Risau Bila Keluar Lendir Coklat Semasa Hamil, Ini 6 Punca Yang Mungkin Berlaku

Ada sesetengah wanita yang mengalami lendir coklat di awal kehamilan hingga menimbulkan rasa bimbang jika ia dikaitkan dengan keguguran.

Lendir coklat di awal kehamilan ataupun spotting coklat ketika hamil sebenarnya merupakan salah satu keadaan yang amat membimbangkan wanita mengandung. Ketika itu dalam kepala mulalah terfikir macam-macam.

Terkejut dan tentunya anda akan gelabah apabila melihat lendir coklat di awal kehamilan kerana bimbang jika ia boleh mendatangkan risiko keguguran lantas menyebabkan anda tidak kesampaian untuk bergelar ibu dan ayah.

Meskipun keadaan ini adalah normal, para wanita hamil juga perlu memiliki ilmu di dada bahawa apabila berlaku sesuatu sepanjang tempoh kehamilan anda, akan ada juga kemungkinan serta risiko yang boleh berlaku terutamanya keguguran.

Jadi, ketahui apa perbezaan di antara keadaan spotting coklat, keluar darah coklat ketika hamil, keluar lendir, keputihan dan lain-lain lagi. Supaya nanti tidaklah anda panik sangat, ya.

Mengapa Keluar Lendir Coklat Di Awal Kehamilan

 

Mengupas topik ini dengan lebih panjang lebar, Dr Wong Yen Shi dari Sunway Velocity mengatakan lendir coklat di awal kehamilan itu adalah spotting yang normal berlaku kerana implantasi darah.

Namun, ramai yang keliru dengan spotting ini kerana ia berlaku dalam keadaan yang ringan dan jangka masa yang pendek. Walau bagaimanapun, tidak semua wanita hamil akan melalui implantasi berdarah ini.

Sekiranya terdapat pendarahan semasa kehamilan ini, penilaian yang wajar akan dilakukan oleh Pakar Obstetrik bagi mengetahui selanjutnya tentang punca dan mengapa ia terjadi.

Selain daripada implantasi berdarah, pendarahan pada awal kehamilan ini boleh disebabkan keguguran atau kehamilan yang abnormal seperti mengandung luar rahim atau molar pregnancy. Namun tak perlu risau kerana jarang sekali ia boleh menjadi punca kepada kanser serviks. 

Menurut Dr Wong lagi, pada peringkat yang lebih awal spotting ini mungkin tidak terlalu menakutkan dan ia adalah keadaan yang kecil berlaku tanpa perlu dirisaukan. Apa pun, anda perlu diperiksa oleh doktor untuk menentukan sama ada ia berisiko pada kehamilan atau tidak.

Biarkan obstetrik yang menentukan sama ada sebarang pendarahan itu normal atau tidak. Jadi, jika anda perhatikan munculnya pendarahan semasa mengandung, jangan tunggu dan teruskan berjumpa doktor untuk diperiksa.

Adakah Ia Merupakan Tanda Keguguran?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, keguguran boleh hadir dengan pendarahan dan biasanya berlaku sebelum 20 minggu kehamilan dan boleh terjadi pada satu pertiga daripada kehamilan. Bahkan, keguguran itu sendiri boleh hadir dengan kesakitan dan pendarahan.

Ini 6 Punca Pendarahan Di Awal Kehamilan

Mestilah risau bila berlakunya pendarahan semasa awal kehamilan, kerana bimbang jika ia boleh mendatangkan risiko pada janin dalam kandungan. Walau bagaimanapun, jika mengalami spotting adalah lebih baik untuk terus rujuk dengan doktor bagi menentukan keselamatan janin dan ibu. 

Berikut ini adalah punca yang boleh menyebabkan pendarahan di awal kehamilan anda: 

#1. Jangkitan

Sekiranya terdapat jangkitan pada bahagian serviks (pangkal rahim), vagina atau jangkitan STD seperti herpes, maka ia boleh menyebabkan adanya perdarahan semasa di awal kehamilan anda. 

#2. Kehamilan luar rahim

Kehamilan ektopik ini berlaku apabila embrio menempel pada bahagian luar rahim dan jika ia tidak dikesan awal boleh membesar sehingga menyebabkan kerosakan pada tiub follopian sekaligus memberi ancaman pada nyawa ibu.

Bukan hanya berdarah, tetapi terdapat juga simptom lain yang boleh berlaku seperti cramp atau sakit pada bahagian abdomen dan pening kepala. Akan tetapi, kebarangkalian untuk berlaku adalah 2% sahaja.

#3. Keguguran

Ini yang paling banyak terjadi pada awal kehamilan, maka pendarahan yang berlaku semasa ini perlulah diberi perhatian lebih. Jadi sebaiknya anda lebih peka terhadap kitaran haid supaya lebih berjaga-jaga sekiranya hamil.

Apatah lagi ramai wanita yang tidak sedar dirinya berbadan dua mengamalkan makanan yang salah atau pengambilan produk yang boleh menyebabkan keguguran.

#4. Implantasi 

Implantation bleeding biasanya berlaku sekitar 1 ke 2 hari dan darahnya tidaklah sebanyak darah haid kerana sedikit sahaja. Ini berlaku disebabkan telur yang disenyawakan sedang mula menempel pada dinding rahim.

