Bengkung bersalin antara salah satu tradisi berpantang yang diwarisi dari generasi ke generasi. Amalan ini melibatkan penggunaan sehelai kain yang panjang dan lebar untuk mengikat bahagian perut dan pinggul ibu selepas melahirkan anak.
Selain menjadi sebahagian amalan berpantang, bengkung juga telah terbukti memberikan pelbagai manfaat dalam proses pemulihan selepas bersalin. Pemakaian bengkung ini dipercayai dapat membantu ibu kembali langsing dengan cepat.
Dalam artikel ini kami kongsikan apa itu bengkung bersalin, jenis bengkung tradisional dan moden, manfaat bengkung dan bila waktu sesuai pakai bengkung selepas bersalin.
Isi Kandungan
Apa Itu Bengkung Bersalin?
Secara ringkasnya, bengkung bersalin adalah produk yang dililitkan di perut untuk memberikan sokongan kepada badan selepas melahirkan anak.
Di pasaran, terdapat pelbagai jenis produk bengkung yang berbeza. Berikut adalah beberapa variasi bengkung yang sering digunakan di negara Barat:
1. Belly wrap
Merupakan bengkung elastik lebar yang boleh disesuaikan dan menutupi badan dari tulang rusuk sehingga ke bahagian atas pinggul. Ia memberikan tekanan pemampatan lembut.
2. Abdominal compression binder
Bengkung ini adalah alat perubatan yang direka untuk dipakai selepas pembedahan pada abdomen. Ia memberikan tekanan pemampatan sederhana hingga kuat yang boleh disesuaikan (velcro).
3. Waist trainers/cinchers
Merupakan bengkung lebar yang boleh disesuaikan dan merangkumi bahagian tengah badan dari bawah dada hingga ke bahagian atas pinggul. Jenis bengkung ini sering digunakan oleh selebriti dan terbuat daripada bahan getah atau bahan lain yang mungkin mengandungi plastik atau logam.
Tujuannya adalah untuk mengurangkan ukuran pinggang secara drastik dan memberikan pemampatan yang lebih kuat.
4. Korset
Terdiri daripada pelbagai bentuk, ukuran, gaya, dan tahap pemampatan yang berbeza. Kebanyakan korset dianggap untuk membentuk badan agar tampak lebih menarik.
Bengkung Tradisional Untuk Ibu Berpantang
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis bengkung tradisional hingga moden, antaranya termasuk:
- Bengkung tradisional bertali
- Bengkung lilitan Jawa
- Bengkung tali zig-zag
- Bengkung bertali/barut
- Bengkung sarung moden – tube
- Bengkung moden – velcro
Setiap jenis produk bengkung mempunyai fungsinya tersendiri dan boleh membantu dalam pemulihan selepas bersalin. Namun, yang terpenting adalah memastikan bahawa produk yang dipilih sesuai dan dicipta khusus untuk membantu wanita pulih selepas bersalin, sama ada secara normal atau selepas pembedahan.
Penggunaan produk yang tidak sesuai boleh menyebabkan kesakitan dan berisiko membawa bahaya. Oleh itu, pemilihan bengkung yang betul adalah penting bagi kesihatan dan kesejahteraan ibu selepas bersalin.
-
Bengkung Tradisional Lilit Jawa
Kain lebar sepanjang 15 meter. Boleh diikat dan dibalut dengan kemas. Bengkung jenis ini lebih kejab, kemas dan cepat mengembalikan bentuk badan. Tapi… susah untuk dibuka (jika ingin ke tandas)
-
Bengkung Tradisional Zig-Zag/Beroda
Kain lebar yang dikat dengan tali secara berselang-seli (seakan-akan zig-zag). Boleh dipakai seperti bengkung jawa. Bengkung selepas bersalin jenis ini lebih mudah untuk dibuka. Hanya longgarkan ikatan zig-zag.
-
Bengkung Tradisional Jenis Barut
Bengkung barut sama seperti bengkung selepas bersalin yang dipakai oleh bayi baru lahir. Bengkung ini hadir dengan banyak tali di bahagian kiri dan kanan fabrik.
