Walaupun selepas menyusu, anak masih menangis dan mengamuk. Apa lagi yang tidak kena? Tidur tak mahu, perut pun dah kenyang dan lampin pun masih bersih! Jadi kenapa anak mengamuk? Perlukan diberikan puting kosong?
Sesetengah anak kecil sememangnya sangat gemar menghisap ‘alat ajaib’ ini. Ia berlaku mungkin disebabkan alat itu sudah sering disua pada mereka sejak masih bayi, lebih-lebih lagi apabila merengek dan menangis.
Memberikan puting baby pada anak ada kebaikannya, namun ia perlu diberhentikan apabila anak mencapai umur tertentu. Jadi apa kata anda teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk mengajar anak berhenti menghisap puting.
Isi Kandungan
Adakah Puting Kosong Baik Untuk Bayi?
Sebenarnya, jika puting kosong digunakan dengan cara yang betul, ia boleh membantu anda menguruskan bayi dengan lebih mudah.
Alat khusus untuk bayi ini dikatakan sangat memberi manfaat kepada bayi pramatang. Malah ada juga kajian yang membuktikan bahawa ia memainkan peranan dalam meningkatkan berat badan bayi dengan lebih cepat serta mengurangkan komplikasi semasa dalam pantauan hospital.
Pakar juga menganggap bahawa puting kosong sesuai untuk bayi baru lahir kerana ia mampu menenangkan bayi yang terlampau letih ketika menghampiri waktu tidur. Lebih penting, alat ini juga mampu membantu memanjangkan waktu tidur si kecil anda kerana sesetengah bayi ada yang begitu cepat terjaga dan sangat sensitif kepada sebarang bunyi atau cahaya.
Kebaikan Puting Kosong
Percaya atau tidak dengan puting kosong ini ada beberapa kebaikan untuk bayi. Ia dapat merendahkan kadar degupan jantung yang terlalu tinggi, tekanan darah dan juga kadar stres dalam bayi dan ibu ayah bayi tersebut. Ia juga dapat mengurangkan tangisan anak selepas mendapat suntikan vaksin atau pemeriksaan darah.
Bayi anda juga sudah mempunyai keupayaan menghisap sejak dalam rahim lagi, tau? Keupayaan ini sangat penting dalam menjamin kelangsungan hidup bayi tersebut. Bayangkan jika anak anda lahir tanpa keupayaan untuk menghisap?
Bagaimana dia hendak minum susu yang disuap ibu, baik daripada badan atau daripada botol? Jadi, dengan penggunaan puting baby bagus untuk memberi bayi anda perasaan biasa terhadap perkara yang menjamin kelangsungan hidup mereka.
Kami ada senarai puting bayi yang terbaik di sini.
Di bawah ini kami senaraikan dengan lebih lanjut kebaikan puting kosong kepada si kecil anda:
#1. Mengurangkan rengekan bayi
Sesetengah bayi paling gembira apabila mereka dapat menghisap sesuatu, jadi puting mungkin salah satu daripadanya.
#2. Boleh distract bayi
Jika si manja anda perlu mengambil suntikan vaksin atau ujian darah, maka alat ini boleh membantu membuatkan mereka sedikit leka.
#3. Membantu bayi anda tidur
Bayi sering terjaga atau sukar untuk tidur? Maka alat ini boleh cuba untuk membantu mengatasinya.
#4. Mengurangkan keselesaan ketika penerbangan
Bayi anda mungkin akan berasa tidak selesa ketika dalam penerbangan akibat perubahan tekanan udara. Jadi, menghisapnya mungkin membantu mengurangkan rengekan dan ketidakselesaannya.
#5. Mengurangkan risiko sindrom kematian mengejut bayi (SIDS)
Penggunaan alat ini mampu mungkin mengurangkan risiko SIDS pada anak anda.
#6. Boleh pakai buang
Apabila tiba masanya untuk anak anda berhenti menggunakan puting baby, anda boleh sahaja membuangnya. Sebenarnya tabiat hisap puting adalah lebih baik berbanding jika anak anda gemar menghisap ibu jarinya kerana tabiat itu lebih sukar untuk diberhentikan.
Tetapi, pilihan untuk menggunakan alatan ini atau tidak akhirnya tetap bergantung kepada ibu ayah bayi juga. Jika mereka memilih untuk menenangkan anak dengan cara mereka, dan ia menjadi, apa salahnya, kan?
Keburukan Puting Kosong
#1. Bayi anda terlalu bergantung pada puting
Jika bayi anda kerap menggunakannya ketika tidur, maka dia mungkin akan mudah terjaga dan menangis jika ia tercabut daripada mulutnya.
#2. Meningkatkan risiko jangkitan telinga
Namun, risiko untuk dijangkiti jangkitan telinga adalah rendah bagi bayi yang baru dilahirkan sehingga usia 6 bulan.
#3. Mengalami masalah gigi
Menggunakannya dalam tempoh masa yang terlalu lama) boleh menyebabkan gigi kanak-kanak tidak selari.
