Sedang anda melihat telatah anak anda, anda nampak sebatang gigi kecil tumbuh dari gusinya. Anda mungkin akan berasa teruja kerana ia adalah tanda si manja membesar dengan sihat. Walau bagaimanapun, tahukah anda gigi si manja juga perlu dijaga dengan rapi? Ya, ibu dan ayah perlu mula gosok gigi bayi!
Kebersihan mulut bayi penting dalam proses tumbesaran mereka kerana jika tidak dijaga dengan elok, berkemungkinan anak akan ada kesukaran ketika bercakap dan mengunyah. Tetapi, anda pasti keresahan kerana tidak tahu hendak mula dari mana, kan? Ya lah, gigi hanya ada sebatang sahaja!
Jangan risau! Kami akan bantu anda dengan tips-tips membersihkan dan memberus gigi pertama anak anda!
Tips Termudah Untuk Gosok Gigi Bayi
Foto: iStock
#1. Gusi bayi
Sebelum gigi anak anda tumbuh, anda boleh menjaga kebersihan gusi anak anda. Gunakan kain lembap yang lembut untuk lap gusi anak anda (boleh juga gunakan kain kasa/gauze), sekurang-kurangnya dua kali sehari. Lap gusi anak anda, terutamanya selepas makan dan sebelum tidur. Dengan cara ini, anda boleh membuang bakteria-bakteria yang melekat di bahagian gusi. Bakteria ini mampu merosakkan gigi anak anda, jadi anda perlu melakukan pembersihan dengan kerap dan segera!
#2. Gigi bayi
Gigi anak anda sudah tumbuh, jadi anda boleh mula menggunakan berus gigi. Pastikan anda memilih berus gigi yang betul, iaitu berus gigi yang mempunyai berus lembut, kepala kecil dan pemegang yang besar. Terdapat juga berus gigi bayi yang anda boleh sambungkan pada jari anda untuk lebih memudahkan proses pembersihan gigi dan gusi bayi.
Ketika gigi anak anda masih hanya menampakkan cambah ala-ala anak pokok, anda hanya perlu lembapkan berus gigi tersebut. Apabila gigi anak anda sudah tumbuh sepenuhnya, anda boleh menggunakan ubat gigi yang bersaiz sebesar sebutir beras. Berus gigi anak anda secara lembut.
Gigi Bayi yang Sihat
Foto: iStock
Leganya dah tahu macam mana nak berus gigi anak! Sekarang ni hanya perlu kekalkan komitmen terhadap kebersihan oral mereka sahaja! Tetapi, jangan risau. Semakin anak anda membesar, mereka akan lebih mudah faham tentang kepentingan kebersihan oral jika anda telah menerapkan tabiat ini sejak kecil.
Mari kami kongsikan beberapa tips yang boleh anda amalkan untuk menerapkan kefahaman pembersihan oral kepada anak anda supaya mereka tidak akan culas untuk menggosok gigi.
- Anda perlu mulakannya dulu
Kanak-kanak akan banyak mengikut perangai dan tabiat orang dewasa di sekeliling mereka, jadi jika anda hendak menggalakkan anak anda untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi mereka, ia harus bermula dari diri anda. Cubalah anda menggosok gigi bersama si manja pada setiap malam sehingga ia menjadi rutin untuk anda dan anak.
- Jangan memomokkan anak dengan cerita-cerita doktor gigi
Kita seringkali akan menakutkan anak-anak dengan nama doktor gigi. “Kalau tak gosok dan gigi rosak, nanti ibu bawa kamu ke doktor gigi!” Ini akan membuatkan si manja berfikir bahawa doktor gigi = jahat dan menakutkan. Sebaliknya, anda boleh berkata, “Kalau awak jaga gigi baik-baik, nanti doktor gigi pasti akan gembira dan bangga dengan awak!” Nah, kanak-kanak manalah yang tidak sukakan pujian?
- Menggunakan ubat gigi berperisa kegemaran mereka
Foto: iStock
Ubat gigi kanak-kanak mempunyai banyak perisa; strawberi, oren, anggur dan macam-macam lagi! Ketahui perisa ubat gigi yang anak anda suka untuk menggalakkan mereka menggosok gigi. Kanak-kanak akan lebih mudah terpukul untuk melakukan sesuatu apabila ia melibatkan perkara yang mereka gemari.
- Bercerita tentang keburukan kerap makan manis
Ibu bapa perlu sentiasa berjaga-jaga dan elakkan dari memberi anak gula-gula, minuman berkandungan gula yang tinggi dan sebagainya untuk mengelakkan tumbuhan bakteria di dalam mulut kerana bakteria memakan gula tersebut untuk merembeskan asid yang menyerang gigi bayi. Ibu dan ayah boleh memomokkan cerita tentang makanan manis kepada anak-anak supaya mereka akan kurang hendak meminta gula-gula dan coklat dari anda.
Dengan itu, kami harap anda akan gunakan tips-tips ini sebaik mungkin untuk menjaga kebersihan mulut bayi anda dan melindungi gigi mereka dari bakteria, kaviti dan plak!
Selamat maju jaya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Grow by WebMD
Baca juga: Karies Gigi Boleh Terjadi Walaupun Kerap Gosok Gigi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!