Mungkin ada ibu hamil yang tertanya-tanya, adakah selamat untuk mereka bersauna ketika sedang berbadan dua. Umum mengetahui banyak kebaikan sauna, namun adakah aktiviti ini selamat bagi wanita mengandung?
Bila sebut sahaja mengenai sauna, pasti sudah terbayang keadaan berpeluh-peluh dan kepanasan tetapi menyihatkan. Bagi mereka yang menggemarinya sudah pasti rasa teruja dan tidak sabar untuk mengunjunginya.
Sauna boleh dianggap sebagai satu tempat terbaik untuk menenangkan diri dan menghilangkan stres sambil mengeluarkan peluh. Namun begitu untuk ibu hamil, ada yang beranggapan bahawa ia agak berbahaya dan berisiko. Betulkah persepsi tersebut atau adakah ia sebenarnya mitos yang tidak perlu anda percaya?
Adakah selamat menggunakan sauna semasa mengandung?
Persoalan mengenai sama ada aktiviti bersauna selamat untuk dilakukan oleh ibu hamil masih menjadi perdebatan dalam kalangan pakar perubatan.
Ada yang menganggap bahawa ia tidak berisiko, malah ada juga beranggapan sebaliknya. Sesetengah pakar perubatan mengizinkan ibu hamil untuk bersauna dalam waktu yang sekejap iaitu kurang 15 minit, namun ada juga yang menolak pandangan itu dan menyaran untuk tidak melakukannya langsung.
Kepanasan yang melampau dan berterusan mungkin menjadi kebimbangan paling utama buat wanita hamil yang ingin bersauna. Meskipun haba yang dikeluarkan boleh membuatkan ibu terasa lebih tenang, namun ia mungkin tidak begitu selamat untuk bayi dalam kandungan.
Ini kerana, bayi dalam kandungan masih belum dapat mengawal suhu badan mereka dan seterusnya gagal ‘melawan’ haba sauna yang melampau.
Risiko sauna buat ibu hamil
Ada beberapa risiko sauna kepada ibu hamil. Ia termasuklah:
#1. Kecacatan otak janin
Untuk peringatan para ibu, kajian menunjukkan bahawa sesetengah bayi yang terdedah kepada suhu tinggi seperti di sauna ketika di trimester pertama berisiko mengalami komplikasi serius pada otak atau saraf tunjang.
#2. Keguguran
Selain itu, pendedahan kepada haba melampau juga boleh menyumbang kepada keguguran atau kecacatan kelahiran.
#3. Dehidrasi
Untuk ibu mengandung itu sendiri, penggunaan sauna boleh menyebabkan suhu badan meningkat terlalu tinggi dan berisiko mengalami dehidrasi.
Apakah itu sauna?
Sauna merupakan satu bilik kecil yang diperbuat atau dilapisi dengan kayu yang menghasilkan haba kering dengan kelembapan yang sangat rendah iaitu antara 10 peratus hingga 20 peratus. Bilik sauna biasanya berada pada suhu antara 70 hingga 90 darjah celsius.
Sauna juga boleh meningkatkan suhu kulit sehingga kira-kira 40 darjah celcius atau 104 darjah celcius. Dengan meningkatnya suhu kulit, maka anggota badan manusia akan mengeluarkan peluh.
Apakah kelebihan menggunakan sauna?
Aktiviti bersauna boleh membuatkan badan seseorang berasa lebih tenang dan ringan. Ia boleh membantu menghilangkan stres, membuatkan tubuh terasa lebih segar serta berupaya mengeluarkan racun-racun yang terkumpul dalam badan.
Peluh yang keluar hasil daripada berada di dalam sauna juga boleh membuatkan seseorang itu terasa lebih puas dan melegakan, ibarat berjogging di luar.
Selain itu, kelebihan sauna juga adalah ia dikatakan boleh membantu mengurangkan kesakitan otot. Peningkatan peredaran darah dipercayai dapat membantu mengurangkan kesakitan otot, selain dapat memperbaiki pengerakan sendi dan mengurangkan sakit arthritis.
Haba yang merangsang endorfin juga memberikan kesan baik kepada kesakitan, sekaligus membantu mempercepatkan proses penyembuhan semula jadi.
Berikut merupakan kelebihan sauna lain yang perlu anda ketahui:
- Membantu membersihkan kulit – Dengan peluh yang keluar hasil daripada aktiviti sauna, kulit akan menjadi bersih dan sel kulit mati juga akan diganti.
- Mengurangkan tekanan darah – Haba dari sauna akan merangsang endorfin dan seterusnya akan membuatkan emosi seseorang menjadi lebih stabil dan tenang.
- Memberi tidur yang lebih baik – Aktiviti bersauna dipercayai boleh membantu menjadikan tidur anda lebih baik dan lena.
- Menyingkirkan toksin – Berpeluh dalam sauna dapat mengurangkan tahap zink, nikel, plumbum, merkuri dan bahan kimia.