#5. Kehamilan Molar

Pernah dengar tentang kehamilan molar?

Ia merupakan satu keadaan di mana tisu abnormal tumbuh dalam rahim wanita. Dalam sesetengah kes ia mungkin boleh merebak ke bahagian badan yang lain lalu menjadi kanser. Antara simptom yang dialami seperti muntah-muntah dan loya serta saiz rahim membesar dengan cepat.

#6. Pendarahan Placenta

Subchorionic hemorrhage adalah pendarahan yang berlaku sekeliling plasenta dan ibu yang mengalami ini masih boleh bersalin secara normal namun berisiko untuk lahirkan bayi pramatang.

Adakah Keluar Lendir Coklat Di Awal Kehamilan Merbahaya?

Seperti yang dijelaskan di atas, lendir coklat yang keluar di awal kehamilan merupakan cecair faraj yang bercampur dengan darah lama. Tambahan pula, sesetengah darah pada rahim akan mengambil masa yang lebih lama untuk keluar dan ia akan berubah menjadi warna coklat.

Ini akan menyebabkan wanita mengalami lendir warna coklat ataupun dikenali sebagai spotting coklat. Tapi jangan bimbang ya, ini kerana dalam kebanyakan kes, lendir coklat di awal kehamilan sememangnya NORMAL.

Yang penting, jangan panik. Tenang sahaja.

Penyebab di sebalik situasi ini adalah kerana peningkatan perubahan hormon dan darah di seluruh tubuh menjadikan serviks seseorang itu sangat sensitif. Oleh disebabkan itu, sebarang aktiviti seperti hubungan seksual ataupun pemeriksaan pelvis akan memburukkan lagi keadaan ini.

Walau bagaimanapun, cairan coklat ini juga boleh menjadi tanda bahawa tempoh untuk bersalin akan semakin dekat sekiranya ibu hamil mengalaminya pada trimester ketiga. Keadaan ini lebih dikenali sebagai palam mucus (mucus plug) yakni gumpalan lendir yang menutup saluran pembukaan rahim ketika kehamilan beberapa minggu sebelum wanita bersalin.

Beza Spotting Dan Pendarahan Ketika Hamil

Sumber gambar: Very Well.

Pendarahan faraj ketika trimester pertama merupakan perkara biasa dan normal.

Malah, dianggarkan lebih 20% kehamilan mengalami pendarahan ringan atau tompokan darah semasa mengandung dan kebanyakan wanita yang berdepan dengan situasi ini sememangnya melalui kehamilan sihat. Alhamdulillah.

Pendarahan ini terjadi apabila telur yang disenyawakan melekat pada lapisan rahim dan dikenali sebagai pendarahan implantasi.

Perbezaan di antara spotting dan pendarahan ketika hamil adalah spotting ini hanyalah beberapa titik darah dan tidak menutupi keseluruhan tuala wanita/panty liner.

Manakala pendarahan pula merupakan aliran darah yang berat sehingga memerlukan pemakaian tuala wanita.

Oleh itu, jika berlaku pendarahan semasa trimester pertama, anda disarankan untuk memakai pelapik seluar dalam ataupun tuala wanita untuk mengetahui jumlah aliran darah dan boleh memaklumkan kepada doktor anda.

Sebagai info tambahan, pengeluaran hormon ketika mengandung juga boleh mengakibatkan perubahan pada serviks dan menjadikannya lebih lembut serta terdedah kepada pendarahan. Di samping itu, polip serviks – pertumbuhan lebihan tisu tidak berbahaya mungkin terbentuk dan mungkin lebih murah berdarah semasa seseorang itu sedang mengandung.

Dalam kedua-dua kes di atas, tompokan ataupun pendarahan ringan mungkin tercetus selepas hubungan seksual ataupun pemeriksaan sekviks.

Jangkitan faraj juga boleh mengakibatkan pendarahan faraj secara tiba-tiba semasa kehamilan. Pendarahan berkenaan mungkin disertai dengan keputihan yang tidak normal.

Bila Patut Berjumpa Doktor?

Ada beberapa risiko juga dengan keadaan-keadaan di atas. Antaranya ialah boleh menjadi petanda berlakunya beberapa situasi kehamilan seperti:

  • Kehamilan ektopik.
  • Jangkitan serviks atau rahim.
  • Masalah plasentan.
  • Keguguran kandungan.

Sekiranya keadaan di atas disertai dengan simptom-simptom lain seperti pendarahan, kekejangan perut, kontraksi ataupun sakit di bahagian belakang badan, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor dalam kadar segera bagi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Semoga maklumat ini bermanfaat untuk sepanjang kehamilan anda.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Tanda Pasti Hamil Yang Pelik: Badan Panas, Spotting Tapi Bukan Haid & Banyak Lagi!

Baca juga:  Keluar Darah Coklat Ketika Mengandung Trimester Ketiga, Adakah Ia Berbahaya?

Baca juga: Jangan Terlalu Lasak Ketika Mengandung, Ia Salah Satu Punca Pendarahan Awal Kehamilan!