Tengok orang memelihara kucing di rumah kita pun rasa nak bela kan? Ada sesiapa dalam kalangan ibu bapa yang minat dengan binatang comel ini? Kalau ada yang angkat tangan tu, ketahuilah bahawa artikel ini adalah untuk anda!
Jika anda sedang memasang niat untuk membela kucing saat anda telah melahirkan anak anda ataupun mempunyai kucing di rumah anda, pasti anda mempunyai persoalan yang mana boleh atau tidak memelihara kucing di rumah saat ada bayi kecil di rumah. Bagi yang dah membela kucing, takkan pula anda nak buang kucing anda kan? Sedih pula bila fikir. Alahai.
Tetapi di samping itu, ada juga pasti sedang mencari jalan untuk memelihara kucing di rumah disamping masih ditemani kucing-kucing kesayangan. Apa yang anda perlu tahu sekarang ini adalah adakah kehadiran kucing dibenarkan saat anda mempunyai bayi kecil di rumah dan jika boleh, apakah perkara yang anda perlu ketahui terlebih dahulu sebelum anda membuat keputusan selanjutnya.
Lagi-lagi bila anda tengok selebriti Malaysia seperti Hanis Zalikha masih membela kucing walaupun ada anak kecil. Tapi, mesti ada benda yang anda kena tahu juga kan sebelum boleh beri kucing dekat dengan anak anda?
Bolehkah memelihara kucing dengan kehadiran bayi di rumah?
Kredit: Freepik
Berita baik untuk ibu bapa yang sukakan kucing! Ya, anda boleh memelihara dan membela kucing di dalam rumah walaupun anda mempunyai bayi kecil.
Walaupun terdapat perkara yang dilarang untuk wanita mengandung seperti jangan bela kucing sewaktu hamil tetapi sebenarnya anda boleh sahaja bela kucing dalam rumah selepas anda melahirkan anak.
Kucing ada bahayanya yang tersendiri. Tapi, kesian pula kalau anda biarkan kucing anda merata-rata di luar rumah. Sedih pula hati kucing anda nanti.
Kucing dan bayi sebenarnya boleh sahaja hidup bersama di dalam satu rumah. Tetapi, kami faham bahawa kadang-kala, kucing ini ada gelagat dia sendiri. Dengan kukunya lah, dan dengan taring. Boleh cemas juga ibu atau bapa dibuatnya. Rasa tak selamat je kan bila anak dekat dengan kucing. Walaupun kucing anda itu manja. Yang si kecil pula ligat sahaja nak sentuh-sentuh kucing.
Selain itu, salah satu kerisauan yang bermain dalam fikiran ibu adalah adakah kucing ini akan membawa jangkitan dan sebagainya. Jadi, ini adalah antara perkara yang akan kita sentuh sebentar lagi.
Apa yang anda patut tahu dengan kehadiran kucing dan bayi bersama di rumah
Kredit: Pexels
Ini adalah antara risiko yang patut anda tahu dengan kehadiran kucing dan bayi dibawah satu bumbung. Jom kita baca.
#1 Apabila memelihara kucing, ada risiko lemas
Lemas? Bunyi macam tak logik kan? Tetapi, ianya boleh berlaku. Lagi-lagi apabila anda membiarkan bayi anda bersama kucing tanpa pengawasan.
Apa yang mungkin berlaku adalah kucing boleh terhempap anak anda sewaktu anak anda tidur dan menyebabkan anak anda lemas. Dan anak anda tidak mempunyai kekuatan untuk memberitahu anda bahawa ianya dihempap kucing. Nampak macam kelakar tetapi percayalah ia boleh mengundang masalah yang sangat serius.
#2 Bayi termakan bulu kucing
Ini lagi satu masalah yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat kucing. Bulu kucing merata-rata! Apatah lagi jika kucing anda berada berhampiran dengan bayi. Alamatnya bulu-bulunya boleh terlekat pada baju dan selimut bayi.
Jika anak anda termakan sedikit, anak anda masih boleh mengeluarkan. Tapi, kalau anak anda ada alahan pada bulu kucing? Ini dah jadi kes berat.
#3 Jangkitan toksoplasmosis dan jangkitan lain
Jangkitan apalah tu agaknya? Jangkitan toksoplasmosis adalah sebuah jangkitan oleh parasit toxoplasma gondii. Ianya boleh didapati dalam usus haiwan seperti kucing atau babi.
Jangkitan ini mudah mengjangkiti mereka yang mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah. Ia turut akan mengakibatkan kesan jangkitan seperti simptom demam seperti panas badan, selsema dan sebagainya.
#4 Gigitan dan calar
Bayi juga boleh mudah digigit dan mendapat calar jika dibiarkan bersama kucing tanpa pengawasan. Sungguhpun begitu, kucing masih lagi tidak berbahaya berbanding dengan anjing.
#5 Timbul rasa cemburu
Jangan tidak tahu. Kucing pun kuat cemburu tau. Apabila ia mula mengesan bahawa kasih sayang anda sudah mula berubah, kucing anda akan mula menandakan kawasan dengan air kencing dan membuat bunyi kucing yang sangat bising.
Apa anda boleh lakukan?
Kredit: Unsplash
Walaupun ada risikonya apabila kucing berada dekat bayi, tetapi anda masih boleh mengubahnya. Ini beberapa perkara yang anda perlu lakukan bila ada kucing di rumah dengan bayi.
#1 Sentiasa mengawasi kucing dan bayi
Jika anda membiarkan kucing anda lepas, jangan sesekali anda biarkan kucing anda bersama bayi tanpa pengawasan.
#2 Amalkan kebersihan paling optimum
Untuk pastikan bayi anda tidak mendapat sebarang jangkitan, anda perlu pastikan bahawa anda kerap membasuh tangan sebelum memegang bayi atau sewaktu sebelum dan selepas memegang kucing. Pastikan juga tempat makan kucing, kandang kucing bekas najis kucing dibersihkan secara kerap dan bersih untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
Lebih baik juga jika kucing anda telah mendapat vaksin atau suntikan agar ia tidak membawa jangkitan.
#3 Kenalkan bayi anda kepada kucing dengan bau
Sebaik sahaja pulang dari hospital, cuba beri kucing anda bau dahulu bayi anda dengan menggunakan selimut atau kain yang bayi gunakan supaya kucing dapat membiasakan diri terlebih dahulu.
#4 Main dengan kucing dahulu
Selain itu, anda juga boleh bermain dengan kucing anda dahulu sebelum bawa bayi masuk ke rumah. Macam ambil hati kucing anda. Ini supaya kucing anda tidak merasakan bahawa ia perlu bersaing dengan anak anda untuk mendapatkan kasih sayang anda.
Semoga artikel tentang memelihara kucing ini membuatkan anda berfikir dua tiga kali sebelum membeli haiwan peliharan. Jika anda bercadang untuk membela, lebih baik adopt ya!
Sumber: Heathline
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Bolehkah pelihara kucing ketika hamil atau bila ada bayi di rumah?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!