- Mengurangkan berat badan – Kajian mengatakan bahawa satu sesi sauna selama 20 minit di bawah suhu sekitar 76 peratus dapat membakar sehingga 500 kalori.
Adakah tab panas selamat untuk digunakan ketika sedang hamil?
Semasa hamil, bukan sahaja kandungan yang perlu dijaga malah diri sendiri juga perlu diberikan keutamaan dalam pelbagai aspek. Disebabkan itu, sauna mungkin menjadi pilihan buat segelintir ibu hamil bagi melegakan sendi dan tekanan.
Selain sauna, sesetengah wanita hamil juga mungkin gemar untuk berada di dalam tab panas bagi melegakan badan. Namun adakah tab panas ini selamat untuk digunakan oleh ibu hamil? Ini yang perlu anda ambil perhatian jika mahu berendam dalam tab panas.
#1. Kepanasan melampau
Sebenarnya, risiko untuk duduk atau mandi di dalam tab panas adalah sama sahaja seperti sauna, malah mungkin lebih tinggi. Ini kerana anda duduk dan dikelilingi air panas yang mana ia akan meningkatkan suhu badan anda dengan lebih cepat.
Untuk pengetahuan anda, suhu badan anda juga boleh meningkat meskipun anda hanya duduk di sebelah tab panas tersebut. Sesetengah pakar perubatan menyarankan agar suhu air kekal di bawah 35 darjah Celcius bagi wanita yang sedang mengandung.
#2. Suhu air
Jika anda bersenam di dalam air seperti di kelas antenatal, anda perlu memastikan bahawa suhu airnya tidak melebihi 32 darjah Celcius.
Cuba elak menggunakan tab panas kerana suhunya boleh mencecah sehingga 40 darjah Celcius, yang mana merbahaya untuk anda dan juga si bayi.
#3. Berisiko untuk pengsan
Akibat terlalu panas, darah akan lebih banyak mengalir berdekatan dengan kulit dan seterusnya akan membantu menyejukkan badan dengan mengeluarkan peluh. Ini bermakna, darah akan kurang mengalir ke bahagian organ dalaman seperti di otak. Ini antara bahaya sauna untuk ibu hamil.
Sekiranya tidak mendapat darah dan oksigen yang secukupnya, maka ia boleh menyebabkan anda mudah terasa pitam, khususnya ibu hamil.
Kongres Pakar Obsstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) tidak menggalakkan wanita hamil untuk melakukan aktiviti sauna dan berada di tab panas demi keselamatan diri dan bayi dalam kandungan, terutamanya di awal kehamilan. Sebagai alternatif, anda boleh melakukan beberapa aktiviti lain seperti di bawah untuk memastikan diri anda kekal bertenaga, gembira dan tenang sepanjang kehamilan.
- Mandi menggunakan air suam
- Memasuki kelas altenatal untuk membantu mempersiapkan diri dengan teknik bersalin terbaik dengan bantuan pakar
- Melakukan aktiviti yoga atau senaman ringan, termasuk berenang
Jika anda ingin juga bersauna atau menggunakan tab panas, dapatkan dahulu pandangan atau nasihat daripada doktor anda. Keselamatan ibu dan anak di dalam kandungan adalah amat penting dalam tempoh 9 bulan kehamilan.
Dengan bantuan dan nasihat pakar, anda mungkin boleh mengetahui apakah waktu yang sesuai untuk bersauna, apakah bahaya sauna dan berapakah kekerapan yang boleh dilakukan oleh anda.
Aktiviti yang tidak sesuai untuk ibu hamil
Selain sauna dan tab panas, ini aktiviti lain yang tidak disarankan untuk ibu hamil:
- Melakukan aktiviti fizikal yang berat seperti mengangkat barang berat, kerap naik turun tangga dan membersihkan rumah menggunakan bahan kimia berbahaya. Seeloknya mintalah pertolongan daripada insan terdekat untuk membantu anda.
- Menyertai aktiviti sukan lasak seperti badminton, larian, dan lain-lain. Senaman yang berat boleh mendedahkan risiko kecederaan dan juga kelahiran pramatang.
- Merokok. Pendedahan kepada asap rokok boleh membahayakan janin dan meningkatkan risiko janin lahir sebelum tiba waktunya dan juga kecacatan kelahiran.
- Selalu tidur di punggung. Kekerapan tidur di punggung semasa di akhir kehamilan dapat mengurangkkan aliran darah ke rahim dan janin. Posisi yang disarankan adalah tidur di sebelah kiri.
- Membersihkan sangkar haiwan peliharaan. Wanita hamil berisiko terkena toksoplasmosis, iaitu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan parasit, menular ke janin sehingga menyebabkan janin dilahirkan pra-matang.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Runsing Sebab Terlalu Kerap Buang Air Kecil Ketika Hamil? Ini Cara Menanganinya
Baca juga: 20 Tanda Awal Hamil, Kerap Buang Air Kecil Adalah Antaranya
Baca juga: Kencing Kotor Ketika Hamil Boleh Membahayakan Ibu & Bayi, Perhatikan 7 Perkara Ini!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!