Hari Kanak Kanak Sedunia disambut setiap 20 November sebagai inisiatif global oleh PBB untuk memfokuskan hak, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak. Tahun 2024 mengingatkan kita tentang pentingnya peranan masyarakat dalam membentuk masa depan generasi muda.
Apa Itu Hari Kanak Kanak Sedunia?
Hari Kanak-Kanak Sedunia atau Universal Children’s Day, adalah hari khas yang disambut setiap 20 November. Hari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang hak kanak-kanak, kesejahteraan mereka dan kepentingan membina dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Sambutan ini diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1954.
Malaysia juga telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak pada tahun 1995 untuk memajukan hak serta kebajikan kanak-kanak di negara ini.
Sejarah Penganjuran
Hari Kanak Kanak Sedunia bermula dari Persidangan Dunia untuk Kesejahteraan Kanak-Kanak yang diadakan di Geneva, Switzerland pada tahun 1925.
Sebagai hasil daripada perhimpunan tersebut, 1 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Walau bagaimanapun, sebab mengapa tarikh 1 Jun dipilih tidak dapat dipastikan dan kini, banyak negara menyambutnya pada tarikh yang berbeza.
Di beberapa negara, sambutan ini diadakan sebagai Minggu Kanak-Kanak, bukannya hanya pada satu hari. Selama lebih daripada seratus tahun, pelbagai negara menyambut Hari Kanak-Kanak pada waktu yang berbeza.
Sebagai contoh, Argentina dan Chile menyambutnya pada Ahad minggu kedua bulan Ogos. Di negara jiran kita, Indonesia merayakan pada 23 Julai, Singapura pada 1 Oktober dan Thailand pada Sabtu kedua bulan Januari.
Sambutan Hari Kanak-Kanak di Malaysia
Hari Kanak Kanak Sedunia pertama kali disambut di Malaysia pada 8 Oktober 1959 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Pada mulanya, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) bertanggungjawab menganjurkan sambutan ini dari tahun 1960 hingga 1994.
Sejak 1995, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) mengambil alih tugas tersebut.
Tarikh Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia
Hari Kanak-Kanak Sedunia di Malaysia kini biasanya disambut pada bulan Oktober atau 20 November setiap tahun. Berikut adalah tarikh sambutan tahun-tahun lalu:
- 2020 – 17 Oktober
- 2021 – 16 Oktober
- 2022 – 28 November
- 2023 – 20 November
Tema Sambutan Hari Kanak-Kanak
- 2024: Menginspirasi Melalui Pembelajaran
- 2023 : Hak Kami, Masa Depan Kami
- 2022 : Keterangkuman dan Kepelbagaian, Untuk Setiap Kanak-Kanak
- 2021 : Anak Kita Masa Depan Kita
Aktiviti Menarik Yang Boleh Dianjurkan
Tahun ini, jadikan sambutan lebih bermakna dengan aktiviti-aktiviti kreatif dan menyeronokkan yang bukan sahaja menggembirakan si kecil, tetapi juga membantu perkembangan mereka.
1. Bengkel Seni Kreatif
Kanak-kanak suka mencuba sesuatu yang baru, jadi anjurkan bengkel seni seperti:
2. Melukis Mural Di Sekolah Atau Taman
DIY kraftangan seperti membuat gelang persahabatan, hiasan kad ucapan atau boneka tangan. Aktiviti ini membantu mereka mengembangkan kreativiti dan koordinasi tangan-mata.
3. Pertandingan Mini Sukan
Beri peluang kepada kanak-kanak untuk aktif melalui:
- Larian tiga kaki (three-legged race).
- Boling botol plastik menggunakan botol kitar semula.
Aktiviti ini mengajar nilai kerja berpasukan dan semangat kesukanan.
4. Persembahan Bakat Anak-Anak
Berikan peluang kepada si kecil untuk bersinar di pentas dengan:
- Persembahan nyanyian
- Tarian
- Sketsa pendek
Anjurkan secara santai dan berikan hadiah kecil sebagai motivasi.
5. Aktiviti Membaca & Berkongsi Cerita
Galakkan minat membaca untuk membantu memperkaya kosa kata dan daya imaginasi.
- Maraton membaca buku cerita kegemaran mereka.
- Sesi berkongsi cerita tentang impian dan cita-cita mereka.
6. Projek Kitar Semula
Ajarkan kanak-kanak tentang penjagaan alam sekitar melalui aktiviti seperti membuat mainan daripada bahan terpakai.
Contoh: Bot kertas daripada surat khabar lama atau celengan daripada botol plastik.
7. Pesta Permainan Tradisional
Perkenalkan mereka kepada permainan lama yang seronok seperti congkak, gasing atau lompat getah.
Aktiviti ini memperkenalkan warisan budaya dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
8. Hari Bertemakan Kerjaya
Kanak-kanak boleh datang dengan pakaian kerjaya impian mereka seperti doktor, bomba atau angkasawan.
Kepentingan Menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia
1. Meningkatkan Kesedaran Hak Kanak-Kanak
Hari ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak kanak-kanak seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan.
2. Menggalakkan Sokongan Komuniti
Ia mengingatkan kita tentang pentingnya komuniti yang saling menyokong untuk memastikan kanak-kanak mendapat peluang sama rata dalam pelbagai aspek kehidupan.
3. Menekan Isu Global
Sambutan ini memberi fokus kepada isu global seperti kanak-kanak pelarian, kelaparan dan kekurangan akses kepada pendidikan.
Apa Yang Boleh Ibu Ayah Lakukan Untuk Menyokong Kanak-Kanak?
- Sokong Dasar-dasar Yang Melindungi Kanak-Kanak: Terlibat dalam kempen yang menyokong undang-undang untuk melindungi hak kanak-kanak.
- Berikan Pendidikan yang Baik: Pastikan setiap kanak-kanak, terutamanya yang kurang berkemampuan, mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.
- Sertai Aktiviti Yang Memperkasakan Kanak-Kanak: Sama ada dengan menjadi sukarelawan atau mengajar, ada banyak cara untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak di sekitar kita.
Hari Kanak-Kanak Sedunia adalah peluang untuk kita semua menghargai dan melindungi masa depan generasi muda. Kanak-kanak adalah aset berharga yang akan menentukan arah tuju dunia pada masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak mereka dilindungi dan kebajikan mereka terjamin.
Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pakaian Tema Retro Kanak-Kanak: Idea Kreatif Dan Fesyen Yang Menawan Untuk Anak Anda!
Baca juga: Tingkah Laku Anak Berubah Mungkin Disebabkan Gangguan Mental, Ibu Sila Alert Masalah Ini!
Baca juga: 20+ Tempat Menarik Untuk Sambut Hari Kanak-Kanak Bersama Anak Anda!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!