Solat dhuha adalah salah satu solat sunat yang amat dituntut dilakukan oleh setiap umat Islam. Ia memiliki pelbagai kelebihan termasuklah menjadi amalan pembuka rezeki. Justeru amalkan juga beberapa doa dhuha ini sebagai pelengkap ibadah sunat anda.
Solat sunat dhuha juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin. Bagi yang inginkan pahala serta sentiasa dimurahkan rezeki, jadikan solat sunat ini sebagai amalan harian sebelum anda memulakan sesuatu pekerjaan.
Waktu solat dhuha
Waktu solat dhuha bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari. Waktu terbaik untuk Solat dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik.
Solat Dhuha yang dilakukan pada waktu ini disebut sebagai Solat Awwabin. Ini berdasarkan hadis:
صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ
Maksudnya: Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).
Berapa bilangan rakaat solat dhuha?
Seperti mana solat sunat lain, solat sunat Dhuha boleh dilakukan dengan bilangan dua rakaat paling sedikit, kemudian seterusnya empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak.
Tetapi yang seafdhalnya menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 8 rakaat. Ini kerana ia berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib R.Anha beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.
Riwayat Abu Daud (1290)
Imam Al-Nawawi berkata : Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan Solat Sunat Dhuha sebanyak lapan rakaat.
Cara menunaikan solat dhuha

Berikut adalah cara mengerjakan Solat Sunat Dhuha yang dirujuk melalui Kisah Zakat Malaysia dan beberapa lagi sumber lain.
1. Lafaz Niat
أُصَلِّي سُنَّةَ الضُّحَي رَكْعَتَين ِللهِ تَعَاليَ
(Usollii sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta’aalaa.)
Ertinya: ”Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat, kerana Allah Taala.”
2. Membaca Surah Al-Fatihah
Setelah takbiratul ihram, baca surah al-Fatihah seperti biasa.
3. Membaca Surah
Ringkasnya, kita boleh membaca mana-mana surah yang dihafal dalam semua solat sunat.
Namun antara surah-surah yang dianjurkan ulama dalam solat dhuha ialah:
- Ayat Kursi (Rakaat Pertama) dan Al-Ikhlas (Rakaat Kedua) atau;
- As-Syams (Rakaat Pertama) dan Ad-Dhuha (Rakaat Kedua) atau;
- Al-lail (Rakaat Pertama) dan Al-Insyirah (Rakaat Kedua).
- Kemudian solat diteruskan seperti biasa sehingga cukup 2 rakaat.
4. Bacaan Semasa Sujud Akhir
Pada sujud akhir sebelum tahiyat akhir, boleh dibacakan zikir berikut:
Wahab Li Ya Wahhab Ilman Wa Hikmatan War Zurqni Ya Razzaq Kulli Musahala
Ertinya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah. Dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.
Kelebihan solat dhuha
1. Diberi kecukupan
Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT, firman Allah SWT:
يَا ابْنَ آدَمَ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ، أَكْفِكَ آخِرَهُ
Maksudnya: “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.”
[Riwayat al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi. Adapun Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih kerana perawi-perawinya adalah thiqah]
2. Menyamai sedekah terhadap 360 sendi
Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
Maksudnya:
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah.
Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]
3. Rumah di syurga
Rasulullah SAW pernah memberi motivasi kepada umatnya yang rajin untuk bangun pagi dan mengerjakan solat dhuha. Baginda bersabda:
“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” (Sahih al-Jami’: 634)
4. Dosa terdahulu diampunkan
Solat dhuha adalah antara pintu keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah sangat merindukan hambanya yang ingin menyucikan dosa-dosanya. Sabda Rasulullah SAW tentang kelebihan solat dhuha:
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
5. Mendapat keuntungan besar
Di dalam bahasa arab, ia dipanggil Ghanimah. Menurut sebuah kisah bahawa Rasulullah SAW pernah mengutuskan tentera Islam untuk berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan mendapat harta rampasan yang banyak.
Ramai yang bercerita tentang perang tersebut yang sangat cepat dan banyak harta rampasan perang yang diperoleh. Dan kemudiannya Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada yang lebih penting dan lebih mudah untuk kita memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu dengan solat dhuha.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”
(Sahih al-Targhib : 666)
6. Memperoleh pahala umrah
Untungnya bila melakukan solat Dhuha adalah Allah menganugerahkan pahala umrah menerusinya.
Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”
(Sahih Al-Targhib: 673)
Senarai doa solat dhuha

