Jari terkepit pintu adalah salah satu kemalangan yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak.
Kalau tak terkepit pintu rumah, mesti terkepit pintu kereta. Betul tak? Saya pasti ada di antara para pembaca sendiri pun pernah mengalaminya semasa kecil.
Bergantung kepada berapa parah kecederaan yang dialami, kecederaan dari jari terkepit mungkin boleh beri kesan buruk sepanjang hidup mangsa kanak-kanak, ulas pakar pembedahan plastik.
Menurut Persatuan Pakar Bedah Plastik dan Pembedahan Pembentukan Semula British (BAPRAS), dalam kes kecederaan yang teruk, jari kanak-kanak itu mungkin akan dipotong dan ada yang mengalami kesakitan dalam masa yang lama.
Kredit: The Sun
30,000 kes cedera akibat jari terkepit
Kira-kira 30,000 kanak-kanak terlibat dalam kemalangan jari terkepit pada pintu setiap tahun dan lebih dari 1,500 terpaksa menjalankan pembedahan.
Jumlah ini dipetik dari Royal Society for the Prevention of Accidents di Britain yang turut mengatakan kira-kira 2 juta kanak-kanak di bawah 15 tahun mengalami kemalangan di rumah setiap tahun sehingga memerlukan pertolongan cemas.
Antara jenis-jenis pintu yang sering dikaitkan dengan kecederaan jari kanak-kanak terkepit adalah:
- pintu keselamatan api yang boleh tutup sendiri,
- pintu kereta, dan
- engsel pintu
Gunalah pelindung engsel pintu
Doktor pakar menyarankan ibu bapa memasang span keselamatan berbentuk “C” untuk semua pintu-pintu di rumah supaya ia tertutup dengan sendiri dan menyebabkan kemalangan yang tidak diingini.
Tetapi peranti jenis ini tidak sesuai untuk pintu kecemasan api.
Pelindung engsel juga boleh dipasang pada setiap pintu dan adalah lebih berkesan dari span yang berbentuk “C”.
Jenis-jenis pelindung keselamatan engsel pintu. Sumber gambar dari Clippasafe dan Pezcame.Com
Anna De Leo, seorang pakar bedah plastik dari Royal Free Hospital di London berkata kecederaan jari tidak patut dipandang ringan.
“Kadang-kadang kecederaan ini begitu serius hingga perlu menjalani temujanji klinik, imbasan sinar-X, pembedahan, serta latihan fisioterapi susulan.“
Sesetengah kecederaan adalah kecederaan jangka panjang dan kebanyakkan individu selalu lupa betapa pentingnya jari tangan untuk melakukan tugas harian.
“Kecederaan pada jari dan tangan boleh memberi kesan pada cara seseorang mengikat tali kasut, menaip dan memegang telefon bimbit.
Tugas untuk makan juga akan menjadi lebih mencabar.
Kecederaan jari bukan sahaja mengakibatkan hilang kekuatan tangan sebanyak 20%, malah ia juga boleh menghalang individu daripada mengejar kerjaya pilihan,” katanya.
Kisah jari terkepit dan cedera parah
Jane baru berusia 3 tahun, dan sedang bermain dengan abangnya. Tiba-tiba, hujung jari kanan Jane telah terkepit hingga hampir putus.
Ibunya pantas membawa beliau ke hospital dengan hujung jarinya yang hampir terputus.
Jane diberi 9 jahitan untuk menyambung jarinya semula tapi akhirnya jari itu tidak dapat diselamatkan.
****
Saya sendiri pernah mengalami kemalangan di sekolah rendah di mana jari saya terkepit pada engsel pintu apabila seorang rakan telah menutup pintu kelas dari dalam.
Jari dan kuku jari saya luka teruk dan kawasan luka pada jari telahpun meradang.
Akhirnya seluruh kuku jari itu mati, berwarna hitam, dan tertanggal. Setiap malam ibu akan mencuci luka itu dan nasib baiklah tiada kesan yang begitu jelas pada jari saya.
Beberapa bulan kuku jari saya tidak rata dan sehingga ke hari ini, jari itu rasa sedikit kaku dan dapat dirasakan terutama semasa saya menaip.
Kemalangan lain yang kerap berlaku di rumah
- Terjatuh dari tempat yang tinggi, terbakar dan terlecur adalah diantara kecederaan yang paling teruk
- Kebanyakan kemalangan sering berlaku di dapur dan di kawasan tangga
- Kanak-kanak yang berumur kurang dari 4 tahun paling terdedah kepada kemalangan
- Kanak-kanak lelaki lebih kerap cedera berbanding dengan kanak-kanak perempuan
- Keracunan, tercekik, sesak nafas, insiden berkaitan kaca dan pencekupan juga biasa
Ibu bapa perlu memastikan rumah mereka selamat dengan memasang peralatan-peralatan keselamatan serta memantau kegiatan anak supaya tidak berlakunya kemalangan.
Pastikan setiap keluarga mempunyai peti pertolongan cemas yang lengkap dan ibu bapa telahpun menjalankan kursus pertolongan cemas.
Malang tidak berbau dan adalah lebih baik bersedia untuk apa sahaja.
Kanak-kanak memang suka bersikap ingin tahu, jadi pastikan rumah anda bebas bahan-bahan yang merbahaya dan adalah selamat untuk keluarga.
Sumber: BBC
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Bayi 3 Bulan Lemas Gara-Gara Headband Yang Dipakaikan Ibu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!