Segan Rasanya Bila Bersalin Dengan Doktor Lelaki, Apakah Hukumnya Apabila Doktor Lelaki Sambut Kelahiran?

Ada sesetengah orang memilih doktor lelaki untuk menyambut kelahiran bayi, tetapi apakah hukumnya dalam Islam? Ini yang perlu anda tahu.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kehadiran zuriat adalah penyeri dalam rumah tangga. Mana-mana pasangan tentu sahaja berasa teruja dan tidak sabar untuk menyambut kelahiran anak. Walau bagaimanapun sebagai ibu, ada hal merisaukan ketika bersalin antaranya jika ditakdirkan doktor lelaki yang bertugas.

Mungkin jika bersalin di hospital swasta, anda boleh memilih mana-mana doktor yang disukai. Namun bila bersalin di hospital kerajaan, mahu ataupun tidak terpaksalah ibu menahan 'tebal muka'.

Hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bayi menurut agama Islam

Ketika menahan sakit kontraksi, para ibu diminta bertenang dan mengamalkan beberapa doa bagi melancarkan urusan bersalin. Jika anda mendapati doktor lelaki bertugas pada waktu itu, takkan lah nak halau mereka pula?

Bagi suami pula, tentu sahaja anda seboleh-bolehnya tidak mahu lelaki lain melihat aurat isteri. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ingin bersalin. Apa kata anda ikuti penjelasan Dr. Irwan bin Mohd Subri mengenai hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bayi.

''Isu doktor lelaki menyambut kelahiran telah kembali menggear alam maya. Ramai suami dan netizen tidak mahu doktor lelaki menyambut kelahiran kerana tidak mahu mereka melihat, menyentuh apatah lagi menyeluk faraj isteri (pemeriksaan bukaan),'' jelasnya.

Pada asalnya, ia adalah hukum azimah iaitu haram melihat faraj wanita lain termasuklah faraj mahramnya tanpa alasan yang kukuh. Begitu juga orang wanita tidak boleh (haram) melihat faraj wanita lain saja-saja tanpa adanya keperluan.

Jika alasan bahawa male doctor tidak boleh melihat faraj wanita ketika bersalin, sepatutnya alasan sama digunakan terhadap doktor wanita juga; tidak boleh melihat faraj mana-mana perempuan ketika melahirkan anak.

Ini kerana hukum azimah ialah tidak boleh melihat faraj wanita lain secara saja-saja, sama ada doktor wanita atau lelaki sama sahaja hukumnya.

Hukum doktor lelaki di wad bersalin menjadi rukhsah

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

''Namun kita berbicara tentang proses melahirkan anak. Adalah satu keperluan seseorang lelaki atau wanita untuk menyambut dan mengurus kelahiran.''

Jadi, keadaan hukum asal azimah telah berubah menjadi hukum rukhsah iaitu daripada hukum tidak boleh melihat faraj wanita lain secara saja-saja, kepada hukum 'harus' bahkan terkadang menjadi 'wajib' untuk melihat faraj wanita yang melahirkan anak.

Bukan itu sahaja, proses melahirkan anak telah menjadi hajat (keperluan) atau darurat (kecemasan), yang mana ia dinamakan rukhsah (keringanan) hukum. Hukumnya tidak lagi sama dengan keadaan hukum asal azimah.

Manakala ketika berlaku situasi hajat atau darurat, pesakit (isteri) tidak berdosa kerana mendedahkan aurat farajnya kepada orang lain. Doktor sama ada wanita atau lelaki tidak berdosa melihat faraj wanita lain ketika sambut kelahiran.

Kata kuncinya ialah hukum azimah dan hukum rukhsah. Begitu juga hajat dan darurat.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Lebih baik mendapatkan doktor wanita berbanding lelaki

Dari segi Awlawiyyatnya, adalah lebih baik doktor atau jururawat wanita yang bertugas menyambut kelahiran. Jika tiada, diharuskan kepada doktor lelaki bagi menyambut kelahiran.

