Semua Yang Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang NAJIS BAYI: Warna, Tekstur Dan Kekerapan Buang Air Besar

Semua Yang Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang NAJIS BAYI: Warna, Tekstur Dan Kekerapan Buang Air Besar

Ibu bapa perlu peka dengan perubahan pada najis bayi, pada awal kelahiran memang najis bayi berwarna hitam lama kelamaan akan berubah.

Untuk ibu bapa baru tentunya setiap hari ada saja kerisauan baru anda pada perubahan bayi yang kian membesar. Antaranya adalah perubahan pada tekstur najis bayi.

Pada awalnya ibu ayah risau dengan bayi warna najis yang kelihatan hitam sebaik dia dilahirkan. Namun selepas itu akan ada perubahan pada najis bayi sebaik dia sudah minum susu ibu atau susu formula. 

Penting itu ibu bapa tahu perbezaan antara bayi yang minum susu ibu dan bayi yang minum susu formula. 

Selalunya bayi yang minum susu ibu akan membuang air besar sehingga 5 kali, berbeza dengan bayi yang minum susu formula iaitu hanya 1 kali sehari. Warna dan tekstur juga berbeza ya. Ketahui dengan lebih lanjut di bawah:

Mengapa najis bayi baru lahir warna hitam?

Untuk beberapa hari pertama selepas dilahirkan, bayi anda akan membuang najis yang dipanggil mekonium. Ia bertekstur melekit dan berwarna hitam kehijauan, yang mana telah berkumpul di dalam usus bayi ketika mereka di dalam rahim lagi. Ia terhasil daripada hempedu, mukus, sel dinding usus dan cecair amniotik. Ia tidak berbau dan merupakan tanda bahawa usus bayi anda dalam keadaan baik.

Selepas satu atau dua hari, apabila penyusuan menjadi kebiasaan dan semua mekonium telah dikeluarkan, warna najis akan menjadi hijau kecoklatan, bertekstur lembut sebelum menjadi lebih kekuningan.

najis bayi

Ciri najis bayi menyusu badan

Najis bayi yang menyusu badan dan bayi yang diberikan susu formula adalah berbeza. Kolostrum dari “susu pertama” anda bertindak sebagai julap yang membantu menolak mekonium keluar daripada badan bayi anda. Setelah anda mula menghasilkan susu dengan sempurna, iaitu selepas kira-kira tiga hari, najis bayi anda akan berubah menjadi kuning cerah seperti biji sawi dan baunya kemanis-manisan. Najis itu agak lembik tetapi bertekstur, kadang-kala kelihatan berbiji-biji atau kelihatan berketul seperti susu masam.

Pada minggu-minggu terawal, bayi anda akan membuang air besar semasa atau selepas setiap kali menyusu, tetapi ini akan berkurangan dan dia akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa yang sama setiap hari. Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberinya makanan pejal, apabila bayi kurang sihat, atau jika dia mula kurang menyusu.

Baca juga: Mengapa Najis Bayi Saya Berwarna Hijau?

Ciri najis bayi yang minum susu formula

Jika bayi anda meminum susu formula, najisnya akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding najis bayi yang diberikan susu badan. Ini kerana susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya berbanding susu badan. Baunya juga lebih kuat, seakan-akan najis orang dewasa.

Lazimnya, bayi yang diberikan susu formula perlu membuang air besar sekali sehari untuk merasa selesa kerana najisnya lebih besar. Lebih lama najis berada dalam usus, lebih keras ia akan jadi dan lebih sukar untuk dikeluarkan sehingga boleh menyebabkan sembelit. Bincanglah dengan pakar pediatrik anda jika anda rasa bayi anda mempunyai masalah ini.

Kenali najis bayi setelah masuk ke usia enam bulan 

  • Apabila bayi sudah mula ambil makanan pejal pada umur enam bulan, tentunya kotoran najis juga berubah seperti orang dewasa. 
  • Najis juga akan berubah warna gelap dan berbau. 
  • Warna najis juga biasanya ditentukan oleh makanan yang diambil. 
  • Dalam najis juga, ibu boleh temui potongan sayuran atau makanan yang mungkin tidak dihadam dengan baik. 
  • Jika bayi mengalami sembelit, berak berdarah atau luka di bahagian punggung sebaiknya beri dia makan buah, air putih dan serat supaya masalah ini dapat diatasi. 

Apa najis bayi yang tidak normal?

Cirit-birit

Simptom-simptom cirit-birit termasuklah:

najis yang sangat cair

dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap

najis yang memancut keluar dari punggung bayi anda.

Semua Yang Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang NAJIS BAYI: Warna, Tekstur Dan Kekerapan Buang Air Besar

Foto: The Conversation

Bayi yang diberikan susu badan kurang cenderung menghidap cirit-birit kerana susu badan membantu merencatkan mikroorganisma yang menjadi puncanya.

Bayi yang diberikan susu formula lebih cenderung mendapat jangkitan. Oleh itu adalah penting bagi anda mensterilkan peralatan dan mencuci tangan anda sekerap mungkin.

Punca cirit-birit termasuk:

jangkitan seperti gastroenteritis;

mengambil terlalu banyak buah-buahan atau jus;

pengambilan ubat atau kesensitifan atau alahan terhadap sesuatu makanan.

Cirit-birit biasanya sembuh tanpa rawatan dalam masa 24 jam, tetapi jika tidak, dapatkan pemeriksaan doktor. Para ibu selalunya beranggapan bahawa puncanya ialah susu formula bayi, tetapi sebelum menukar kepada jenama lain, bincanglah dengan doktor anda untuk memastikan tidak terdapat sebarang punca lain.

Sembelit

Sembelit bukan setakat bayi anda terpaksa meneran semasa membuang air besar sehingga merah seluruh mukanya. Simptom-simptomnya termasuklah kesukaran mengeluarkan najis — yang berbentuk seperti batu-batu kecil yang kering — sakit perut dan perut keras, kejengkelan dan kadang kala terdapat darah pada najis yang mungkin disebabkan oleh rekahan pada dubur akibat pengeluaran najis yang keras. Bayi yang diberi susu badan jarang mengalami masalah ini berbanding bayi yang diberi susu formula kerana susu ibu mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan kelembutan najis.

Najis hijau & berbuih serta berlendir

Jika najis bayi anda berwarna hijau dan berbuih, besar kemungkinan bayi mengambil terlalu banyak laktosa (gula asli yang terdapat dalam susu) yang boleh berlaku jika dia kerap menyusu tetapi tidak mendapat susu yang lemak yang boleh mengenyangkan. Ia juga mungkin disebabkan terlebih penyusuan atau kurang penyusuan, atau ia adalah tanda bahawa terdapat kuman dalam perut bayi anda.

najis bayi

Najis berdarah

Palitan darah dalam najis bayi anda akan berlaku jika dia sembelit kerana proses peneranan semasa membuang air besar boleh menyebabkan rekahan pada dubur. Ada juga najis bayi berdarah disebabkan susu ibu, yakni disebabkan puting payudara ibu yang tercerera akibat melecet jadi ia masuk ke dalam susu yang diminum bayi. Namun begitu, elok jika anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan ini adalah sebab sebenar dan tiada sebab-sebab lain.

Sumber: Baby Center

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Artikel(Cerita)
app info
get app banner