Isu keganasan rumah tangga bukan masalah yang baharu. Namun ia kerap dilaporkan berlaku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini yang berpunca daripada pelbagai sebab.
Ada pasangan diuji ketika kehilangan kerja dan masalah pendapatan, ada juga berdepan ujian dengan sikap panas baran suami sewaktu bekerja dari rumah.
Isu keganasan rumah tangga, suami naik angin tiada hidangan sarapan pagi
Hanya kerana tidak menyediakan sarapan pagi untuknya, seorang lelaki telah mengamuk dan bertindak mengurung isterinya di dalam rumah. Menurut laporan Astro Awani, kejadian tersebut berlaku di sebuah pangsapuri dekat Bandar Bukit Tinggi, Klang dua hari yang lalu.
Ketika sekitar jam 7.15 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun berkata kepala dan badannya telah ditolak oleh suami sehingga menyebabkan dia terjatuh. Hasil keterangan dari Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Shamsul Amar berkata, mangsa kemudiannya telah dikunci dari dalam rumah.
Telefon bimbitnya telah dirampas oleh suspek berusia 28 tahun berkenaan bagi menghalang isteri menghubungi orang lain.
Seterusnya, mangsa berjaya meminta bantuan dari jiran hadapan rumah untuk menghubungi pihak polis. Dia kemudiannya dapat keluar dari kediaman berkenaan selepas anggota polis datang ke rumah dan membawanya ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.
”Sepasukan anggota polis telah berjaya memberkas suspek di rumah yang sama pada jam 5.15 petang. Siasatan awal mendapati dia mengaku terlibat dalam kes itu,” katanya.
Hasil semakan polis turut mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas permohonan reman di Mahkamah Klang, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Statistik isu keganasan rumah tangga meningkat sepanjang PKP
Lebih kurang 902 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan dalam tempoh Januari hingga April 2021, dengan dorongan pelbagai faktor khususnya kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun menjelaskan kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak di luar kawalan, mencederakan pasangan atau ahli keluarga.
”Sepanjang Januari hingga Disember 2020 yang lalu, pihak PDRM telah membuka kertas siasatan sebanyak 5,260 kes melibatkan isu keganasan rumah tangga, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM dalam tempoh yang sama, sebanyak 2,540 aduan mengenai keganasan rumah tangga telah diterima.”
”Catatan kes sebanyak 902 pada awal empat bulan pertama bagi tahun 2021 ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak,” jelasnya.
Inisatif kerajaan bagi mengatasi isu keganasan rumah tangga
Bagi menangani masalah ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengambil langkah dengan menjadikan masjid sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga bagi melindungi golongan wanita dan mewujudkan komuniti yang prihatin terhadap apa yang berlaku di persekitaran.
Sebanyak 14 buah masjid di Kuala Lumpur telah terbabit dalam projek rintis ini bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga. Difahamkan dua daripadanya dijadikan sebagai pusat transit, manakala selebihnya berfungsi sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling.
Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah mengambil inisiatif awal dngan membangunkan modal bersesuaian sebagai rujukan pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit berkenaan kelak.
Modul Skuad WAJA (Wanita Anti Jenayah) dibangunkan untuk memberi fokus terhadap penyampaian ilmu dan kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga, komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya.
Mangsa akan ditempatkan sementara waktu di sini sementara menunggu perintah mahkamah untuk dibawa ke pusat perlindungan wanita yang telah diwartakan. Mereka juga diberikan kit persalinan yang terdiri baju, seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita lain.
Sekiranya anda atau orang di sekeliling mengalami konflik rumah tangga, salurkan aduan di Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019261 5999. Talian bebas tol ini beroperasi 24jam.
Sumber: Astro Awani, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Walaupun Dilayan Buruk Suami, Ramai Isteri Tidak Sanggup Bercerai Kerana Alasan Anak-Anak