 

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Sudah tentu, sama ada wanita atau lelaki yang menyambut kelahiran perlu mematuhi prinsip syarak. Antaranya ialah tidak melebihi had sepatutnya. Tuntutan para suami agar doktor perbidanan sakit puan atau O&G hanya dikhususkan kepada wanita sahaja demi menyelamatkan maruah faraj isteri adalah penyelesaian juz'ie (kecil atau sebahagian) sahaja.

Ada juga beberapa penyakit lain yang memerlukan pendedahan aurat wanita iaitu barah payudara, tiroid, barah usus dan lain-lain. Dalam keadaan tanpa alasan kukuh atau saja-saja (azimah), aurat selain faraj juga haram dilihat oleh lelaki. Namun dalam situasi sakit (rukhsah), diharuskan untuk melihat dan menyentuhnya.

Antara doktor lelaki beragama Islam atau doktor perempuan bukan Islam, mana satu yang patut didahulukan?

Persoalan ini sering ditanya oleh ramai wanita. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan yang memulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka”.                                                                                    

(Surah al-Nur: 30)

Ayat di atas adalah perintah Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Dan juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu lebih suci bagi mereka. (al-Tafsir al-Muyassar, m/s : 353)

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi kita sesama manusia dalam kehidupan seharian.

Nabi SAW bersabda :

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain” [HR Muslim (338)]

Oleh itu, tidak dibenarkan di sisi hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, (atau sebaliknya) melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. Justeru, boleh bagi seorang lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki. [al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Begitu juga, hal ini bertepatan dengan kaedah:

الضرورات تبيــح المحــظورات

Maksudnya : “Mudarat mengharuskan yang haram”

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan seorang doktor melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh Syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang tsiqah (terpercaya), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat dan lain-lain.

Kaedah ini juga mestilah diikat dengan kaedah yang lain iaitu :

الضرورات تقدر بقدرها

Maksudnya: “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja”

Seorang doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan mendesak, bagi merawatnya serta menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.

Termasuk juga di dalam perkara ini ialah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah. Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan muslim, kemudian barulah doktor perempuan bukan muslim, kemudian doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan muslim. Dan kalau sekiranya tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan muslim (bukan pakar), tidak boleh menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar (bagi sakit berkenaan).

Peringkat keutamaan

Ulama mazhab Syafie telah meletakkan syarat bahawa seorang doktor lelaki boleh merawat pesakit wanita sekiranya ketiadaan doktor perempuan yang berkepakaran bagi merawatnya, termasuklah doktor perempuan bukan Islam. Begitu juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Al-Bulqini telah menyatakan pandangannya dalam isu ini dengan katanya :  

يُقَدَّمُ فِي عِلاَجِ الْمَرْأَةِ مُسْلِمَةٌ... ، فَامْرَأَةٌ كَافِرَةٌ، فَمَحْرَمٌ مُسْلِمٌ، فَمَحْرَمٌ كَافِرٌ، فَأَجْنَبِيٌّ مُسْلِمٌ، فَكَافِرٌ

Maksudnya: “Diutamakan doktor perempuan muslim bagi merawat perempuan,… kemudian doktor perempuan kafir, kemudian mahramnya yang muslim, kemudian mahramnya yang kafir, kemudian barulah doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki kafir”. [al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (12/137)]

Menurut al-Lajnah al-Daimah ketika mana ditanya berkenaan bolehkah seorang perempuan pergi mendapatkan rawatan daripada seorang doktor lelaki pakar sakit puan yang beragama Kristian? Mereka menyatakan bahawa bagi seorang (pesakit) perempuan ialah mendapatkan rawatan daripada doktor wanita pakar sakit puan yang beragama Islam. Sekiranya tiada, barulah boleh beralih kepada doktor wanita kristian. Sekiranya tiada juga dan keadaan mendesak bagi mendapatkan rawatan boleh pergi mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki Muslim dengan syarat bersamanya mahram. Dan sekiranya tiada juga barulah boleh mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki kristian. [Fatawa al-Lajnah al-Daimah, No. 3426, (17/260)]

Syeikh Ibn Baz pernah ditanyakan berkenaan yang manakah patut di dahulukan antara doktor wanita bukan Islam dengan doktor lelaki muslim sekiranya pesakit seorang wanita? Beliau berpandangan bahawa doktor wanita bukan Islam lebih didahulukan berbanding doktor lelaki kerana ia melibatkan aurat wanita dan ini lebih selamat.

