Kesihatan mental, dapatkan bantuan di peringkat awal

lead image

Kita harus membuang salah faham yang mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental adalah untuk orang 'gila', 'tidak waras' atau bermasalah.

Sejak akhir-akhir ini kita banyak dikejutkan dengan berita kematian akibat masalah kesihatan mental. Dari masalah yang nampak remeh hingga yang melibatkan nyawa. Sebenarnya masalah kesihatan mental harus di pandang serius dan ditangani dari peringkat awal.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan masalah kesihatan mental? Mengikut Human Health Service, kesihatan mental ialah, emosional, psikologikal dan sosial yang sihat. Ia mempengaruhi cara kita berfikir, bertindak serta apa yang kita rasa. Kesihatan mental memainkan peranan yang amat penting pada setiap peringkat umur hidup kita.

Kualiti hidup kita juga bergantung pada kesihatan mental kita. Disebabkan itu, amat penting kita menitik beratkan kesihatan mental sama penting seperti kesihatan fizikal. Namun, ramai yang enggan mendapatkan bantuan kerana malu atau ego.

Sebenarnya, mendapatkan bantuan adalah normal dan penting. Kita harus membuang salah faham yang mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental adalah untuk orang 'gila', 'tidak waras' atau bermasalah. Berapa ramai dari kita yang beranggapan sesi kaunseling hanyalah untuk mereka yang bermasalah? 

Tahukah anda faktor yang boleh mempengaruhi kesihatan mental?

Apakah sebenarnya yang boleh mempengaruhi kesihatan mental kita? Sebenarnya ia sangat banyak dan perkara biasa di dalam kehidupan harian. Secara amnya:

  • biologikal, seperti genetik. Namun, tidak semestinya jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang bermasalah, semua orang di dalam keluarganya juga bermasalah.
  • persekitaran. Sama ada pra sekolah, sekolah, universiti, tempat kerja mahupun laman sosial. Kejadian seperti buli, stress, tekanan juga boleh memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan mental.
  • amalan harian. Makanan yang tidak berkhasiat, tidak mengamalkan kehidupan yang aktif juga boleh menjadi salah satu faktor masalah kesihatan mental

Simptom awal kesihatan mental mulai terjejas

Antara simptom awal kita boleh mengesan yang kita atau orang sekeliling kita perlu dapatkan bantuan ialah:

  • Perubahan selera makan yang mendadak (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
  • Menjauhi orang ramai atau lebih gemar bersendirian
  • Kerap rasa lesu dan tidak bermaya
  • Mula menghisap rokok, minum minuman beralkohol atau mengambil dadah
  • Sering termenung, tidak fokus dan rasa marah
  • Perubahan mood yang kerap dan mendadak
  • Rasa tiada harapan
  • Sering sakit
  • Rasa ingin mencederakan diri sendiri atau orang lain
  • Tidak dapat melakukan tugas harian seperti biasa

Bantuan untuk anda

Sebenarnya, terdapat banyak pilihan bantuan yang kita boleh dapatkan. Namun, sebelum mula sebarang sesi dengan sesuatu tempat, pastikan mereka:

  • Mempunyai ahli psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor yang profesional dan diiktiraf. Lihat kelayakan dan latihan yang mereka pernah dapatkan sama ada dari institusi yang diiktiraf atau bukan.
  • Semak jika mereka berdaftar dengan mana-mana badan kerajaan seperti Lembaga Kaunselor Malaysia yang memberi lesen kepada kaunselor. Nota: buat masa ini belum ada sebarang undang-undang mengenai amalan psikologi di Malaysia jadi, pakar psikologi belum diregulasikan.
  • Pengamal yang diiktiraf selalunya bekerjasama dengan organisasi yang profesional dan telah diakreditasikan di dalam komuniti .

Bantuan di Lembah Kelang

Berikut adalah sebahagian dari servis kaunseling badan kerajaan yang terdapat di kawasan Lembah Kelang.

  1. Klinik Kaunseling Komuniti, UPM
    Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling,
    Fakulti Pembelajaran Pendidikan,
    Universiti Putra Malaysia,
    43400 Serdang, Selangor.
    Kontak: +603-8946 8118 | Website

  2. Unit Psikologi Kaunseling Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur
    Jabatan Kesihatan Wilayah,
    Persekutuan Kuala Lumpur,
    Jalan Cenderasari,
    50590 Kuala Lumpur.
    Kontak: +603-22687333 | Website
  3. Jabatan Psikologi Kaunseling, Hospital Kuala Lumpur
    Unit Psikologi Kaunseling (UPsK),
    Hospital Kuala Lumpur,
    Unit Psikologi Kaunseling,
    Jalan Pahang,
    50586 Kuala Lumpur.
    Kontak: +603-2615 6254
    Nota: Memerlukan surat rujukan dari doktor.

  4. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
    Bangunan LPPKN,
    Bahagian Pembangunan Keluarga,
    Unit Kaunseling, 12B,
    Jalan Raja Laut,
    50350 Kuala Lumpur.
    Kontak: +603-2693 7555 | [email protected]
     
  5. Jabatan Psikiatri,Hospital Tengku Ampuan Rahimah

    Klinik Pakar Psikiatri (Psychiatry Clinic),
    Aras 1, Ambulatory Care Centre (ACC) HTAR,
    Jalan Langat 41200 Klang, Selangor.
    Kontak: +603-3375 7000 (ex 6273) 

  6. Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC/PPUM)
    Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai,
    59100 Kuala Lumpur.
    Kontak: +603-7949 2988/+603-7949 3991/+603-7949 3598
  7. Jabatan Psikiatri Hospital UKM 
    Hospital UKM, Jalan Tenteram,
    Bandar Tun Razak Cheras,
    56000 Kuala Lumpur.
    Kontak: +603-9173 3333

Masalah kesihatan mental tidak mengenal peringkat usia, jantina, jenis pekerjaan mahupun nama. Sesiapa pun boleh melaluinya dan ia boleh ditangani. Serius atau tidak, mendapatkan bantuan bukanlah sesuatu yang salah atau teruk. Ia sama seperti berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan rutin.

Sumber: Human Health Service, Says

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android, sekarang!