Tali perlu diikat dengan ketat. Ia boleh dipakai sendiri dan mudah untuk dibuka.
Bengkung Bersalin Moden
Seakan korset dengan cangkuk, zip, zap-on dan tiub. Bengkung moden ini mudah dipakai dan sangat sesuai untuk ibu bersalin czer.
Cara Menggunakan Bengkung Selepas Bersalin
-
Pilih Bengkung yang Sesuai: Pastikan bengkung selepas bersalin yang dipilih mempunyai panjang mencukupi untuk melilit perut dan pinggul dengan sempurna.
-
Mulakan dari Bawah: Mulakan dengan melilit bahagian pinggul terlebih dahulu, kemudian ke arah perut dengan ketat tetapi selesa.
-
Pastikan Keselesaan: Penting untuk memastikan bahawa bengkung tidak terlalu ketat sehingga menyakitkan. Ia harus memberi sokongan yang selesa kepada tubuh ibu.
-
Gunakan Sepanjang Masa: Bengkung sebaiknya dipakai sepanjang masa, terutamanya dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas bersalin.
Penting: Pakai bengkung sekurang-kurang selama 5 jam sehari. Ikat bengkung dari bawah payudara hingga ke bawah pinggul.
Manfaat Pemakaian Bengkung Selepas Bersalin
Kaedah tradisional ini terbukti mampu mengembalikan bentuk badan idaman setiap wanita selepas bersalin. Pemakaian bengkung selepas bersalin juga bagus diamal bagi menjaga kesihatan dalaman.
Bengkung selalunya dipakai selepas rawatan mengurut, bertungku atau bertangkas. Seeloknya, ia dipakai selama 44 hari sepanjang proses berpantang.
- Penyembuhan Cepat: Pemakaian bengkung selepas bersalin membantu merangsang peredaran darah yang baik, seterusnya membantu dalam proses penyembuhan dengan cepat.
- Menyokong Perut dan Pinggul: Ibu berpantang biasanya mengalami penurunan otot perut dan kelemahan di kawasan pinggul. Pemakaian bengkung dapat memberikan sokongan tambahan membantu ibu bergerak dengan lebih selesa dan mengurangkan risiko kecederaan.
- Mengurangkan Sakit Belakang: Melalui sokongan yang diberikan oleh bengkung, ibu-ibu dapat mengurangkan ketegangan dan kesakitan yang dialami di bahagian pinggang terutama ketika mengangkat dan menjaga bayi.
- Memperbaiki Postur: Ikatan bengkung membantu memperbaiki postur tubuh ibu selepas bersalin, mengelakkan masalah seperti sakit belakang dan bahu yang tegang.
- Mempercepatkan Penurunan Berat Badan: Walaupun tiada bukti kajian, penggunaan bengkung dipercayai dapat membantu proses penurunan berat badan selepas bersalin dengan menyokong bentuk semula jadi badan.
Bila Boleh Pakai Bengkung Selepas Bersalin Czer?
Waktu Sesuai Pakai Bengkung Selepas Bersalin Czer
Bengkung tidak boleh digunakan jika luka bersalin czer belum sembuh. Biasanya ia mengambil masa kira-kira 6 hingga 8 minggu selepas anda bersalin.
Pemakaian bengkung yang terlalu awal boleh meningkatkan risiko jangkitan dan menghalang proses penyembuhan yang betul.
Cara Pemakaian Bengkung Czer
- Bengkung untuk bersalin czer lebih elok dipakai selepas badan disapu param supaya badan lebih panas untuk kesan yang lebih baik.
- Bengkung yang berlilit-lilit bersimpul segala bagai tu sebenarnya lebih elok dari bengkung korset. Cara yang betul pakai bengkung adalah semasa berbaring.
- Tapi hati-hati dengan kawasan luka bersalin czer. Selagi luka czer belum kering, elakkan dari pakai bengkung metutup bahagian luka sebab takut kulit berpeluh dan luka boleh terkena infection
Berapa Lama Perlu Pakai Bengkung Selepas Bersalin?
