Buasir Ketika Hamil (Hemorrhoids): Apa Itu Buasir, Petua Kecutkan Buasir & Cara Merawat Buasir

undefined

Buasir ketika hamil adalah masalah biasa, ia boleh terjadi jika anda pernah mengalaminya sebelum mengandung atau mungkin semasa hamil

Buasir ketika hamil atau hermorrhoids adalah masalah kesihatan biasa yang terjadi pada sesetengah ibu. Semasa mengandung, perubahan fisiologi yang dialami oleh badan boleh menyebabkan peningkatan risiko buasir.

Salur darah di sekeliling dubur boleh menjadi radang dan bengkak akibat tekanan yang berlaku semasa kehamilan, mencetuskan gejala yang bukan sahaja menyakitkan, malah boleh menjejaskan keselesaan harian ibu hamil.

Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan lengkap tentang apa itu buasir, masalah buasir ketika hamil, tanda buasir, petua kecutkan buasir dan cara mencegah buasir semasa hamil.

Apa Itu Buasir Ketika Hamil 

buasir semasa mengandung

Mungkin sesetengah orang tidak begitu apa itu buasir. Buasir atau hemorrhoids adalah keadaan di mana saluran darah di kawasan dubur atau rektum membengkak dan menjadi radang.

Secara umumnya, salur darah berfungsi untuk membantu mengawal najis dan mengeluarkan najis dari badan.

Jika membengkak, ia boleh menyebabkan gejala seperti gatal-gatal, sakit, atau pendarahan semasa membuang air besar.

Ibu Hamil Juga Berisiko Mengalaminya

Walaupun ia boleh muncul pada bila-bila masa, namun kebanyakan wanita boleh mengalami buasir ketika hamil terutamanya semasa berada trimester ketiga ataupun terlalu meneran untuk menolak bayi.

Semasa kehamilan, rahim kita akan semakin besar dan jumlah darah juga akan bertambah. Inilah yang menyebabkan lebih banyak tekanan pada kawasan dubur dan menyebabkan salur darah vena membengkak dan menjadi radang.

Ibu juga lebih cenderung untuk mengalami sembelit dan buasir ketika hamil disebabkan perubahan hormon yang melambatkan sistem pencernaan badan.

Jangan lupa pula vitamin-vitamin pranatal dengan besi sintetik juga boleh menyumbang kepada masalah sembelit!

Tanda Tanda Buasir

  • Rasa tidak selesa
  • Rasa gatal-gatal di sekeliling dubur
  • Darah merah terang selepas membuang air besar
  • Rasa sakit ketika membuang air besar dan semasa duduk
  • Merasa satu bonjolan kecil dan lembut di dalam atau di sekeliling dubur

Pada mulanya, mungkin hanya rasa gatal dan sakit. Jika tidak dirawat, ia boleh menjadi kronik sehingga berlaku pendarahan ketika membuang air besar.

Buasir yang terkeluar dari dubur boleh menyebabkan kesakitan, atau sukar untuk duduk dalam posisi yang betul, andainya ia tersepit.

Cara Mencegah Kesan Buasir Kepada Ibu Mengandung

Untuk mengelakkan buasir ketika hamil (hemorrhoids), berikut adalah beberapa petua mudah:

  1. Makan Makanan Serat Tinggi: Sertakan buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh dalam diet anda untuk mengelakkan sembelit. Serat membantu mengekalkan najis lembut.
  2. Minum Banyak Air: Kekal terhidrasi dengan minum banyak air sepanjang hari. Ini membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dan melembutkan najis.
  3. Lakukan Senaman Ringan: Lakukan senaman lembut seperti berjalan atau berenang untuk melancarkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada kawasan rektum.
  4. Elakkan Duduk Terlalu Lama: Jangan duduk dalam satu kedudukan untuk tempoh yang lama. Berdiri dan bergerak setiap 30 minit untuk mengurangkan tekanan pada badan.
  5. Gunakan Bantal: Gunakan bantal berbentuk donat untuk memberikan keselesaan semasa duduk. Ini membantu mengurangkan tekanan pada kawasan rektum.
  6. Berhati-hati Semasa Menggunakan Tandas: Elakkan meneran terlalu kuat semasa membuang air besar. Meneran boleh meningkatkan tekanan pada urat dan membawa kepada buasir.
  7. Gunakan Krim atau Salap Buasir: Gunakan krim atau salap buasir yang selamat semasa kehamilan untuk mengurangkan bengkak dan ketidakselesaan.
  8. Ambil Suplemen Pranatal Dengan Berhati-hati: Jika anda mengambil suplemen zat besi, lakukan dengan berhati-hati dan hanya selepas berbincang dengan doktor. Suplemen zat besi boleh menyebabkan sembelit, yang boleh meningkatkan risiko buasir.
  9. Kawal Pertambahan Berat: Jaga berat badan ketika hamil untuk mengurangkan tekanan pada kawasan rektum. Pertambahan berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko buasir.

