Setiap kelahiran membawa kebahagiaan paling bermakna dalam rumah tangga. Sebaik dilahirkan di dunia, ayahlah orang pertama yang melaungkan azan, iqamat dan membacakan beberapa doa bayi baru lahir di telinga anak.
Ini adalah untuk melahirkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa atas kurniaan rezeki cahaya mata. Selain itu bagi mengelakkan sebarang gangguan tidak diingini sepanjang si manja membesar.
Isi Kandungan
Senarai doa bayi baru lahir rumi dan maksud
Rasulullah SAW juga telah menjelaskan dalam hadis bahawa doa dapat memberikan manfaat. Ia juga mampu menjadi benteng dalam melindungi bayi dari sesuatu yang tidak elok.
1. Ketika bayi baru lahir
أُعِيْذُكَ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
U’iidzuka bikalomatillahit tammati min kulli syaithoniw wahammah, wamin kulli ‘ainil lammah
Maksudnya: Aku mohon perlindungan (kepada Allah SWT) untuk kamu (si bayi) dengan menyebut nama kalam Allah yang sempurna dari tiap-tiap godaan setan dan binatang berbisa, serta dari setiap mata yang memandang rendah.
Selain itu, doa ini juga boleh dibaca ibu ayah:
اللهم اجْعَلْهُ بَارًّا تَقِيًّا رَشِيْدًا وَأَنْبِتْهُ فِي الْإِسْلَامِ نَبَاتًا حَسَنًا
Allahummaj’alhu barran taqiyyan rasyidan wa-anbit-hu fil islami nabatan hasanan
Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah dia (bayi) orang yang baik, bertakwa dan cerdas. Tumbuhkan lah dia dalam Islam dengan pertumbuhan yang baik.
2. Ucapan bayi baru lahir
بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي الْمَوْهُوْبِ لَكَ ، وَشَكَرْتَ الْوَاهِبَ ، وَبَلَغَ أَشُدَّهُ ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ
Barakallahu laka fil mauhuubi laka syakartal waahiba wa balagho asyuddahu waruziqta birrohu
Maksudnya: Semoga Allah memberkatimu dalam anak yang diberikan kepadamu. Kamu pun bersyukur kepada Sang Pemberi dan dia dapat mencapai dewasa serta kamu dikurnia kebaikannya.
3. Mohon perlindungan bayi
إِنّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Inn u’idzu bika wadzurriyyataha minasysyaithanir rajim
Maksudnya: Aku memohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada setan yang terkutuk. (Q.S Ali Imran, 3:36).
4. Doa untuk anak baru lahir dapat fahami agama
اَللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِى الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Allahumma faqqih hu fid diini wa ‘allimhut ta’wiila
Maksudnya: Ya Allah berikanlah kefahaman baginya dalam urusan agama dan ajarkanlah dia ta’wil (Tafsir ayat-ayat al-Quran).
5. Doa bayi menjadi anak soleh
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Rabbi habli min ladunka dzurriyyatan thayyibatan in naka samii’ud du’aa
Maksudnya: Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar Doa.
6. Doa ketika cium bayi baru lahir
Allahumma habbibhu wa ahibba man yuhibbuhuu
Maksudnya: Ya Allah, cintailah dia dan cintai pula orang-orang yang mencintainya.
7. Doa bayi baru lahir sendawa
وَاقْصِدْ فِيْ مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَۗ اِنَّ اَنْكَرَ الْاَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيْرِ
Waqsid fii mashyika wagdhdudh min shautika inna ankaral aswaati lasautul hamiiri
Maksudnya: Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (QS. Luqman, 19)
Selain doa, terdapat beberapa surah yang digalakkan baca untuk bayi yang baru lahir.
Ini antara surah untuk bayi yang ibu ayah boleh amalkan:
- Surah Al-Fatihah.
- 5 ayat pertama surah al-Baqarah.
- Ayat Kursi.
- 2 ayat terakhir surah al-Baqarah.
- Ayat ke-18 hingga 24 surah al-Hasyr.
- 4 Qul (Al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas)
Selesai membaca, hembuskan dengan lembut pada ubun-ubun kepala baby baru lahir. Amalkan setiap pagi dan petang.
Kelebihan membaca doa bayi baru lahir
Membaca doa bayi baru lahir adalah amalan yang digalakkan supaya bayi terhindar dari sebarang gangguan. Dengan mengamalkan doa-doa di atas, semoga menjadi satu pedoman buat kita sebagai orang Islam yang sentiasa mengharapkan perlindungan dan memperoleh keberkatan daripada-Nya.
Berikut adalah beberapa kelebihan membaca doa bayi baru lahir:
1. Mengukuhkan hubungan dengan tuhan
Umat islam dianjurkan untuk sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki dan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Berdoa dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan diri tentang betapa besarnya kurniaan yang dianugerahkan melalui zuriat anak yang baru lahir.
Iman merupakan aspek penting dalam membimbing anak-anak ke arah jalan yang benar.
2. Membentuk akhlak yang baik
Setiap doa mengandungi pujian dan mesej yang baik untuk disampaikan kepada sang pencipta. Dengan memahami dan mengamalkan isi doa setiap hari, secara tidak langsung akan membentuk keperibadian anak yang positif dan berakhlak mulia.
3. Sebagai tanda cinta dan kasih
Membaca doa anak baru lahir adalah sebagai satu tanda cinta dan kasih daripada ibu bapa kepada anak yang dilahirkan. Doa menjadi penguat dan meletakkan pengharapan kepada Allah SWT untuk masa depan anak-anak.
4. Memohon perlindungan dan kesejahteraan
Doa untuk anak yang baru lahir merupakan salah satu usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT agar bayi sentiasa dilindungi daripada sebarang bahaya yang tidak diingini berlaku.
5. Memupuk disiplin dan keyakinan dalam beribadah
Seseorang yang mengamalkan baca doa dalam situasi tertentu akan memupuk sikap disiplin dan konsisten dalam beribadah. Ia juga menunjukkan bahawa ajaran agama diterapkan sepenuhnya sejak dini lagi.
Berdoa juga merupakan salah satu cara untuk kita berkomunikasi dengan tuhan, sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri tentang nilai moral dan etika.
Perlindungan Allah SWT pastinya lebih baik untuk anak. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 3 Doa Yang Ibu Bapa Boleh Amalkan Untuk Pujuk Bayi Menangis & Sukar Tidur Malam
Baca juga: Anak Lambat Bercakap? Amalkan 2 Doa Untuk Anak Cepat Bercakap Ini Setiap Hari
Baca juga: Ibu Ayah Amalkan Doa Untuk Bayi Baru Lahir Ini, Anak Mudah Tidur & Elak Gangguan