Secara peringkatnya (jika pesakit seorang wanita), dahulukan doktor wanita muslimah, kemudian doktor wanita bukan Islam, kemudian doktor lelaki muslim dan barulah doktor lelaki bukan Islam sekiranya perlu. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mendapatkan khidmat doktor-doktor bukan Islam sebaliknya dahulukan khidmat daripada doktor-doktor muslim. Akan tetapi tidak mengapa menggunakan khidmat doktor-doktor bukan Islam jika ada keperluan mendesak serta kekurangan doktor-doktor muslim dan muslimah dengan syarat mereka tidak memudaratkan orang Islam dan mengajak kepada agama mereka.

Perkara ini disokong lagi oleh keadaan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Kita boleh ketahui bahawa sebab kepada larangan mendedahkan aurat seorang Muslimah di hadapan seorang wanita kafir melalui riwayat daripada Umar RA, dengan katanya : “Sesungguhnya tidak dibenarkan bagi wanita ahli kitab (kafir) masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) bersama wanita Muslimah di dalamnya kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Oleh yang demikian, apa yang boleh dilihat oleh wanita kafir kepada wanita Muslimah seperti seorang lelaki ajnabi kepada seorang wanita. Akan tetapi boleh untuk wanita kafir itu melihat bahagian yang (biasanya) terdedah pada wanita Muslimah ketika bekerja” . [al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Oleh itu, kita harus meraikan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Kini, para doktor mestilah mengikut kod etika dan tatakelakuan bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya, beretika dan professional. Dan sebarang pelanggaran terhadap panduan dan kod etika ini, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan tatatertib. [Kod Etika dan Tatakelakuan, KKM, hal. 15] Begitu juga, mereka terikat dengan Akta Perubatan 1971 yang mana salah satu fungsinya menentukan dan mengawal perilaku dan tata etika pengamal perubatan yang berdaftar.

Berikut adalah kesimpulan yang boleh disimpulkan dari Mufti Wilayah Persekutuan:

  • Sekiranya pesakit adalah seorang wanita, keutamaan hendaklah diberikan terlebih dahulu kepada doktor wanita muslimah, kemudian kepada doktor wanita bukan Islam, kemudian kepada doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah kepada doktor lelaki bukan Islam. Hal ini kerana (keadaan terpaksa) melihat aurat daripada jantina yang sama adalah lebih ringan (selamat). [al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (12/136)]
  • Daripada segi psikologi, seorang pesakit wanita akan lebih senang dan berasa selamat sekiranya doktor yang akan merawatnya adalah daripada jantina yang sama. Begitulah juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Hal ini kerana kita tidak dapat menafikan bahawa wanita akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kewanitaan daripada lelaki dan lelaki akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kelakian berbanding seorang wanita. Sepertimana kata ulama :

    أن المباشر للأمر أعلم به من المخبر عنه

    Maksudnya: “Seseorang yang terlibat secara langsung dalam sesuatu perkara itu lebih mengetahui akannya berbanding orang yang hanya menyampaikannya”[Fathu al-Mun‘im (4/553)]

  • Seorang doktor boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan bagi merawatnya serta menolak kemudaratan dan perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.
  • Pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama jantina sekalipun bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah orang Islam. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.

Kesimpulan secara am, tidak kiralah doktor lelaki mahupun wanita mereka menjalankan tugas hanya untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit dalam keadaan darurat.

Sekiranya mampu, para suami boleh membelanjakan sedikit wang untuk isteri bersalin di hospital swasta dengan doktor pakar wanita. Jika tidak, usahlah membebankan diri sendiri kerana hospital kerajaan juga menawarkan perkhidmatan terbaik buat semua pesakit.

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bukan Sekadar Sambut Kelahiran Bayi, 19 Doctor Pakar Sakit Puan Ini Bantu Tangani Pelbagai Masalah Kesihatan Wanita

Baca juga: Cara Memilih Pakar Ginekologi Atau Sakit Puan, Panduan Lengkap Buat Ibu Kali Pertama

Baca juga: 14+ Hospital Terbaik Kerajaan & Swasta