Tempoh yang disyorkan untuk memakai bengkung selepas bersalin bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis proses bersalin, tahap pemulihan individu, keselesaan dan keperluan ibu.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan umum yang boleh diambil kira:
- Bersalin Normal: Bagi ibu bersalin normal, amalan memakai bengkung selepas bersalin biasanya boleh dimulakan dalam tempoh beberapa hari selepas bersalin. Anda disyorkan menggunakannya selama lebih kurang 6 hingga 8 minggu, dengan konsisten setiap hari.
- Bersalin Czer (Pembedahan Caesarean): Bagi ibu bersalin czer, anda perlu menunggu sehingga luka pembedahan sembuh sepenuhnya, iaitu lebih kurang 6 hingga 8 minggu selepas pembedahan sebelum mula menggunakan bengkung. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum guna bengkung czer.
Benarkah Bengkung Bantu Kurangkan Berat Badan?
Bengkung, dalam konteks tradisi Melayu selepas bersalin, tidak terbukti dapat membantu dalam penurunan berat badan. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada penurunan berat badan iaitu dengan:
- Pertama, penggunaan bengkung bersaln memberikan sokongan yang baik kepada perut dan pinggul selepas bersalin. Ini boleh mempengaruhi postur tubuh dan aktiviti harian. Sebagai contoh, sokongan yang diberikan oleh bengkung mungkin membuatkan ibu berasa kurang lapar atau makan berlebihan.
- Kedua, penggunaan bengkung selepas bersalin boleh menggalakkan ibu menjadi lebih aktif secara fizikal. Lilitan biasanya membuat pergerakan lebih terhad, dan dalam beberapa kes, ibu mungkin melakukan aktiviti dengan lebih perlahan dan berhati-hati. Ini boleh meningkatkan jumlah kalori yang dibakar dalam sehari.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa penggunaan bengkung bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi penurunan berat badan.
Pemakanan yang seimbang dan aktif bersenam juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan berat badan yang sihat.
Bengkung Tidak Sesuai Untuk Semua
Meskipun bengkung dipercayai memiliki banyak manfaat untuk ibu selepas bersalin, ada beberapa situasi di mana penggunaannya tidak sesuai bagi sesetengah wanita.
Berikut adalah beberapa keadaan di mana bengkung selepas bersalin mungkin tidak sesuai untuk anda:
- Komplikasi Bersalin: Jika ibu mengalami komplikasi semasa bersalin seperti pendarahan berlebihan, jahitan terbuka, atau masalah kesihatan lain, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mula pemakaian bengkung.
- Masalah Kulit: Ibu yang mempunyai masalah kulit seperti luka terbuka, ruam kulit yang teruk, atau reaksi alahan terhadap bahan yang digunakan dalam bengkung perlu berhati-hati atau mengelak daripada menggunakan bengkung.
- Masalah Pernafasan: Menggunakan bengkung yang terlalu ketat mungkin tidak selesa atau berisiko bagi individu yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma atau penyakit paru-paru.
- Proses Pemulihan Berbeza: Setiap ibu mempunyai proses pemulihan yang berbeza selepas bersalin. Sesetengah mengalami pemulihan yang cepat dan lancar, manakala yang lain mungkin memerlukan lebih banyak masa dan sokongan perubatan.
Kesimpulannya, bengkung selepas bersalin merupakan amalan pantang tradisional Melayu yang bukan sahaja membantu pemulihan fizikal ibu selepas bersalin, malah membawa pelbagai manfaat kesihatan.
Walaupun amalan ini kelihatan kuno, ia masih dikekalkan dan diamalkan oleh ramai ibu sehingga ke hari ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Kerja Rumah Selepas Bersalin Yang Perlu ELAK, Waktu Berpantang Ibu Kena Rehat Secukupnya
Baca juga: Menu Berpantang 44 Hari Simple, Sedap & Mudah Dimasak Untuk Ibu Selepas Bersalin
Baca juga: Makanan Orang Berpantang Czer & Normal: Panduan Pemakanan & Nutrisi Untuk Cepat Sembuh