Dalam kehidupan rumah tangga, pastinya tiada yang sempurna. Bahkan ramai mengatakan semakin lama hubungan, ia semakin pudar disebabkan oleh kesibukan terhadap tugas seharian. Namun tahukah bahawa tabiat memuji orang atau pasangan sendiri boleh memberikan kesan yang baik?
Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang kita terlupa untuk memuji pasangan. Ada yang menganggap ia benda yang remeh dan tidak perlu puji berlebihan kerana hanya menimbulkan riak.
Memuji orang atau pasangan sendiri beri manfaat yang unik
Tahukah anda bahawa pujian yang baik dapat memberikan kesan bagus terhadap kesihatan mental dan orang yang memperoleh pujian tersebut? Walaupun ia hanyalah sekadar mengatakan pakaian atau kasut pasangan cantik, ternyata cukup untuk membuatkan hatinya ‘berbunga-bunga’ dan bahagia.
Memetik laporan NBC News, seorang ahli psikoterapi klinikal dari San Rafael California, Marcia Naomi Berger, perasaan dihargai menjadi keperluan asas setiap manusia. Inilah yang membuatkan kita berasa sangat gembira apabila memuji orang atau memperoleh pujian.
Di samping itu, pujian juga merupakan asas utama dalam sesebuah hubungan. Ia menjadikan anda lebih romantik dan penyayang. Walau bagaimanapun janganlah pula menyalah gunakan pujian ini semata-mata untuk tujuan tidak baik kerana ia sekadar membuatkan pasangan anda patah hati.
Marcia menjelaskan bahawa memberi penghargaan kepada seseorang boleh membuatkan kita mudah mendapatkan kerjasama dalam sebarang urusan. Bukan itu sahaja, tabiat ini turut menyenangkan anda mengharungi setiap ujian dalam rumah tangga.
Hal ini kerana pujian mampu menerbitkan perasaan gembira kerana kerja keras yang diberikan telah dihargai oleh insan tersayang. Ini sekaligus membuatkan anda bersemangat untuk memberikan yang lebih baik pada hari-hari mendatang.
Manfaat pujian terhadap kesihatan mental
Justeru memuji orang iaitu pasangan anda sendiri adalah sangat penting bagi kesihatan mental. Penyelidik juga mendapati tabiat ini mampu mengaktifkan bahagian otak yang sama seperti apabila kita menerima hadiah istimewa.
”Pujian ini memberikan kesan yang berulang. Misalnya jika kita mengatakan kepada pasangan bahawa kita menyukai senyumannya, seterusnya mereka akan sentiasa tersenyum sewaktu menantikan kepulangan dari tempat kerja,” jelas Marcia Naomi.
Tidak hanya memberikan manfaat kepada penerima pujian sahaja, anda juga turut merasai kesan positifnya. Apabila mengucapkan perkataan baik terhadap orang lain, ia bermakna kita sedar apa yang menarik pada dirinya.
Menurut Marcia, memberi pujian dapat membantu kita untuk lebih menghargai kelebihan pasangan dan mengetepikan setiap kekurangan yang ada padanya.
Kelebihan memuji orang dan pasangan hidup
Dikutip dari Bright Side, ada beberapa manfaat positif apabila anda memberikan pujian kepada pasangan:
#1. Cara berkesan untuk memberikan motivasi
Penghargaan berupa pujian sangat diperlukan oleh setiap orang bagi meningkatkan motivasi ketika melakukan sesuatu. Misalnya, beri pujian pada masakan yang disediakan oleh isteri mampu menghilangkan rasa penat sehariannya ketika menguruskan rumah tangga.
#2. Pujian yang ikhlas membuatkan pasangan anda berasa tenang
Kata-kata yang ikhlas dari hati mampu membuatkan kesayangan hati anda berasa lebih tenang. Misalnya jika anda melihat pasangan pulang ke rumah dengan rasa kecewa disebabkan oleh masalah di tempat kerja, cubalah untuk menenangkannya dengan kata-kata pujian agar dia lebih bersemangat keesokan hari.
#3. Memberi pujian adalah lebih baik daripada menerimanya
Perasaan bahagia setelah memberi pujian adalah sama dengan merasa bahagia setelah anda melakukan kerja amal. Hal ini kerana kita menciptakan interaksi positif dengan orang yang menerima pujian dan membuatkan suasana hati mereka lebih baik.
Ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk mencipta senyuman di wajah orang tersayang anda. Cukuplah sekadar pandai menjaga hati dan menghargai seadanya.
Kesimpulannya, bukalah mata dan hati untuk anda menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh pasangan ketika menguruskan rumah tangga. Sudahkah anda memuji atau mengucapkan terima kasih padanya hari ini? Jika belum, lakukanlah sekarang dan lihatlah responnya!
Sumber: Kumparan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Suri Rumah Kena Banyak Bersabar, Sindrom ‘Sunyi’ Yang Dirasai Tidak Ramai Mengerti