Bila Buasir Biasanya Bermula Semasa Hamil

Kebiasaannya buasir akan mula terjadi pada trimester kedua hingga trimester kehamilan ketiga. Tetapi ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Malah, buasir juga akan menjadi lebih teruk ketika anda berada pada fasa kehamilan yang ketiga. Buasir biasanya akan kembali pulih setelah anda melahirkan bayi.

Walau bagaimanapun dalam sesetengah kes,  buasir mungkin akan berlarutan sekiranya semasa bersalin berlaku ketegangan yang kuat akibat meneran.

Punca Buasir Semasa Hamil

Dua faktor utama mengapa buasir ketika hamil berlaku adalah perubahan hormon dan pembesaran janin yang menyebabkan tekanan ke bahagian dubur.

Faktor lain yang boleh mendorong keadaan ini termasuklah meneran semasa membuang air besar dan sembelit. Tak hairanlah mengapa topik ini bukan topik kegemaran orang ramai! Jom semak dengan lebih lanjut tentang penyakit ini.

buasir ketika hamil, buasir semasa mengandung, buasir ketika mengandung, ubat buasir untuk ibu mengandung

Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur yang membawa masalah apabila ia menjadi radang atau membengkak. Ia boleh diklasifikasikan kepada dua jenis:

  • Buasir dalaman – bengkak di lapisan dalam dubur dan tidak sakit. Pesakit mungkin akan mengadu kesakitan jika ia bengkak, berdarah dan terkeluar (prolapse).
  • Buasir luaran – bengkak di luar dubur. Pesakit akan mengadu sakit, mengalami pendarahan. rasa gatal-gatal atau bengkak semasa membuang air besar.

Cara Merawat Buasir Ketika Hamil  

buasir ketika hamil, buasir semasa mengandung, buasir ketika mengandung, ubat buasir untuk ibu mengandung

Berikut merupakan beberapa cara yang boleh anda buat jika mengalami buasir ketika hamil iaitu :

#1. Teruskan Rutin 

Sentiasa minum banyak air serta mengambil makanan yang berserat tinggi untuk elakkan sembelit.

#2. Buat Senaman Kegel

Selain membantu menyediakan lantai perineal anda untuk kelahiran nanti, ia juga turut membantu mencegah buasir dengan meningkatkan peredaran ke kawasan tersebut.

#3. Tidur Mengiring

Ketika tidur, anda perlu tidur secara mengiring dan elakkan daripada tidur secara telentang. Malah, untuk melegakan sakit yang perlu anda hadapi setiap hari, boleh juga amalkan tidur mengiring selama beberapa kali untuk melegakan tekanan pada urat rektrum anda.

#4. Jangan Berdiri Atau Duduk Lama

Jangan duduk atau berdiri untuk tempoh yang lama pada satu-satu masa. Amalkan berjalan kaki setiap jam atau lebih untuk memperbaiki peredaran darah.

#5. Jangan Paksa Meneran

Jangan paksa atau mengambil masa yang sangat lama ketika membuang air besar.

#6. Kekal Bersih

Gunakan air suam dan tisu tandas untuk mengelap. Jangan lap terlalu kuat atau kasar kerana ia akan merengsakan tisu yang sensitif.

#7. Mandi Air Suam

Berendam di dalam air suam selama 10 hingga 15 minit membantu mengurangkan rasa tidak selesa dan membuatkan anda kekal bersih.

#8. Guna Pek Ais

Membantu menenangkan dan mengurangkan rasa sakit.

