Menyusukan bayi adalah pengalaman yang penuh cabaran dan kegembiraan. Bagi sesetengah ibu, menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi boleh menjadi cabaran tersendiri. Namun, terdapat banyak cara banyakkan susu badan dengan berkesan yang boleh anda cuba.
Cara Banyakkan Susu Ibu: Khasiat Susu Ibu
Menyusu adalah proses memberi susu ibu kepada anak, sama ada secara langsung dari payudara atau dengan mengepam susu keluar dari payudara dan memberikannya kepada bayi melalui botol.
Susu ibu adalah sumber nutrisi terbaik bagi bayi, memberikan semua yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan yang sihat.
Berikut adalah beberapa khasiat susu ibu:
- Nutrien Lengkap: Susu ibu mengandungi protein, lemak, vitamin, dan mineral dalam jumlah yang tepat dan mudah diserap oleh bayi.
- Menguatkan Sistem Imun: Susu ibu kaya dengan antibodi yang melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit.
- Perkembangan Otak yang Optimum: Komponen dalam susu ibu seperti DHA membantu dalam perkembangan otak bayi.
- Mengurangkan Risiko Penyakit: Penyusuan ibu dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kronik seperti asma dan obesiti.
- Membina Hubungan Emosi: Menyusu membantu memperkukuhkan ikatan antara ibu dan bayi melalui sentuhan kulit ke kulit dan hubungan mata.
Beza Susu Ibu Dan Susu Formula
Berikut adalah lima perbezaan utama antara susu ibu dan susu formula:
1. Komposisi Nutrien
- Susu Ibu: Mengandungi nutrien yang lengkap dan seimbang, termasuk protein, lemak, karbohidrat, vitamin, dan mineral yang mudah diserap oleh bayi.
- Susu Formula: Direka untuk menyerupai susu ibu, tetapi tidak dapat meniru sepenuhnya komposisi dan kesan bioaktif yang terdapat dalam susu ibu. Susu formula biasanya diperkaya dengan vitamin dan mineral tambahan untuk mencukupi keperluan bayi.
2. Sistem Imun
- Susu Ibu: Mengandungi antibodi dan sel imun seperti IgA yang membantu melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit.
- Susu Formula: Tidak mengandungi antibodi atau sel imun, jadi tidak memberikan perlindungan imun yang sama seperti susu ibu.
3. Pencernaan
- Susu Ibu: Lebih mudah dicerna oleh bayi kerana ia mengandungi enzim yang membantu dalam proses pencernaan. Bayi yang menyusu susu ibu kurang mengalami masalah seperti sembelit atau kembung perut.
- Susu Formula: Mungkin lebih sukar dicerna oleh sesetengah bayi dan boleh menyebabkan masalah pencernaan seperti sembelit dan gas.
4. Perubahan Mengikut Keperluan Bayi
- Susu Ibu: Komposisinya berubah mengikut keperluan bayi pada setiap peringkat perkembangan. Susu ibu awal (kolostrum) berbeza dengan susu ibu matang dari segi kandungan nutrien dan antibodi.
- Susu Formula: Komposisinya tetap dan tidak berubah mengikut keperluan bayi. Ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan bayi dari masa ke masa.
5. Kos dan Kemudahan
- Susu Ibu: Percuma dan sentiasa tersedia pada suhu yang sesuai, tidak memerlukan peralatan tambahan seperti botol dan peralatan steril.
- Susu Formula: Lebih mahal dan memerlukan perbelanjaan tambahan untuk membeli susu formula, botol, dan peralatan steril. Ia juga memerlukan persediaan yang lebih teliti.
Punca Kekurangan Susu
Berikut adalah 15 punca yang boleh menyebabkan kekurangan pengeluaran susu badan:
-
Lekapan Tidak Betul: Bayi yang tidak melekap dengan betul mungkin tidak dapat mengosongkan payudara dengan efektif, mengurangkan rangsangan untuk pengeluaran susu.
-
Menyusu Tidak Kerap: Kurang menyusu atau penyusuan dengan selang waktu yang panjang boleh menyebabkan pengeluaran susu berkurangan.
