Pantang bila anak demam, tentu cool fever baby atau jenama sebenarnya KoolFever ini yang menjadi solusi untuk kebahkan demam anak dengan cepat tanpa menggunakan ubat. Tanyalah mana-mana ibu ayah pun, tentu stok cool fever baby sentiasa ada di dalam rumah.
Namun ada pula individu yang tiba-tiba menjadi pakar dalam bidang ‘demam anak’ membuat kenyataan cool fever baby ini bahaya di pakai di dahi! Kenapa? Kerana katanya boleh menyebabkan haba terkumpul di otak dan menyebabkan ‘Cerebral Palsy’ (kecederaan otak).
Sejauh mana kebenarannya? Sebelum ini tidak perlu kita dengar ada bayi yang mengalami Cerebral Palsy selepas menggunakan cool fever baby ini. Tiba-tiba tular mengenai kenyataan sebegitu.
Fungsi Cool Fever Baby atau KoolFever
Untuk pengetahuan anda, KoolFever diperbuat daripada hidrogel polimer, sejenis bahan yang boleh memuatkan sejumlah besar air. Hidrogel polimer dicampur dengan bahan berikut:
- Air
- Asid poliakrilik (yang biasa digunakan sebagai air mata buatan)
- Gliserin
- Dimethylol dimethyl hydantoin (sebatian yang digunakan untuk menghalang pertumbuhan bakteria)
- Aluminium hidroksida (yang digunakan sebagai antasid)
Secara amnya, apa yang berlaku ialah apabila tampalan untuk meredakan demam ini dilekatkan pada dahi bayi, haba badan menyejat air di dalamnya. Penyejatan ini memberikan kesan penyejukan. KoolFever juga “menyerap dan menyebarkan” haba dengan berkesan.
Adakah Cool Fever Baby Merbahaya?
Menurut penjelasan daripada Dr Halina, pemakaian Cool Fever Baby atau KoolFever di dahi tiada kaitan dengan Cerebral Palsy (kecederaan otak). Ulasnya pemakaian KoolFever di dahi boleh menyebabkan Cerebral Palsy adalah merepek. Ya, ia boleh digunakan pada bahagian badan yang lain malah jika bukan KoolFever pun boleh meletakkan tuala basah pada bahagian badan yang memerangkap haba bagi menurunkan suhu badan anak.
Menurut tips dari ibu bapa yang berpengalaman, KoolFever ini boleh diletakkan di bahagian belakang badan anak, kerana ia lebih selesa dan tidak mudah untuk anak kecil menanggalkannya berbanding di dahi.
Malah Dr Sheikh Muszaphar juga pernah berkongsi tips melekatkan KoolFever ini. Katanya lekatkan di bahagian badan yang memerangkap haba seperti di bawah ketiak, di leher dan di belakang lutut.
Apakah Kegunaan Lain Cool Fever Baby?
Selain digunakan untuk demam, anda juga boleh menggunakan KoolFever untuk bayi atau orang dewasa:
Apabila mereka tidak boleh tidur kerana malam yang panas
Apabila mereka perlu menyejukkan badan semasa hari panas
Jika mereka mengalami sakit kepala atau sakit gigi
Jika mereka terseliuh atau lebam
Apabila mereka mengalami kulit memerah selepas bersukan atau bermain di luar rumah
Cara Menggunakannya
Daripada laman web rasmi mereka, berikut ialah arahan tentang cara menggunakan KoolFever untuk bayi:
Tanggalkan penutup lutsinar nipis.
Lekatkan tampalan pelega demam pada bahagian yang dikehendaki (dahi, leher, lengan, dll.)
Anda boleh memotong tampalan mengikut saiz yang dikehendaki.
Tampalan berkesan sehingga 4 jam.
Untuk tujuan kebersihan dan keberkesanan, sila gunakan tampalan sekali sahaja.
Cara Lain Kebahkan Demam Selain Cool Fever Baby
Demam adalah cara untuk badan melawan virus atau jangkitan bakteria di dalam badan. Jadi ia akan menghasilkan antibodi ketika demam. Ia bukanlah penyakit, dan selalunya demam bayi tidaklah membimbangkan, kecuali jika bayi demam kurang dari usianya 30 hari. Walau bagaimanapun, ini beberapa cara yang boleh dilakukan di rumah sekiranya bayi anda mengalami demam panas.
1. Sponging
Teknik ini sememangnya disarankan oleh pakar. Walaupun anak anda ditahan di wad akibat demam panas, hospital juga menyarankan untuk anak di lap tuala basah seluruh badan hinggalah suhu badan turun.
Anak mungkin tidak selesa dengan teknik ini, jadi mereka akan merengek sedikit. Apa yang anda boleh lakukan adalah gunakan air yang suam ketika lap badan mereka. Jangan gunakan air sejuk, bimbang anak akan menggigil dan menyebabkan kenaikan suhu badan lebih mendadak.
