Kebanyakkan ibu berhenti menyusu selepas menghadapi banyak masalah dan cabaran ketika menyusu seperti mastitis payudara, puting retak dan lain-lain lagi.
Penyusuan susu ibu sering digambarkan sebagai pengalaman yang indah dan senang. Kita selalu lihat gambar ibu yang sedang senyum sambil menyusu, ataupun gambar ibu yang dikurniakan dengan bekalan susu badan yang banyak. Tapi hakikatnya, pengalaman menyusu bukannya selalu glamor sangat untuk sesetengah ibu.
Sebelum menulis apa-apa, ibu ini telah berkongsi gambar payudaranya yang bengkak dan merah, supaya ibu boleh lihat sendiri rupanya mastitis payudara.
Mastitis payudara : Susu ibu lambat masuk
Mastitis payudara berlaku apabila saluran susu payudara ibu tersekat. Tetapi disebabkan kurang pengetahuan dan tidak mempunyai sokongan yang secukupnya, ibu ini terpaksa mengharungi komplikasi menyusu lain juga.
Oleh itu, ibu ini bertekad untuk memberi fokus kepada realiti pengalaman menyusu bagi meningkatkan kesedaran dan membantu ibu-ibu lain.
“Kini, selepas genap 1 tahun menyusu, saya bersedia untuk berkongsi pengalaman saya sendiri. Menyusu bukan perkara yang mudah untuk saya. Susu saya hanya masuk selepas 5 hari,” tulisnya di Instagram, “dan pada masa itu saya tidak tahu susu saya akan lambat masuk.”
Di dalam wad, hanya dia seorang sahaja yang menyusu selepas bersalin. Ibu-ibu lain semua tidak dapat membantunya.
“Saya melihat bayi-bayi lain semuanya kenyang dan tidur dengan nyenyak. Anak saya seorang sahaja yang menangis kelaparan walaupun menghisap payudara saya sepanjang malam.”
Mastitis payudara : Sepsis payudara
Selepas pulang ke rumah keadaan ibu itu bertambah teruk. Walapun putingnya retak, dia masih cuba untuk menyusu.
“Saya belum pernah mengalami rasa sakit yang begitu teruk. Setiap kali tiba masa untuk menyusu, saya akan rasa takut. Tetapi demi anak, saya tabahkan hati dan terus menyusu sambil menangis sehingga puting saya pulih. Tidak ada orang yang menunjukkan cara yang betul untuk menyusu. Saya langsung tidak tahu kalau bayi saya mempunyai latching yang betul,” tulisnya lagi.
Apabila keluar dengan bayinya, dia hanya akan menyusukan anak di tandas atau memberi susu yang telah dipam keluar. Dia rasa malu untuk menyusu di depan orang dan tidak mahu orang lain rasa kurang selesa.
Inilah yang telah mendorong ibu itu untuk mendapat mastitis payudara.
“Saya masih ingat saya telah bangun malam-malam buta sambil menggigil kesejukkan,” tulisnya.
Akhirnya dia terpaksa di hantar ke hospital kerana muntah dan demam yang tidak reda. Rupa-rupanya payudara ibu itu telah sepsis. Ibu itu tidak mendapat bantuan awal kerana tidak tahu tanda-tanda awal mastitis.
Mastitis payudara : kurang sokongan untuk ibu menyusu
Sebenarnya ramai wanita kekurangan sokongan dan pendidikan mengenai penyusuan. Ramai yang langsung tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai penyusuan susu ibu.
Misalnya, apakah itu cluster feeding? Bagaimana rupanya latching yang betul? Apakah posisi menyusu yang sesuai untuk ibu dan bayi? Apakah cabaran yang bakal diharungi oleh ibu menyusu?
Bagaimana ibu boleh mengenali tanda-tanda mastitis payu dara dan apakah caranya yang betul untuk mengatasi masalah ini?
Jangan mengandaikan menyusukan anak adalah sesuatu yang senang dan biasa untuk semua ibu. Apabila ibu tidak diberi sokongan yang secukupnya, maka tidak hairanlah mengapa ramai juga yang putus asa sebelum mencuba.
Menyusukan anak TIDAK semudah yang anda fikirkan. Ia adalah kemahiran yang memerlukan ajaran dan bimbingan. Untuk sesetengah ibu, menyusu mungkin bukan kemahiran semula jadi.
Oleh itu cuba beri sokongan kepada mereka yang menyusu. Berikan dorongan dan galakkan ibu-ibu baru untuk menimba ilmu mengenai penyusuan seperti: kursus penyusuan, forum-forum ibu menyusu dan jangan rasa segan atau takut untuk bertanya soalan.
Ataupun ajaklah mereka untuk menyertai Komuniti Ibu Menyusu kami. Tingkatkan kesedaran mengenai penyusuan supaya orang ramai tidak melihat menyusu sebagai perbuatan yang berunsur seks.
Jika ibu-ibu mempunyai semua sokongan di atas, saya rasa lebih ramai akan memilih untuk menyusukan anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Popsugar
Baca juga:
5 soalan yang sering ditanya tentang menyusu bayi baru lahir – ini penjelasan Dr pakar