-
Masalah Kesihatan Ibu: Keadaan kesihatan seperti anemia, diabetes, atau masalah tiroid boleh mempengaruhi pengeluaran susu.
-
Stres dan Penat: Stres dan kurang rehat boleh mengganggu hormon yang diperlukan untuk pengeluaran susu.
-
Kurang Pengambilan Kalori dan Nutrisi: Diet yang tidak seimbang atau tidak mencukupi kalori boleh menjejaskan pengeluaran susu.
-
Dehidrasi: Kurang minum air boleh menjadi punca kekurangan susu kerana tubuh memerlukan cecair yang mencukupi untuk menghasilkan susu.
-
Penggunaan Alat Bantuan: Penggunaan puting tiruan atau botol terlalu awal boleh menyebabkan bayi keliru puting dan mengurangkan keinginan untuk menyusu terus daripada payudara.
-
Masalah Perubatan pada Bayi: Bayi dengan masalah perubatan seperti sumbing lelangit atau sindrom Down mungkin menghadapi kesukaran untuk menyusu dengan betul.
-
Penggunaan Pil Perancang Kehamilan: Sesetengah jenis pil perancang kehamilan boleh mengganggu pengeluaran susu.
-
Pembedahan atau Trauma Payudara: Pembedahan payudara atau kecederaan pada payudara boleh merosakkan tisu dan saluran susu, menjejaskan pengeluaran susu.
-
Masalah Hormon: Ketidakseimbangan hormon seperti sindrom ovarium polisistik (PCOS) atau gangguan tiroid boleh menjejaskan pengeluaran susu.
-
Penggunaan Ubat-ubatan: Sesetengah ubat-ubatan, seperti ubat antihistamin atau dekongestan, boleh mengurangkan pengeluaran susu.
-
Kelahiran Pramatang: Bayi pramatang mungkin belum mempunyai refleks menyusu yang kuat, menyebabkan pengeluaran susu kurang dirangsang.
-
Kekurangan Penyusuan Malam: Penyusuan pada waktu malam merangsang pengeluaran prolaktin, hormon yang penting untuk pengeluaran susu. Kurang penyusuan malam boleh mengurangkan tahap hormon ini.
-
Penyusuan Campuran dengan Formula: Memberi bayi susu formula sebagai tambahan boleh mengurangkan keinginan bayi untuk menyusu daripada payudara, mengurangkan rangsangan dan seterusnya pengeluaran susu.
12 Cara Banyakkan Susu Badan
1. Pengambilan Makanan Berkhasiat
Pastikan diet harian mengandungi makanan berkhasiat yang kaya dengan protein, lemak baik, vitamin, dan mineral. Makanan seperti oatmeal, daun katuk, dan kacang almond dipercayai dapat meningkatkan pengeluaran susu.
2. Menyusu Dengan Kerap
Yang paling utama dalam perbanyakkan susu badan adalah ibu perlu memastikan bayi minum susu dengan lebih kerap sebanyak 10 ke 12 kali sehari dalam tempoh 24 jam.
Hal ini kerana, ia mampu merangsang hormon prolaktin yang boleh menghasilkan lebih banyak susu.
Selepas bersalin dan dihantar ke wad, terus susukan bayi secara langsung bagi merangsang bonding dan penghasilan susu. Kalau susu keluar sedikit saja, jangan give up. Biarkan bayi tetap terus menghisap puting.
3. Pastikan Posisi Menyusu Yang Betul
Seterusnya ialah anda harus memastikan posisi ibu menyusu dan bayi dalam keadaan yang betul, tenang dan selesa.
Selepas pastikan posisi betul, angkat bayi dan lekapkan mulut bayi ke arah puting payudara. Pastikan ada ruang antara hidung dan mulut bayi dengan dada anda.
Kalau nak lebih selesa, ketika menyusu itu, ibu pasanglah lagu-lagu syahdu yang bila dengar rasa lentok saja. Bayi pun rasa seronok dan nyaman bila tengah menyusu.
