Kebanyakan kelahiran songsang perlu menjalani pembedahan caesarean kerana lebih selamat daripada kelahiran secara normal, namun masih ramai yang tidak tahu punca baby songsang dalam kandungan?
Bayi lahir secara songsang boleh berlaku apabila bayi tidak berjaya memusingkan badan atau bergerak dalam kedudukan yang sepatutnya. Sebaliknya, kaki atau punggung keluar dahulu daripada faraj sebelum kepala.
Punca baby sonsang dalam kandungan
Bayi tidak akan dikategorikan sebagai songsang selagi kandungan tidak mencecah usia ke-35 atau 36 minggu kehamilan. Kebiasaannya, bayi akan cenderung untuk mengubah posisinya sendiri iaitu kepala berada di bawah pada kedudukan yang betul.
Jadi jika anda mendapati bayi berada dalam posisi kepala di bawah atau sisi sebelum memasuki minggu ke-35 sebenarnya ia normal.
Tiada sebab yang jelas bayi tidak berpusing pada posisi secara semula jadi, walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bayi sukar bergerak pada hujung kehamilan.
Antara punca kedudukan baby dalam perut songsang:
- Kehamilan pertama
- Kedudukan plasenta berada di posisi rendah (plasenta previa, plasenta accreta & vasa previa)
- Terlebih atau terkurang air ketuban (amniotik) dalam kandungan
- Hamil lebih daripada seorang bayi atau kehamilan berganda
Kedudukan bayi dalam kandungan songsang tapi bersalin normal
Setiap ibu pasti melalui pengalaman berbeza sewaktu melahirkan bayi, lain pula ceritanya dengan wanita ini apabila berdepan dengan kelahiran bayi songsang dalam kandungan secara normal biarpun keluar bahagian kaki dahulu.
Detik cemas dihadapi oleh ibu ini dikongsikan menerusi media sosial TikTok miliknya, maisarahamzi. Menurutnya, doktor telah memaklumkan bahawa bayi dikandungnya berada di posisi songsang.
Ikuti kisah dan pengalaman ibu tersebut.
Dia memberitahu imbasan telah dibuat dan ketika usia kandungan 33 minggu, bayinya songsang dan wanita itu berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Masa ini scan bayi, doktor cakap bayi songsang. Takut sangat sebab tak pernah ada pengalaman kan. Dah 33 minggu, tapi bayi tak berpusing lagi. Suami tak putus bagi semangat. Hanya mampu berserah kepada Allah.
“Waktu itu terus kena rujuk Hospital Shah Alam untuk buat janji temu seterusnya,” katanya berkongsi pengalaman pada video yang dimuat naik.
Meneruskan ceritanya, wanita itu memberitahu masuk usia kandungan 37 minggu, bayinya dalam kedudukan songsang malah, dia turut membuat janji temu dengan doktor di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Hospital Shah Alam dalam masa terdekat.
“Jadi saya sempat jalan-jalan ke Melaka dengan keluarga. Pukul 3 pagi pergi tandas tiba-tiba bunyi ‘popp’. Rupanya dah pecah air ketuban tapi saya tak tahu.
“Lepas beberapa minit terus memulas rasa nak push. Keluarga terus berkejar ke hospital terdekat, Hospital Melaka,” katanya lagi.
Sebaik tiba di Hospital Melaka, wanita itu memberitahu dia terus menjalani pemeriksaan dan ketika itulah disedari kaki bayi sudah keluar.
“Sampai sana terus check jalan, bayi dah keluar kaki. Hanya mampu berserah saja masa itu. Doktor terus jerit ‘breech, breech’ terus ditolak masuk labour room dengan dua kali push saja.
“Ya keluar kaki dulu secara normal. Alhamdulillah, semuanya dengan kuasa Allah dan berkat doa semua,” katanya berkongsi cerita tersebut.
Posisi tidur elak baby songsang, elak bersalin caeser
Menurut pakar, cara terbaik untuk membolehkan kedudukan bayi songsang berpusing semula adalah ketika tidur. Berikut merupakan antara cara yang selamat dan paling berkesan boleh dilakukan oleh ibu-ibu hamil.
1. Mengiring
Jika sebelum ini anda tidur secara terlentang, ubah posisi tidur kepada mengiring bersama bantal diapit antara lutut dan buku lali. Ia bertujuan membenarkan lebih banyak ruang untuk bayi bergerak. Lebih mudahlah bayi anda mencari jalan ke vertex presentation.
Tidur mengiring kiri atau ke kanan? Kedua-duanya adalah selamat jadi pilihlah yang mana satu lebih selesa untuk anda tidur dan berehat.
2. Berenang
Menurut kajian, berenang merupakan senaman yang paling bagus untuk otot lebih santai dan bayi mudah berpusing semula. Malah, membuatkan badan terasa ringan semasa berada di dalam air.
Selain berenang, melakukan senaman ringan atau bergerak dengan aktif sepanjang kehamilan juga memudahkan bayi songsang bertukar kedudukan badannya sebelum kelahiran berlaku.
3. Bersujud
Bagi seorang muslim, bolehlah memanfaatkan kedudukan sujud yang sama dengan gerakan ‘knee-chest position’ untuk mengubah kedudukan bayi songsang dalam perut. Amalkan posisi sujud selama 10 minit pada setiap hari atau setiap kali menunaikan solat lima waktu.
4. ECV
Jika semua kaedah di atas masih tidak berkesan, doktor boleh membantu mengubah posisi baby songsang kepada kedudukan normal menggunakan kaedah ECV (external cephalic version) atau versi kefalik luaran.
Doktor akan menggunakan tangan dengan memberikan tekanan kuat pada perut untuk memusingkan bayi kepada kedudukan kepala ke bawah.
Namun, perlulah mendapat nasihat dari doktor terlebih dahulu berkenaan punca baby songsang dan tidak melulu melakukan urutan dengan mereka yang tidak bertauliah kerana bimbang mendatangkan risiko kepada bayi yang dikandung.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kedudukan Bayi Songsang? Lakukan 5 Jenis Senaman Ini Bagi Membuatkan Bayi Pusing Semula!
Baca juga: Akibat Cuai – Bayi Songsang Maut Leher Terputus & Kepala Tertinggal Dalam Rahim!
Baca juga: Bayi Dalam Kandungan Songsang? Jangan Risau, Apa Kata Anda Cuba 3 Cara Ini Untuk Elaknya
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!