Lepas balik kerja, pin tudung pun belum sempat buka, isteri terus berlari ke dapur keluarkan barang-barang nak masak dari peti sejuk. Sambil itu, dijeling jam dinding rumah takut tak sempat nak si isteri memasak sebelum suami balik.
Tugas dia tak henti setakat itu saja. Ada lagi tugas kena kemas rumah dan layan karenah anak yang mungkin tengah menangis ketika itu. Fuh, boleh bayang tak betapa penatya dia?
Selesai saja isteri memasak, bunyi kereta enjin suami berhenti depan rumah sebagai tanda suami sudah pulang dari kerja. Tepat jam lapan malam, pasangan suami isteri ini pun menikmati juadah makan malam yang telah siap dimasak oleh si isteri tadi. Tapi tiba-tiba si suami pula boleh cakap begini.
“Eh, kenapa masak lemak awak ini macam kurang garam”. atau ” Nasi awak masak ini macam lembik saja!”
Terus sentap hati si isteri. Siapa yang tak sakit hati kan kalau suami bagi complaint macam ini? Bukan nak ucap terima kasih atau menghargai, tapi boleh pula dia komen sana sini. Ini boleh bikin marah!
Dengan sakit hati dan sebal, isteri pun jawab ” Tak nak makan sudah, buang saja!
Isteri memasak, kenapa suami susah sangat nak puji?
Kasihan si isteri, penat dia masak tapi suami sedikit pun tak jamah. Ada juga yang buka tudung saji pun tidak!
Inilah yang ingin dipesan pada para suami sekalian, sekalipun anda sudah kenyang dari balik kerja, cubalah jamah sedikit masakan isteri itu. Ambil hati dia.
Anda tahu tak masak ini sebenarnya penat? Mana nak kupas kulit bawang, giling cili, buat santan dan sebagainya lagi. Semuanya memerlukan masa yang agak lama tapi anda encik suami sewenangnya cakap tak sedap! Nanti dia tak masak baru tahu.
Kalau sudah kenyang sekalipun, jangan cakap direct. Cuba jaga hati isteri itu sikit. Susah ke?
Setiap kali dia masak, cubalah puji sikit, barulah dia rasa seronok dan dihargai. Sekaligus hilang rasa penat isteri memasak itu.
Esok lusa mesti dia akan perbaiki dari segi “rasa” masakannya nanti. Paling tidak dia sudah berusaha untuk masak buat suami tercinta.
Jika isteri memasak, cuba bagi idea apa anda nak makan
Isteri ini sebelum dia mula masak, mesti dia tanya encik suami nak makan apa, kan? Ha… time inilah anda boleh cadangkan untuk dia sekaligus bantu dia mencari idea masakan yang menarik.
Jangan pula cakap “tak kisah apapun abang okey saja”. Nanti dia masak tak kena selera, anda juga marah, kan?
Jadi bila dia tanya, cuba bagi tahu spesifik nak makan apa supaya kerja memasak dia jadi lebih mudah dan cepat.
Isteri memasak di dapur, tolong-tolonglah bantu dia
Kebanyakan isteri zaman sekarang semuanya bekerja jadi adalah bagus jika anda meluangkan masa di dapur dengan membantu isteri memasak.
Bayangkan dia juga penat bekerja seperti kalian tapi pulang ke rumah kerja lain pula menanti. Jadi tak salah untuk anda ringankan tugas memasak dia dengan bantu potong bawang ke, potong cili ke atau basuh sayur ke.
Pasti dia rasa lebih seronok dan dihargai walaupun hanya bantuan kecil daripada suaminya itu.
Tips ambil hati isteri tanpa belanja besar
- Jika isteri memasak, suami tolong basuh pinggan.
- Isteri basuh baju, suami tolong sidaikan.
- Isteri lipat baju, suami tolong kemas dalam almari
- Tolong basuh kereta isteri.
- Sesekali belikan hadiah buat isteri.
- Ungkapkan kata cinta pada isteri setiap hari.
- Hindari buat sesuatu perkara yang isteri tak suka.
- Bawa isteri berjalan atau bercuti ke tempat yang dia belum pernah pergi.
- Buat kejutan seperti sambutan ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.
- Akhir sekali, berikan pujian setiap kali isteri masak atau berlawa semata-mata buat suami tercinta.
Selamat mencuba menang hati isteri ya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Pesona Pengantin, Amir Syahir
Baca juga: Akibat nak dilihat perfect, akhirnya wanita ini alami stres melampau! Baca perkongsiannya…