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, secara umumnya tidak terdapat doa selepas solat dhuha yang khusus diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Namun begitu, terdapat beberapa doa selepas solat dhuha yang mahsyur, yang diajarkan oleh para ulama’.
1. Doa selepas solat dhuha
اَللهُمَّ اِنَّ الضُّحَآءَ ضُحَاءُكَ،
وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ،
وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ،
وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ،
وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ.
اَللهُمَّ اِنْ كَانَ رِزْقَى فِى السَّمَآءِ فَأَنْزِلْهُ
وَاِنْ كَانَ فِى اْلاَرْضِ فَأَخْرِجْهُ
وَاِنْ كَانَ مُعَسَّرًا فَيَسِّرْهُ
وَاِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ
وَاِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ
بِحَقِّ ضُحَاءِكَ وَبَهَاءِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ
آتِنِىْ مَآاَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ
Doa solat dhuha rumi:
Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka
Walbahaa’a bahaa uka
Waljamaala jamaaluka
Walquwwata Quwatuka
Walqudrota Qudrotuka
Wal’ismata ‘ismatuka
Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu
Wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu
Wa’in kaana mu’assaron fayassirhu
Wa’in kaana harooman fathohhirhu
Wa’inkaana ba’idan faqorribhu
Bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita min ‘ibaadikassolihiin
Ertinya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu,
keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.
2. Tasbih doa solat sunat dhuha
Selepas memberi salam ketika habis solat, bacalah tasbih ini sebanyak 10 kali:
SubHaaNallahi Walhamdulillah Wa Laa IlaHa Illallahu Wallahu Akbar, WaLaa HawLa WaLaa Quwwata Illa Billahil-‘Aliyyil ‘Aziim, ‘AaDaDa KholQil-Lah WaBiDaWaaMi Mulkillah
Maksudnya:
Maha Suci Allah, segala puji hanya bagi Allah, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Allah Yang Maha Besar. Dan tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung, sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama mana kekalnya kekuasaan Allah.
3. Doa solat dhuha JAKIM

رَبِّي اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْم، اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَصْبَحْتُ عَبْدَك وَعَهْدَك وَوَعْدَك أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَلَمْ أَكُ شَيْئًا أَسْتَغْفِرُكَ لِذَنْبِيْ فَإِنَّهُ قَدْ أَرْهَقَتْنِيْ ذُنُوْبِي وَأَحَاطَتْ بِيْ إِلاَّ أَنْ تَغْفِرَهَا لِيْ فَاغْفِرْهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya:
“Ya Tuhanku ampunkan dosaku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Ya Allah bagi Mu segala pujian, aku di waktu pagi sebagai hamba Mu dan atas perjanjian dengan Mu dan apa yang Kamu janjikan, Kamu menciptakanku dan tiadalah aku sesuatu, aku beristighfar kepada Mu dari segala dosaku kerana sesungguhnya ia telah membelenggu dosa-dosaku dan meliputiku kecuali Engkau mengampuninya, maka ampunkanlahnya hai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat dan kasih sayang.”
4. Doa selepas solat dhuha
Dari ‘Aisyah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW selesai solat sunat dhuha, baginda mengucapkan,
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
Doa solat dhuha rumi: Allohummaghfir lii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rohiim
Maksudnya:
“Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” – (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619).
Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih. Diriwayatkan Baginda SAW membacanya seratus kali.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Doa Buat Suami Isteri Yang Sering Tertekan & Dilanda Ujian, Elok Diamalkan Setiap Hari
Baca juga: Ibu Ayah Amalkan Doa Ini Untuk Anak Mudah Dengar Kata, Pintar & Dijauhkan Zina
Baca juga: Doa Tahajjud Dalam Bahasa Rumi Yang Ringkas, Jadi Pelengkap Solat Sunat Tahajjud
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!