#9. Bantal Bentuk Donat

Membantu anda untuk duduk dengan lebih selesa.

#10. Suplemen Tambahan

Jika anda merasakan bahawa anda kekurangan pengambilan serat atau ragu-ragu jika ia mencukupi atau , boleh dapatkan nasihat doktor untuk suplemen tambahan.

#11. Dapatkan Nasihat Doktor

Doktor akan mencadangkan kepada anda untuk memberikan ubat pelembut najis atau ubat buasir untuk ibu mengandung bagi melegakan kegatalan dan rasa sakit.

Bila Patut Jumpa Doktor

Perhatikan tanda-tanda berikut :

  • Gejala pendarahan yang masih berlaku walaupun sudah menerima rawatan
  • Buasir berulang
  • Demam atau menggigil
  • Bernanah
  • Pendarahan teruk atau tidak berhenti
  • Kesakitan yang teruk

Sekiranya anda mendapati terdapat tanda-tanda ini, sila hubungi doktor anda segera. Buasir yang tidak dirawat akan mula membesar dan membahayakan ibu hamil jika dibiarkan berlarutan.

Pada permulaannya anda hanya akan mengalami kegatalan dan rasa sakit serta berlaku pendarahan ketika membuang najis. Memasuki tahap yang kedua, usus besar anda akan mengalami luka dan usus terkeluar sedikit.

Manakala, pada tahap ketiga pula saluran najis anda akan keluar dan tidak boleh dimasukkan semula dan kemungkinan trombosis iaitu salur darah tersumbat dan memerluka prosedur pembedahan.

Petua Kecutkan Buasir Ketika Hamil

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa sebelum mencuba petua kecutkan buasir ketika hamil, sentiasa dinasihatkan untuk berunding dengan doktor terlebih dahulu.

Berikut adalah beberapa petua kecutkan buasir ketika hamil bagi mengurangkan kekejangan dan ketidakselesaan:

  • Mandi Air Suam: Mandi air suam dengan garam tambahan boleh membantu mengurangkan bengkak dan melegakan kerengsaan di kawasan buasir.
  • Rendaman Punggung (Sitz Bath): Rendam punggung ke dalam campuran setengah cawan cuka epal mentah dengan air.
  • Sapuan Minyak Kelapa: Sapukan minyak kelapa pada kawasan yang meradang. Minyak kelapa mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat yang boleh membantu melegakan rasa gatal-gatal, kesakitan, keradangan.
  • Sediakan Kompres Menggunakan Witch hazel: Rendam sekeping tuala wanita ke dalam larutan Witch hazel organik, sejukkan/bekukan dan gunakan pada kawasan buasir. Cara ini juge boleh memberi manfaat kepada wanita yang baru melahirkan anak kerana fungsi kompres adalah untuk menenang dan menyembuhkan kawasan yang meradang.
  • Lendir Aloevera: Gunakan hirisan lidah buaya segar yang telah dibuang kulit pada kawasan yang meradang.
  • Vitamin Pranatal: Pilih vitamin pranatal yang diperbuat dari makanan kerana ia lebih mudah diserap dan tidak akan menyebabkan sembelit berbanding vitamin sintetik, terutamanya zat besi.
  • Serbuk Manjakani: Buah manjakani dijadikan serbuk untuk ubati buasir luar dan dalam. Manjakani dikatakan adalah penawar dan ubat buasir yang paling mujarab serta ramai telah mengamalkannya. Caranya dengan mengambil serbuk manjakani yang boleh dibeli atau dibuat sendiri dan dicampurkan dengan sedikit air agar ia kelihatan basah.
    Kemudiannya sapukan serbuk manjakani itu tadi ke bahagian buasir dan amalkan sehingga buasir tersebut hilang dengan cepat.
  • Minyak Badam: Minyak badam mempunyai sifat penyerap tisu dan emolien yang boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit buasir luaran. Ia boleh membantu untuk melembap dan mengurangkan keradangan serta melegakan rasa panas dan kegatalan pada dubur dan kawasan di sekitarnya. Caranya letakkan beberapa titik minyak badam di dalam mangkuk kecil, ambil bola kapas/ kain bersih dan rendamkan ke dalam minyak tadi.
    Kemudian, sapukan bola kapas/kain bersih tadi pada tempat yang sakit untuk melegakan kesakitan disebabkan buasir.
  • Uncang Teh: Teh mengandungi asid tanik yang mempunyai sifat astringen semula jadi yang boleh mengurangkan bengkak dan sakit berkaitan dengan buasir.
    Caranya :
    1. Ambil secawan air panas dan rendamkan uncang teh hitam ke dalamnya
    2. Tunggu untuk beberapa minit dan keluarkan uncang daripada air
    3. Tunggu sehingga uncang teh menjadi suam dan letakkannya pada tempat yang sakit
    4. Biarkan selama 10-15 minit
    5. Ulang proses ini selama 2-3 kali sehari
  • Minyak Zaitun:  Minyak zaitun mengandungi sifat antioksida dan antiradang yang digunakan untuk memulihkan buasir luaran. Ia juga boleh meningkatkan kekenyalan salur darah dan mengurangkan keradangan serta boleh mengecilkan saiz salur darah yang bengkak dalam saluran dubur.
    Caranya :
    1. Makan 1 sudu teh minyak zaitun sehari. Lemak mono tak tepu di dalamnya boleh membantu untuk memperbaiki fungsi sistem perkumuhan
    2. Anda boleh juga tumbuk daun plum sehingga lumat untuk mendapatkan jus dan campurkan ke dalam minyak zaitun
    3. Kacau campuran dan sapu pada tempat yang sakit dan tunggu beberapa minit.
    4. Proses ini mampu melegakan sakit dan bengkak

