Biasanya, tugas mengasuh anak itu diserahkan pada ibu dan sesekali saja dibantu oleh si ayah kerana bayi yang baru lahir memerlukan penjagaan istimewa dan pemerhatian yang lebih sempurna.
Menurut Dr. John dan Julie Gottman dari Institut Gottman, hadiah paling istimewa dari ibu bapa kepada anak-anak adalah memberi kesihatan yang terbaik, kebahagiaan dan hubungan keluarga saling sayang menyayangi.
Walaupun tugas mengasuh anak itu diberikan pada ibu, namun tidak ada salahnya untuk ayah bekerjasama membantu terutamanya ketika ibu masih dalam tempoh berpantang kerana tubuh ibu masih lemah dan memerlukan rehat yang panjang.
Bapa juga boleh mengambil bahagian membesarkan anak-anak dan bantu melakukan kerja rumah ketika hari pertama bayi dilahirkan. Dengan penglibatan bapa itu, ia sekaligus boleh menstabilkan emosi, sosial, mental dan kecerdasan kanak-kanak itu.
Kelebihan bila ayah menjaga dan mengasuh anak
Kanak-kanak yang mempunyai hubungan baik bersama bapa menunjukkan ketinggian IQ dan kecerdasan di masa hadapannya kelak.
Jika mengasuh anak terletak di tangan ayah, kanak-kanak tersebut juga akan dikagumi oleh rakan-rakannya, mudah diterima dan pandai bermain terutama permainan yang dapat meningkatkan perkembangan intelektual kerana mereka membawa semangat yang ditonjolkan ayah.
Bapa mengasuh anak ketika berpantang, apa yang boleh dibantu?
1) Tolong bancuh susu atau panaskan susu badan
Ha… kalau nampak isteri tengah mandi atau tengah berurut, apa yang suami boleh bantu adalah tolong siapkan susu untuk anak terutama bila si kecil tengah menangis kelaparan. Masa itulah dapat tengok betapa kelam kabut si ayah!
2) Bantu tukar lampin
Kalau nampak si kecil tengah merengek tak selesa, ayah tolonglah tukarkan lampin dia sekaligus tidaklah ibu tergopoh-gapah bangun. Sedangkan dia perlukan rehat setimpal selepas sakit beranak.
3) Bangun waktu malam jika si kecil menangis
Biasalah bila ada anak kecil, memang masa tidur terpaksa dikorbankan sedikit terutama bila anak menangis dan tak mahu tidur. Bertabah ya!
4) Beri peluang isteri tidur
Bayangkan isteri sudah penat melahirkan dengan sakit kontrasi berhari-hari, jadi tidak salah suami beri isteri ruang untuk tidur dan rehat lebih lama.
5) Bantu urut badan isteri
Ini kalau isteri tahu suami nak buat, memang senyum meleret. Yalah, siapa yang tak suka tubuh diurut lembut sekaligus dapat melegakan otot dan sendi yang lenguh. Jadi kalau suami volunteer nak urut, biarkan saja!
6) Ambil bayi dan berjalan-jalan di luar rumah
Walaupun dia baru beberapa hari dilahirkan, namun sesekali itu, dukung bayi dan bawanya berjalan-jalan di luar rumah. Tentunya si kecil rasa lebih damai, tenang dan selesa.
7) Melakukan tugas rumah
Bantu menjaga anak yang lain dan melakukan tugas rumah seperti menyapu sampah, mencuci pinggang mangkuk, basuh baju, kemas bilik, rapikan tempat tidur dan sebagainya. Inilah baru ciri-ciri suami penyayang!
8) Mempersiapkan beg bayi
Jika isteri mahu ke hospital untuk temujanji selepas bersalin, suami boleh tolong siapkan beg pakaian bayi dengan meletakkan barang-barang penting seperti buku rawatan temujanji, lampin, pakaian, krim, botol susu dan lain-lain.
9) Bantu menjaga anak-anak yang lain
Jika anda mempunyai anak yang lain, tolong juga jaga makan dan pakaian mereka meskipun anda punya pembantu rumah. Sekaligus membuatkan anak tidak rasa kehilangan kasih sayang ayah walaupun sudah ada adik baru.
Apabila ayah selalu mengambil bahagian dalam mengasuh anak-anak, percayalah ia juga dapat meningkatkan hubungan baik antara suami dan isteri kerana berjaya melaksanakan tugas rumah dengan cara yang harmoni.
Jika isteri bahagia bersama suami, nescaya anak-anak juga akan terima tempias yang sama!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel asal ditulis oleh Napatsakorn. R dan mendapat keizinan dari theAsianparent Thailand untuk diterjemah.
Baca juga:
https://my.theasianparent.compengorbanan-suami-ketika-isteri-hamil/