Setiap wanita yang bergelar bakal ibu pastinya akan mempunyai kisah mengandung tersendiri. Hamil serentak dengan rakan atau saudara-mara dianggap perkara yang biasa kerana ada yang mengandung sekali dengan ibu.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Kisah mengandung sekali dengan ibu, teruja timang anak dan adik
- Sebelum ini pernah mengandung serentak dengan ibu kandung
- Ayah adalah insan paling gembira dapat timang anak dan cucu
- Banyak kongsi persamaan ketika mengandung
Pengalaman yang tidak dapat dirasai oleh kebanyakan orang ini pastinya menjadi sangat bermakna. Mana tidaknya, anda dapat berkongsi aktiviti dan perkembangan bayi dalam kandungan dengan ibu tercinta.
Kisah mengandung sekali dengan ibu, teruja timang anak dan adik
Berkongsi pengalaman manisnya kepada mStar, Nur Juliana Ahmad, 26 berkata pada awalnya dia agak terkejut apabila ibu tiri, Hafizah Azlan yang mesra dipanggil umi memaklumkan bahawa dirinya turut berbadan dua.
”Saya mengandung anak kedua, anak pertama sekarang berusia 1 tahun 10 bulan. Manakala umi pula mengandung anak keempat.”
”Pada mulanya saya dapat tahu dahulu saya mengandung. Kemudian dua minggu kemudian umi ada datang dan tanya macam mana keadaan saya sebab kali terakhir umi mengandung anak ketiga 9 tahun yang lalu, jadi dia dah lupa.” jelasnya.
Tambahnya lagi dia menjelaskan kepada Umi bahawa dia rasa letih, mual, tiada selera makan.
”Umi pun ada cakap dia juga merasakan benda yang sama. Tapi dia langsung tak jangka, sebab dia jenis tak datang bulan dan sentiasa cucuk ubat perancang setiap tiga bulan. Jadi dia tidak fikir akan mengandung lagi.”
Namun selepas membuat ujian pada alat penguji kehamilan, timbul dua garisan terang. Masa itulah ibunya dapat tahu dia pun turut mengandung dan mereka sama-sama terkejut.
Sebelum ini pernah mengandung serentak dengan ibu kandung
Menurut Juliana, dia langsung tidak sangka akan mengandung bersama-sama ibu tirinya yang baru berusia 34 tahun.
”Sebelum ini saya pernah mengandung serentak dengan ibu kandung, cuma jaraknya jauh sikit iaitu kira-kira lima bulan. Kali ini hanya berbeza hari. Apapun kami sama-sama gembira sebab saya dapat adik lagi, umi pula dapat cucu kedua.”
”Namun kami tidak pernah buat check up kehamilan bersama kerana lain-lain klinik. Setiap kali lepas check up, kami akan bertanya khabar masing-masing selain berkongsi keputusan scan dan perkembangan bayi dalam kandungan.” kongsinya.
Juliana menambah, jika mengikut jangkaan bersalin mereka dua hanya berbeza sehari sahaja. Disebabkan oleh ibu tirinya sakit kencing manis dan kena insulin, maka dia terpaksa bersalin awal dua minggu.
Dia pula ada kencing manis semasa mengandung, tetapi cuma on diet control. Jadi tidak perlu makan ubat sebagainya, due date macam biasa hanya awal empat hari.
Ayah adalah insan paling gembira dapat timang cucu dan anak
Juliana turut mengatakan bahawa insan yang sangat gembira adalah bapanya. Ini kerana dia dapat timang cucu dan anak bongsu serentak. Malah tidak menjangkakan keadaan itu kerana sudah 9 tahun tidak menimang cahaya mata.
Disebabkan oleh Uminya terpaksa bersalin awal, maka jarak umur antara anak dan adik bongsunya berbeza tahun.
”Anak saya lahir 4 Januari lalu, adik pula lahir 23 Disember tahun lepas. Kami berpantang berasingan dan saya dijaga oleh ibu kandung.”
”Masa ibu bersalin, saya sempat pergi tengok dia dan adik di rumah. Ada juga kata-kata sinis menyatakan dia tidak merancang sebaiknya kerana jarak umur anak sulung dengan anak kedua kurang dua tahun.” katanya.
Juliana yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik menceritakan sepanjang tempoh itu, banyak kenangan manis telah tercipta antara dia dan umi.
”Kami mengandung serentak. Jadi banyak perkara dan cerita dikongsi bersama. Kalau saya pergi check up di klinik, umi akan datang tolong ambil jika suami sibuk.”
Banyak kongsi persamaan ketika mengandung
”Jika saya mengidam, umi akan carikan atau ayah tolong masakkan. Kalau umi mengidam, saya pula akan tolong cari. Paling best bila kami mengidam benda yang sama iaitu mentarang dan siput belitong.”
”Saya ada banyak baju baby. Jadi saya bagi separuh pada dia. Umi pun kalau dia beli baju untuk adik, dia akan beli juga untuk cucunya.” kongsinya.
Tambahnya, kedua-dua anak dan adiknya itu seperti kembar. Hal ini kerana bila salah seorang menangis, seorang lagi akan turut serta menangis juga.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Baru Usia 4 Bulan, Ibu Tak Sedar Mengandung Lagi, Dapat Baby Kembar Pulak Tu!
Baca juga: Ibu Mengandung Disaran Ambil Vaksin Booster, Ia Melindungi Ibu & Bayi Dalam Kandungan
Baca juga: Waspada Bila Keluar, Ada Golongan Yang Rancak Curi-Curi Ambil Gambar Ibu Mengandung