#4. Mengganggu penyusuan susu ibu
Jika anda menyusu bayi, anda mungkin perlu menangguhkan dulu pemberian puting kosong sehingga bayi anda sudah berusia 3 hingga 4 minggu dan anda telah dapat menyesuaikan diri dengan rutin penyusuan.
Perkara Yang Boleh & Tidak Boleh Dilakukan Apabila Memberi Bayi Puting Kosong
- Jangan gunakan puting kosong sebagai alat ‘pertahanan’ utama. Hanya berikan ia kepada bayi anda selepas atau di antara penyusuan sahaja.
- Pilih puting yang mudah dibasuh dan tidak mudah terkoyak atau rosak.
- Jika bayi anda tidak mahu puting lagi, jangan paksa. Biar bayi anda yang tentukan keinginan mereka.
- Pastikan ia sentiasa bersih, namun jangan bersihkan puting menggunakan mulut anda sendiri bagi mengelakkan penyebaran bakteria.
- Jangan salutkan gula padanya.
- Kerap gantikannya dengan yang baru dan gunakan saiz puting yang sesuai mengikut bayi anda.
- Jangan pasang puting pada tali yang panjang untuk sangkutkan di leher bayi anda kerana ia sangat merbahaya!
Bila Perlu Berhenti?
Salah satu sebab anak lebih mudah bertenang apabila disua puting ialah kerana ia mengingatkan anak anda tentang perasaan berada di dalam rahim. Walaupun ia adalah satu cara yang bagus untuk anak bertenang dan anda mendapat ketenangan, ia juga boleh membawa kesan buruk. Tetapi, bagaimana hendak putuskan anak dari puting?
Kepada ibu bapa yang memilih untuk mulakan tabiat ini pada bayi mereka anda perlu juga tahu persediaan sebelum memperkenalkan puting pada bayi anda dan kini memilih untuk memutuskan mereka.
Persoalan yang kerap kali anda tanya pada diri sendiri dan mungkin yang lebih berpengalam ialah: “Bila waktu yang sesuai dan bagaimana saya nak bagi anak berhenti hisap puting?”
Menurut The American Academy of Pediatrics dan The American Academy of Family Physicians, kedua-duanya berpendapat bahawa ibu bapa perlu mengehadkan atau memutuskan anak dari hisap puting ketika anak mula menginjak usia 6 bulan untuk mengelakkan risiko jangkitan di telinga.
Anda mungkin fikir, “Apa kena mengena puting dan telinga?” Walaupun kaitannya masih tidak diketahui, tetapi para penyelidik dari Finland mendapati bahawa bayi yang kerap menggunakan puting lebih mudah dijangkiti dengan otitis media atau radang di tengah telinga.
Walaupun bagaimanapun, otitis ini tidak merbahaya tetapi ia boleh menjadi sangat menyakitkan bagi seorang anak kecil.
Jika anak anda masih tidak bersedia untuk berpisah dengan puting kesayangan mereka, berikan mereka masa. Kebanyakan kanak-kanak akan bersedia untuk berhentisekitar usia 2 hingga 4 tahun.
Cara Buat Anak Berhenti Hisap Puting
Sudah pasti tidak boleh dilakukan dengan drastik. Sekurang-kurangnya seminggu masa diperlukan untuk anak biasa hidup tanpanya dan sudah pasti mereka akan meragam dalam fasa peralihan ini. Antara cara untuk buat anak berhenti termasuklah:
- Gunting hujung puting – anda boleh cuba gunting hujung puting bagi memberikan laluan angin. Jadi bila anak anda hisap dia akan rasa tidak sedap dan membuangnya.
- Suruh anak sendiri buang – bila dia sendiri yang buang ke dalam tong sampah, mereka akan ingat
- Sapukan benda pahit – seperti kopi
Selamat mencuba!
- Mayo Clinic (Feb 10, 2022). Infant and toddler health. www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/basics/infant-and-toddler-health/hlv-20049400
- What to Expect (April 25, 2022). Giving Baby a Pacifier. www.whattoexpect.com/baby-products/pacifiers/
- Healthline (July 29, 2019). Here’s What You Need to Know About Popping in Pacifiers to Soothe Newborns. www.healthline.com/health/parenting/newborn-pacifier
- Baby Sparks (Aug 21, 2017). Pacifier Use: The Good, The Bad & How to Use Them Wisely. babysparks.com/2017/08/21/pacifier-use-the-good-the-bad-how-to-use-them-wisely/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Puting Melecet & Luka Kerana Menyusu Badan? Ini Punca & Cara Merawat Dengan Mudah!
Baca juga: Tukar Tekstur Makanan Bayi Seawal 7 Bulan, Ibu Tidak Perlu Tunggu Gigi Tumbuh Dahulu
Baca juga: Puting Kosong Untuk Bayi? Ini Perkara Penting Ibu Ayah Harus Tahu