2. Lumur bawang merah dan bawang putih
Ini petua daripada orang tua-tua. Ada yang menyatakan teknik ini sangat berkesan untuk anak-anak mereka setiap kali diserang demam panas.
Caranya cukup mudah hanya tumbukkan bawang merah dan bawang putih hingga lumat, dan lumurkan di kepala anak anda.
Baunya mungkin tidak menyenangkan anak-anak dan anda sendiri, tapi kalau berkesan ia sangat berbaloi untuk dicuba.
3. Biarkan anak anda tidak berpakaian dan tampalkan Cool Fever Baby
Cukup sekadar memakai lampin, biarkan suhu bilik dalam keadaan dingin, tak terlalu sejuk dan panas. Sambil-sambil itu lapkan seluruh badan anak dengan tuala basah.
4. Minum air dan tidur yang cukup
Apabila anak tidak sihat, rehat dan tidur yang cukup dapat membantu menguatkan antibodi mereka. Elakkan memaksa mereka untuk makan sekiranya anak anda tidur lena pada waktu makan.
Sekiranya anak anda masih bayi, berikan mereka susu badan yang banyak untuk mengelakkan anak anda mengalami dehidrasi.
5. Mandikan anak dengan lemon dan daun oregano
Sekiranya ibu ayah mempunyai bahan-bahan ini, rendamkan dalam tub mandian dengan air suam dan mandikan bayi anda selama 10 minit. Suhu badan anak tidak akan turun mendadak, tapi ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit demam panas.
Selain itu anda juga boleh titiskan minyak essential pati lemon. Titiskan dalam 2 titik ke dalam tub mandian dan biar anak berendam seketika.
6. Lap badan dengan air asam jawa
Seperti teknik sponging, tapi kali ini menggunakan air asam jawa. Air asam jawa ini dipercayai mampu menyejukkan badan dengan cepat. Selain lap di bahagian kepala, lapkan juga pada bahagian pelipat, seperti ketiak, belakang telinga, dan belakang lutut.
Sapukan juga pada bahagian wudhuk, ia boleh menyejukkan badan anak dengan segera.
7. Biarkan pengudaraan yang sejuk
Jangan tutup kipas atau penghawa dingin hanya kerana bimbang bayi anda kesejukan. Badan anak ketika demam perlu mengeluarkan haba bukan menambah lagi haba.
Elakkan membedung bayi ketika demam, pakai pakaian yang nipis dan berwarna cerah. Jangan bungkuskan anak dengan selimut sehingga berpeluh, itu bukanlah cara yang baik untuk kebahkan demam.
8. Berikan Paracetamol Untuk Kanak-Kanak
Menurut artikel Medicines for Babies & Childrens dari NHS, paracetamol atau ubat demam kanak-kanak boleh diberi pada bayi yang berusia 2 bulan ke atas sekiranya bayi mengalami demam panas. Sekiranya demam suhu rendah, anda boleh merawatnya dengan sponging sahaja.
Beri bayi ubat demam mengikut dos yang ditetapkan. Selang 6 jam, atau sekiranya suhu tiba-tiba meningkat dengan cepat, boleh diberikan selang 4 jam.
Apabila bayi anda demam akibat suntikan vaksin, ia adalah normal. Tidak perlu berikan ubat demam sekiranya ia hanya demam biasa bersuhu rendah. Namun doktor menasihatkan sekiranya demam bayi meningkat suhunya secara mendadak maka ia boleh diberikan demi keselesaan badan bayi.
Demam selepas vaksin selalunya akan hilang dalam 48 jam.
Bawa Bayi Anda ke Doktor Sekiranya:
- Bayi mengalami demam dan berumur kurang dari 3 bulan.
- Mengalami demam yang berlarutan selama beberapa hari (lebih daripada 5 hari)
- Suhu badan yang tinggi 40 C atau lebih tinggi
- Masih mengalami demam panas walaupun telah mengambil paracetamol.
- Tidak kelihatan seperti diri mereka sendiri: mereka tidak responsif, tidak makan atau minum, muntah dan ciri birit.
- Mengalami sawan pertama kali akibat suhu terlalu tinggi, bawa segera ke hospital.
Apa-apa pun ikut naluri keibuan anda, sekiranya anak tidak mengalami apa yang disebutkan di atas, tapi anda merasakan sesuatu tidak kena pada bayi anda, segeralah bawa ke hospital. Lebih baik untuk mencegah daripada mengubati bukan?
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perkara Yang Ibu Ayah Perlu Tahu Sekiranya Bayi Demam Panas, Jangan Mandikan Dengan Ais!
Baca juga: Anak Demam On Off, Tiba-Tiba Kena Sawan, Ini Yang Ibu Ayah Perlu Lakukan!
Baca juga: Musim Anak Demam Sudah Datang, Lakukan Perkara Ini Untuk Kuatkan Imuniti Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!