sering kentut, ibu kena rajin lakukan senaman bersama bayi
Anda boleh melakukan senaman bersama bayi untuk memudahkan gas melalui sistem penghadaman mereka lalu mengeluarkan angin yang terperangkap.
- Menukar posisi si manja dapat membantu gas keluar dengan lebih cepat. Anda boleh mencuba meniarapkan bayi kemudian membaringkan mereka semula.
- Aktiviti mengayuh bersama bayi anda juga boleh membantu. Pegang kedua-dua tapak kaki bayi dan tolak kaki mereka seakan-akan mereka sedang mengayuh basikal.
- Letakkan bayi di dalam posisi duduk di atas riba anda dan angkat serta turunkan riba anda dengan cepat, seolah-olah si manja sedang berada di atas kerusi urut.
Mengurut perut bayi sering kentut agar dia lega
Bukan anda sahaja yang menyukai urutan, tetapi bayi anda juga menyukainya! Mengurut perut, kaki dan belakang bayi pasti dapat membantu bayi untuk relaks dan ibu juga dapat merasakan ketenangan ketika melakukan urutan.
Happy baby, happy mommy!
Anda boleh cuba menekan perut bayi dengan lembut sambil membuatkan bentuk “O” semasa mengurut untuk mengeluarkan angin yang berada di dalam perut si manja. Mereka mungkin akan melepaskan gas sebagai tanda terima kasih kepada ibu kerana melegakan mereka.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jika Betul Teknik Urutan Pada Bayi, Boleh Beri Banyak Manfaat!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!