Ubat Buasir Untuk Ibu Hamil

Menurut portal Myhealth, buasir selalunya akan hilang atau pulih tanpa rawatan. Walaubagaimanapun, sekiranya ia berterusan dan mengganggu anda, dapatkan nasihat doktor.

Untuk ibu mengandung, anda tidak boleh mengambil ubat buasir sebarangan tanpa nasihat dan rujukan doktor. Biasanya pembedahan/prosedur untuk rawatan buasir boleh dilakukan selepas anda melahirkan bayi, sama ada di klinik atau perlu kemasukan ke hospital:

Prosedur di klinik:

  • ‘Rubber band ligation’, boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah sangat ringkas dimana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut.
  • ‘sclerotherapy’ di mana sejenis cecar contohnya Phenol disuntik ke dalam buasir tersebut menyebabkan dinding saluran vena tersebut mengecut.

Prosedur rawatan di hospital:

  • ‘Hemorrhoidectomy’ di mana pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan buasir tersebut. Pesakit yang menjalni prosedur ini mengambil masa 2-4 minggu untuk pulih.
  • ‘Doppler guided transanal hemorrhoidal dearterialization’ di mana mesin ultrasound digunakan untuk mengenalpasti aliran darah arterial terbabit yang kemudiannya disekat.
  • ‘stappler hemmorhoidectomy’ merupakan pembedahan untuk membuang bahagian tisu yang longgar yang menyebabkan buasir keluar dari dubur.

Kesimpulannya, buasir (hemorrhoids) adalah gangguan masalah biasa yang dihadapi oleh wanita semasa hamil, disebabkan oleh perubahan fisiologi badan dan peningkatan tekanan.

Gejala seperti bengkak, kerengsaan, dan ketidakselesaan boleh menjejaskan keselesaan harian wanita hamil.

Walaupun terdapat petua tradisional yang boleh membantu mengurangkan gejala, adalah penting untuk berunding dengan doktor sebelum mencubanya.

Doktor boleh memberikan panduan yang sesuai berdasarkan keadaan tertentu dan memastikan keselamatan rawatan semasa kehamilan.

Semoga artikel ini bermanfaat.

  1. whattoexpect.com (2020, Oktober 21) Hemorrhoids During Pregnancy www.whattoexpect.com/pregnancy/symptoms-and-solutions/hemorrhoids.aspx

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Jangan Pandang Ringan Buasir Ketika Hamil, Ini Sebabnya Menurut Doktor!

Baca juga:  Alamak! Anda Alami Masalah Buasir Selepas Bersalin? Ini Tips Untuk Atasinya

Baca juga: Seksanya Bila Sakit Buasir, Ini Cara Merawat Buasir Bagi Ibu Mengandung & Berpantang

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!