4. Minum Banyak Air Kosong
Ini adalah antara cara meriahkan susu ibu yang paling berkesan. Jangan mengelat tak mahu minum air kosong. Kalau tak macam mana susu nak jadi banyak?
Untuk hasil yang optimum, minum 2 ke 3 liter air kosong sehari. Walaupun anda rasa mual, susah atau tak sedap, anda perlu ingat ia adalah untuk kebaikan bayi.
Kasihan si kecil itu, kalau ibu asyik minum yang manis-manis dan berkafein saja, nanti anak pun dapat khasiat yang tak bagus ke dalam tubuhnya. Janganlah macam itu ya ibu…
5. Amalkan Makan Herba
Petua banyakkan susu ibu selepas bersalin juga anda boleh buat dengan cara makan herba seperti halba.
Halba merupakan herba yang berkhasiat untuk pemulihan dalaman badan. Caranya anda boleh makan sesudu halba setiap hari atau campurkan halba ke dalam minuman teh setiap pagi.
Selain halba, jintan hitam juga mampu tambahkan susu badan.
6. Urutan Payudara
Urut payudara juga merupakan salah satu cara banyakkan susu badan selepas bersalin yang bagus untuk dilakukan. Caranya anda urut lembut di kawasan payudara dan belakang badan.
Ia memberi peluang penghasilan susu badan jadi lebih baik. Kalau rasa susah nak urut sendiri, mintalah bantuan suami atau ibu anda. Tak pun, panggil tukang urut yang tahu letak kedudukan urat untuk banyakkan susu.
7. Rehat Yang Cukup Dan Kurangkan Stres
Pastikan mendapat rehat yang cukup dan cuba untuk mengurangkan stres. Tidur yang cukup dan teknik relaksasi seperti pernafasan dalam atau meditasi boleh membantu.
8. Sokongan Emosi dan Fizikal
Minta sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan. Bantuan dalam menguruskan tugas harian dan galakan emosi boleh memberikan ibu lebih masa dan ketenangan untuk menyusukan bayi.
9. Menyusu Kedua-dua Payudara
Susukan bayi pada kedua-dua payudara semasa setiap sesi penyusuan. Biarkan bayi menyusu dari satu payudara sehingga kosong sebelum menukar kepada payudara yang lain.
10. Elakkan Botol Susu Atau Puting Pada Minggu Awal
Penggunaan botol dan puting tiruan pada minggu-minggu awal selepas kelahiran boleh menyebabkan masalah dengan pengeluaran susu ibu. Dalam tempoh ini, penting untuk memberi tumpuan kepada penyusuan ibu secara langsung untuk memastikan pengeluaran susu yang optimum.
11. Makanan Untuk Banyakkan Susu Badan
Cara banyakkan susu badan selepas bersalin juga adalah mengamalkan makanan yang boleh menghasilkan susu dengan banyak seperti lobak putih, kurma, susu dan oat.
Selain itu, semasa mengandung, jaga pemakanan dan banyakkan makanan berkhasiat dalam menu hidangan seharian. Lebihkan sayur dan buah-buahan.
Makan juga vitamin semasa mengandung seperti asid folik dan zink cooper.
12. Elakkan Kafein
Cara banyakkan susu badan yang seterusnya adalah hadkan pengambilan minuman berkafein. Hal ini kerana, kafein adalah sejenis diuretik semulajadi yang boleh menyebabkan dehidrasi jika anda minum terlalu banyak.
Kesannya, ia akan menyebabkan tidur anda terjejas dan memgurangakn pengeluaran susu badan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 15 Posisi Menyusu Bayi Yang Betul, Buat Ibu Menyusu Kali Pertama Selesa & Bayi Kenyang
Baca juga: Jadi Ibu Menyusu Memang Selalu Lapar Dan Dahaga, Pakar Dedahkan Puncanya Yang Ramai Tidak Tahu
Baca juga: Risaunya Bayi Enggan Menyusu, Ini Sebab & Cara Mengatasi Perubahan Rasa Susu Ibu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!